Selasa, 29 November 2011

SEDEKAH PEMBUKA PINTU SYURGA

Tidak seperti biasanya, hari itu Saidina Ali bin Abi Thalib pulang lebih awal menjelang asar. Saidatina Fatimah binti Rasulullah menyambut kedatangan suaminya yang sehari suntuk mencari rezeki dengan sukacita. Siapa tahu Saidina Ali membawa wang lebih banyak kerana keperluan di rumah makin besar. Sesudah melepas lelah, Ali berkata kepada Fatimah. "Maaf sayangku, kali ini aku tidak membawa wang sesenpun." Fatimah menyahut sambil tersenyum, "Memang yang mengatur rezeki tidak duduk di pasar, bukan? Yang memiliki kuasa itu adalah Allah S.W.T." "Terima kasih," jawab Ali. Matanya memberat lantaran isterinya begitu tawakkal. Padahal keperluan dapur sudah habis sama sekali. Pun begitu Fatimah tidak menunjukan sikap kecewa atau sedih.


Saidina Ali lalu berangkat ke masjid untuk menjalankan sholat berjamaah. Sepulang dari sembahyang, di jalan dia diberhentikan oleh seorang tua. "Maaf anak muda, betulkah engkau Ali anaknya Abu Thalib?" Ali menjawab dengan hairan. "Ya betul. Ada apa tuan?". Orang tua itu mencari kedalam begnya sesuatu seraya berkata: "Dahulu ayahmu pernah ku suruh menyamak kulit. Aku belum sempat membayar upahnya, ayahmu sudah meninggal. Jadi, terimalah wang ini, sebab engkaulah ahli warisnya." Dengan gembira Ali mengambil haknya dari orang itu sebanyak 30 dinar.


Tentu saja Fatimah sangat gembira memperoleh rezeki yang tidak di sangka-sangka ketika Ali menceritakan kejadian itu. Dan ia (Fatimah) menyuruh membelanjakannya semua agar tidak merisaukan lagi keperluan sehari-hari.


Ali pun bergegas berangkat ke pasar. Sebelum masuk ke dalam pasar, ia melihat seorang fakir menadahkan tangan, "Siapakah yang mahu menghutangkan hartanya kerana Allah, bersedekahlah kepada saya, seorang musafir yang kehabisan bekal di perjalanan." Tanpa berfikir panjang, Ali memberikan seluruh wangnya kepada orang itu.

 
Pada waktu ia pulang dan Fatimah kehairanan melihat suaminya tidak membawa apa-apa, Ali menerangkan peristiwa yang baru saja dialaminya. Fatimah, masih dalam senyum, berkata, "Keputusan kanda adalah yang juga akan saya lakukan seandainya saya yang mengalaminya. Lebih baik kita menghutangkan harta kerana Allah daripada bersifat bakhil yang di murkai-Nya, dan yang menutup pintu syurga untuk kita."


Pengajaran :

1). Kesopanan Dan Ketaatan Fatimah Terhadap Ali Suaminya Perlu Dicontohi Wanita Masakini.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nisa', Ayat 34 :

"Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya),"


Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki."


"Wanita yang mati dalam keredhaan suaminya redha (tidak marah) padanya, nescaya ia masuk syurga."


2). Keyakinan Dan Kesabaran Sebenar Terhadap Rezeki Allah Yang Ditunjukkan Fatimah Dapat Memberi Ketenangan Dan Ketenteraman Dalam Hadapi Setiap Ujian (Demi Mendapat Akhirat). Hakikatnya Manusia Akan Mendapat Ganjaran Tambahan Di Dunia Bagi Mereka Yang Mengejar Akhirat Sebagaimana Janji Allah.
Firman Allah dalam Surah Asy-Syura, Ayat 20 :

"Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya (di dunia) dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak."


3). Walau Dalam Keadaan Sangat Susah, Ali Tetap Tidak Meninggalkan Kewajipannya Menunaikan Solat Berjemaah Dengan Penuh Ketenangan Dan Bersabar. Inilah Ketaqwaan Sebenar Seorang Muslim Dan Semestinya Hasil Taqwa Ini Akan Memberi Impak Pada Perjalanan Hidup Dalam Keadaan Tidak Disangka-Sangka.


Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 153 :

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman, Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."


Firman Allah dalam Surah At-Thalaq, Ayat 2 – 3 :

"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."


Hadis Rasulullah S.A.W. kepada Ibnu Abbas :

"Daripada Abu Al-'Abbas, Abdullah ibnu Abbas, R.A. رضي الله عنهما beliau berkata :
Aku pernah duduk di belakang Nabi S.A.W pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku : Wahai anak, sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah : Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu
perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran lembaran telah kering (dakwatnya). "


4). Menjadikan Sedekah Sebagai Amalan Ikhlas Membuatkan Allah Kasih Kepada Kita Dan Akan Memperluaskan Bagi Kita Akan Pintu Rezki Yang Berlipat Ganda Sejak Didunia Lagi Dan Sekaligus Pintu Syurga Kelak.


Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 245 :

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. "


Firman Allah dalam Surah Al-Hadid, Ayat 18 :

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia."


Firman Allah dalam Surah Al-Imran, Ayat 180 :

"Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi."


Hadis Rasulullah S.A.W. :

"Barang siapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain (bersedekah) ."

Tiada ulasan: