Ahad, 14 Julai 2013

KONSEP UTAMA TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU

Antara Konsep utama dalam Teori Psikologi Individu ialah;


 
1. Persepsi Subjektif Realiti
Adlerians cuba melihat dunia melalui rangka rujukan subjektif klien sebagai satu orientasi yang dikenali sebagai phenomenologikal. Ia memberi perhatian kepada bagaimana manusia melihat dunia mereka secara individual. Subjektif realiti meliputi persepsi individu, fikiran, perasaan, nilai, kepercayaan, keyakinan dan konkulasi. Perlakuan dilihat dan difahami melalui pandangan jelas perspektif subjektif ini. Melalui perspektif Adlerians, objektif realiti kurang penting berbanding bagaimana manusia menterjemah realiti dan makna bagi setiap pengalaman yang dilalui.



2. Keharmonian Dan Bentuk Personaliti Manusia
Asas dalam pandangan teori Psikologi Individu ini adalah personaliti dapat difahami secara holistik dan sistematik di mana individu itu tidak dapat dibahagikan secara keseluruhan, dilahirkan, dan hidup dalam konteks kekeluargaan, masyarakat dan budaya. Manusia adalah bersifat bermasyarakat, kreatif, pembuat keputusan yang bertindak dengan bertujuan atau bermatlamat (Sherman & Dinkmeyer, 1987 dalam Corey, 2005).



Personaliti manusia akan menjadi kuat melalui perkembangan matlamat hidup (life’s goal). Fikiran, perasaan, kepercayaan, keyakinan, sikap, karekter dan keunikannya adalah reflek daripada rancangan hidup yang menjadi pemangkin kepada matlamat kehidupan seseorang itu. Implikasi daripada pandangan holistik ke atas personaliti ialah klien dilihat sebagai pelengkap kepada sistem sosial. Hubugan interpersonal lebih difokuskan berbanding dengan psikodinamik dalaman individu.



2.1. Perlakuan Bertujuan Dan Berorientasikan Matlamat
Teori Psikologi Individu Adler memandang semua manusia mempunyai tujuan dalam hidup masing-masing. Manusia meletakkan matlamat yang perlu mereka capai dan perlakuan mereka dibentuk dalam konteks matlamat yang ingin direalisasikan itu.



Asas pandangan ini adalah manusia hanya berfikir, berperasaan, dan bertindak dalam hubungan persepsi matlamat masing-masing. Oleh itu, manusia hanya dapat difahami melalui matlamat serta tujuan hidup serta cara manusia berusaha dalam merealisasikannya. Teori Adler menyentuh soal masa hadapan dan meminimakan pengaruh masa lepas.



Teori Adler dipengaruhi oleh ahli falsafah Hans Vaihinger’s (1965). Kebanyakan Adlerians mengunakan tema fictional finalism untuk merujuk kepada pusat matlamat hidup sebagai pembimbing kepada perlakuan manusia. Walau bagaimanapun, Adler sebenarnya tidak begitu selesa menggunakan tema tersebut dan menggantikannya dengan “guiding self-ideal” dan “goal of perfection” dalam menilai usaha-usaha manusia ke aras superioriti atau kesempurnaan (Watts & Holden, 1994 dalam Corey, 2005). Pada awal kehidupan lagi, manusia telah mengetahui bahawa mereka akan disukai dan dihormati sekiranya mereka berjaya, lengkap, atau sempurna serba serbi. Pandangan “guiding self-ideal” ini sekiranya diaplikasikan dalam motivasi insaniah akan dilihat dengan cara : “Hanya apabila aku berjaya maka hidup aku akan sejahtera” atau “hanya apabila aku mempunyai kejayaan barulah aku diterima”.



“Guiding self-ideal” mewakili kesempurnaan matlamat imej individu itu yang mana individu ini sanggup berusaha walau dalam apa jua keadaan. Atas faktor matlamat akhir manusia bersifat subjektif, manusia akan lebih kreatif dalam membuat pilihan kepada apakah yang akan diterima sebagai kebenaran, bagaimanakah kita berperilaku dan bagaimanakah kita menterjemahkan tindakan.



2.2. Usaha Ke Arah Superioriti
Adler menekankan usaha ke arah kesempurnaan dan mengatasi perasaan inferioriti melalui pencarian penguasaan adalah sesuatu yang semulajadi (Ansbacher & Ansbacher, 1979 dalam Corey, 2005). Untuk memahami perlakuan manusia dalah penting kita meninjau asas perasaan inferioriti. Sejak di awal kehidupan, kita mengakui bahawa kita tidak berupaya dalam pelbagai keadaan di mana ia dilihat sebagai inferioriti. Perasaan inferioriti ini bukanlah faktor yang negatif dalam hidup. Menurut Adler, kesan daripada perasaan inferioriti ini akan menjadi pemangkin kepada motivasi untuk kita berusaha ke arah superioriti. Adler melihat matlamat kejayaan dalam hidup sebagai penanda aras telah memandu manusia untuk berusaha dan menentang segala halangan dalam mencapai matlamat.



Matlamat superioriti menyumbang kepada pembangunan komuniti. Walau bagaimanapun, perlu kita ingat bahawa terma superioriti yang diguna pakai oleh Adler tidak semestinya individu itu perlu menguasai atau bersifat superior ke atas individu lain. Hakikatnya, ia lebih menjurus kepada bagaimana individu itu meletakkan kedudukannya daripada peringkat bawahan kepada peringkat atasan; dan daripada perasaan negatif kepada perasaan positif. Kejayaan dan pengalaman zaman kanak-kanak dan remaja Adler telah menjadikan beliau sebagai contoh dalam aspek teori psikologi individu ini.



2.3. Gaya Hidup
Gaya hidup pada asalnya dinamakan sebagai perancangan hidup yang merujuk kepada manusia yang unik dalam mencapai matlamat. Gaya hidup kita yang unik ini telah dibentuk semasa lima tahun yang pertama. Pengalaman kemudiannya diterjemah berpandukan pengalaman awal. Cara ini timbul sebagai reaksi kepada inferioriti manusia sama ada ia nyata atau hanya khayalan. Apabila perasaan ini telah dibentuk, ia sukar diubah.



3. Kepentingan Bermasyarakat Dan Berkomuniti
Kepentingan masyarakat (sosial) dan perasaan berkomuniti (Gemeinschaftsgefuhl) merupakan konsep penting dalam teori Adler (Ansbacher, 1992). Terma ini merujuk kepada kesedaran individu tentang keterlibatan individu sebagai sebahagian daripada komuniti manusia dan sikap individu dalam mendepani dunia sosial.



Kepentingan masyarakat (sosial) adalah meliputi usaha dalam memberikan masa depan yang lebih baik in term of humanity. Proses sosialisasi yang bermula seawall zaman kanak-kanak, meliputi mendapatkan tempat dalam masyarakat, rasa kekitaan (sense of belonging) dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat (Kefir, 1981 dalam Corey, 2005).



Kepentingan masyarakat (sosial) adalah satu perkara yang diajar, dipelajari dan diapalikasikan. Adler menyatakan kepentingan sosial adalah nilai dimana rasa identifikasi dan berempati kepada orang lain : “to see with the eyes of another, to hear with the eras of another, to feel with the heart of another” (seperti yang disebut di dalam Ansbacher & Ansbacher, 1972, dalam Corey, 2005). Kepentingan masyarakat (sosial) adalah merupakan pusat indikator kesihatan mental. Individu yang mempunyai nilai kepentingan sosial mengarahkan kehidupan yang lebih sihat dan hidup lebih bererti. Daripada perspektif teori Adler, sekiranya nilai kepentingan masyarakat (sosial) tinggi, maka, tidak akan wujud rasa rendah diri (inferiority) dan ketidaksamaan (alienation) di dalam diri individu tersebut.



Teori Psikologi Individu percaya bahawa kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan dikaitkan dengan perhubungan sosial ini. Individu yang kurang perasaan berkomuniti akan menjadi tidak berdaya saing dan akan hidup dalam keadaan yang tidak berfungsi. Adler menekankan bahawa manusia tidak dapat difahami secara isolasi daripada konteks masyarakat. Kita mencari tempat dalam keluarga dan masyarakat untuk memenuhi keperluan untuk keselamatan, penerimaan dan harga diri. Kebanyakkan masalah yang dialami oleh kita adalah rasa ketakutan sekiranya tidak diterima oleh masyarakat. Sekiranya rasa kekitaan (sense of belonging) tidak dipenuhi, maka kita akan menghadapi anxiety. Hanya apabila kita bersatu bersama individu lain barulah kita mampu untuk berdaya saing dalam mendepani masalah-masalah yang kita hadapi (Adler, 1964).



Adler menekankan bahawa, kita perlu memenuhi tiga tugas utama kehidupan :
a. Membina persahabatan (tugas sosial)
b. Memperkukuhkan hubungan (tugas kasih-perkahwinan)
c. Menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat (tugas pekerjaan)



Semua individu perlu memenuhi ketiga-tiga tugas utama ini tanpa mengira usia, gender, masa, budaya dan warna kulit. Dreikurs dan Mosak (1967), dan Mosak dan Dreikurs (1967) menambah 2 lagi tugas kehidupan ini iaitu :
a. Penerimaan kendiri (self-acceptance)
b. Membangunkan dimensi spiritual (nilai, matlamat hidup dan hubungan dengan alam semesta)



Tugas-tugas kehidupan ini adalah merupakan asas kepada kehidupan manusia dan ketidak fungsian pada mana-mana tugas tersebut dilihat sebagai indikator kepada masalah-masalah psychological disorder (American Psychiatric Association, 2000).



4. Hubungan Dan Aturan Kelahiran Anak
Pendekataan Adlerian agak unik dalam memberi perhatian kepada hubungan antara adik beradik dan aturan psikologikal kelahiran dalam satu keluarga. Adler mengenalpasti lima aturan psikogikal ini : anak sulung, anak kedua, anak yang ditengah-tengah, anak bongsu dan anak tunggal. Hal ini kerana, Adlerians melihat kebanyakkan masalah manusia seperti masalah sosial adalah bermula daripada masalah dalam keluarga.



4.1. Anak Sulung
Anak sulung secara amnya mendapat perhatian yang sempurna ketika pada awal kelahirannya. Anak ini akan bergantung dan berusaha untuk terus menjadi perhatian. Apabila adiknya dilahirkan, anak ini akan merasakan dirinya tidak lagi diberikan perhatian. Anak ini tidak lagi unik dan istimewa. Anak ini akan melihat adiknya sebagai perampas kepada kasih sayang ibubapa yang seharusnya adalah milik anak ini.



4.2. Anak Kedua
Secara tipikal, anak kedua berlumba-lumba untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Persaingan ini akan memberi kesan kepada hubungan seterusnya dalam hidup anak ini. Anak kedua kebiasaanya tidak mahu mengalah dan berusaha untuk mencari kelemahan abang atau kakaknya agar anak ini kelihatan hebat dan mendapat pujian daripada ibubapa serta guru-gurunya melalui mencapai kejayaan yang gagal diperoleh oleh kakak atau abangnya. Anak kedua biasanya akan sentiasa tidak sefahaman dengan anak sulung.



4.3. Anak Tengah
Anak tengah merasakan diri mereka tidak dilayan secara adil. Anak tengah biasanya menjadi “switchborad” dan pendamai. Contohnya, dalam empat adik beradik, anak kedua dilihat sebagai anak yang tengah dan anak yang ketiga lebih easygoing, sosial dan rapat dengan anak yang pertama.



4.4. Anak Bongsu
Anak bongsu adalah intan permata dalam keluarga. Kebiasaanya dimanjakan. Anak bongsu kebanyakkannya lebih selesa bertindak mengikut cara mereka sendiri. Anak bongsu kebiasaannya akan membuat sesuatu cara atau keputusan yang tidak pernah difikirkan oleh keluarganya sebelum ini.



4.5. Anak Tunggal
Anak tunggal tidak akan dapat mempelajari berkongsi atau berkerjasama dengan anak-anak yang lain. Anak tunggal biasanya mempunyai sikap kebergantungan kepada ibubapa atau salah seorang daripadanya. Anak ini biasanya menjadi perhatian kasih sayang ibubapa dan sekiranya perhatian ini digugat, maka anak ini akan merasakan dirinya diperlakukan secara tidak adil.



Aturan kelahiran dan interpretasi ke atas kedudukan seseorang dalam keluarga merupakan acuan utama dalam bagaimana kita berhadapan dengan dunia luar. Dalam terapi Adlerian, berhadapan dengan masalah keluarga, hubungan adik beradik merupakan kunci utama dalam penyelesaian masalah ini. Walaupun kita perla mengelak daripada bersifat stereotaip, pendekatan ini membantu dalam melihat bagaimana personaliti individu itu bermula seawal zaman kanak-kanak dan pengaruh persaingan adik beradik ke atas kehidupan masa depan individu itu.



5. Punca Perasaan Rendah Diri
Inferioriti Kompleks (Inferiority complex) adalah dikaitkan dengan ketidaksempurnaan organ seperti cacat fizikal dan sebagainya. Mereka yang cacat ini akan alami inferiority kompleks. Untuk mengatasi perasaan ini, motivasi dialihkan kepada aspek diri yang lebih berkebolehan. Terdapat empat punca yang menyebabkan seseorang mengalami perasaan rendah diri;



1. Kecacatan fizikal. Ianya adalah berkaitan dengan bahagian tubuh badan yang cacat. Untuk menggantirugi (compensate) yang cacat itu, seseorang individu akan tumpukan padanya (untuk melakukan yang terbaik (iaitu akan berusaha bersungguh-sungguh) untuk menggelakkan kegagalan yang boleh menyebabkan inferiority kompleks.

 
 
2. Anak yang terlalu dimanjakan. Anak yang terlalu dilindungi, didominasi dan dimanjakan apabila dewasa nanti akan menjadi seorang yang terlalu bergantung, tidak yakin dan kurang minat bersosial dan akan mendahulukan kepentingan diri sendiri.

 
 
3. Anak yang terbiar dan disisih serta tidak dipedulikan. Pengabaian dan penolakan daripada ibu bapa akan menjadikan anak kurang percaya dan sisihkan diri daripada interaksi sosial. Apabila dewasa nanti akan menjadi seorang yang tidak berganung pada orang lain, menyisih diri, kurang minat sosial, dan berisiko untuk menjadi penjenayah.

 
 
4. Kecacatan mental (mental illness).

PANDANGAN TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU TENTANG SIFAT SEMULAJADI MANUSIA


Adler keluar daripada fahaman teori Psikoanalisis Freud kerana beliau percaya teori Freud terlalu sempit kerana terlalu menekankan konsep penentuan biologikal dan naluri. Adler percaya manusia mula membentuk personaliti seawal usia 6 tahun.



Teori ini memberi fokus kepada persepsi seseorang itu kepada interpretasi kehidupan awalnya mempunyai pengaruh kepada kehidupan yang seterusnya. Berdasarkan teori ini, manusia dimotivasikan oleh “hubungan sosial”. Perlakuan manusia mempunyai tujuan dan berorientasikan matlamat. Terapi dibawah teori ini lebih berfokuskan kepada keadaan sedar (consciousness) berbanding keadaan tidak sedar (unconsciousness). Berlainan daripada Freud, Adler menekankan tentang pilihan dan tanggungjawab, maksud kehidupan, usaha-usaha kepada kejayaan, kelengkapan dan kesempurnaan. Adler dan Freud mempunyai pandangan serta teori yang sangat berbeza, meskipun kedua-duanya membesar di bandar yang sama dan mendapat pendidikan dalam bidang perubatan dari universiti yang sama. Hakikatnya, perbezaan pengalaman individu dan zaman kanak-kanak serta cara asuhan keluarga kedua-dua tokoh ini adalah kunci kepada perbezaan padangan mereka terhadap fitrah semulajadi manusia (Schultz & Schultz, 2005).



Teori Adler ini lebih fokus kepada perasaan inferioriti (rendah diri) di mana Adler melihat perasaan ini sebagai kondisi normal bagi semua manusia dan sebagai sumber (motivasi). Perasaan inferioriti ini tidak dilihat oleh Adler sebagai kelemahan atau tidak normal, sebaliknya ia dilihat sebagai pemangkin kreativiti. Perasaan inferioriti inilah yang memotivasikan manusia untuk menguasai, bersifat superior dan menuju ke arah kesempurnaan. Manusia dipandu untuk berhadapan dengan perasaan inferioriti dan berusaha meningkatkan perkembangan kejayaan pada tahap yang lebih tinggi (Schultz & Schultz, 2005). Matlamat hidup merupakan faktor kepada pembentukan personaliti dan ia menjadi sumber kepada motivasi manusia; setiap daya dan usaha dalam menghadapi perasaan inferioriti adalah seiringan dengan matlamat hidup seseorang itu.



Perspektif Alderian menyifatkan perlakuan manusia tidak diwarisi oleh faktor keturunan dan persekitaran. Sebaliknya, manusia mempunyai kapasiti untuk menterjemah, mempengaruhi dan mencipta rangka usaha ke arah pencapaian matlamat hidup. Perspektif Adlerians ini menekankan kepada pilihan yang manusia buat dengan kemampuan serta kengkangan yang ada pada manusia. Walaupun Adlerians tidak sehaluan dengan pandangan biologikal Freud, tetapi Adlerians mengakui kondisi biologikal dan persekitaran mengehadkan kapasiti manusia untuk membuat pilihan.



Adlerians memberi fokus kepada pendidikan semula kepada individu dan membentuk semula masyarakat. Teori ini merupakan perintis kepada pendekatan psikologi bersifat subjektif yang menekankan kepentingan perlakuan seperti nilai, kepercayaan, sikap, matlamat, minat dan persepsi individu ke atas realiti. Adler adalah pengasas kepada pendekatan psikologi yang bersifat holistik, sosial, berorientasikan matlamat, sistematik dan humanistik.