Jumaat, 2 Disember 2011

MEMPERKASA JATI DIRI PEKERJA

Dalam al-Quran diterangkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah dan menjadi hamba-Nya iaitu menguruskan dunia ini dengan sebaik mungkin mengikut standard piawaian atau peraturan yang ditetapkan-Nya. Selepas itu manusia akan dikembalikan ke akhirat untuk menghadapi penilaian dan pengadilan sejauh mana prestasi mereka melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagaimana piawaian yang telah ditetapkan. Inilah matlamat utama dan hala tuju kehidupan manusia di dunia ini.


Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah adz-Dzaariyat (51) ayat 56 : Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu..” Ibadat yang dimaksudkan ayat tersebut merangkumi ibadat khusus dan ibadat umum. Ibadat umum yang dimaksudkan adalah amal perbuatan manusia selaku khalifah yang bertanggungjawab mengimarahkan bumi ini dengan dengan bekerja dan bermuamalat sesama manusia dan makhluk. Sebagai khalifah yakni pekerja Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas dunia ini, sama ada bekerja dengan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri; manusia mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu.



Menurut ajaran Islam, pada dasarnya setiap pekerjaan orang Islam mempunyai dua sasaran utama : Pertama melaksanakan hak Allah Subhanahu Wa Ta’ala (hablum min-Allah); dan Keduanya melaksanakan hak muamalah sesama manusia (hablum minannaas) seperti politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya.


Umat Islam yang dapat memenuhi dan melaksanakan dua sasaran itu dengan cemerlang akan memperolehi kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Bagaimanapun isu yang sering menjadi perbahasan hangat mengenai pekerja ialah kualiti pekerjaan dan kecemerlangan dalam usaha member perkhidmatan mengikut piawaian yang ditetapkan kepada dua ‘pelanggan’ yang disebutkan di atas iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan manusia.



Islam telah memberi peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti atau bersifat ihsan dalam melakukan setiap pekerjaan.


Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Qasas (28) ayat 77 : Maksudnya : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”


Mafhumnya: Daripada Aisyah Radhiallahu ‘Anha, sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Sesungguhnya Allah sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun. Hadith Riwayat at-Tabrani.


Dalam hadith terkenal yang diriwayatkan al-Bukhari (hadith pertama dalam Kitab Hadith 40 oleh Imam an-Nawawi) mengisahkan Malaikat Jibril Alaihis Salam mengajar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam perihal Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan. Memahami ketiga-tiga komponen berkenaan dengan sebenar-benarnya boleh membawa kepada penghayatan Islam dengan sempurna. Memahami dan menghayati sifat ihsan akan membantu umat Islam melahirkan golongan pekerja yang cemerlang dan berkualiti tinggi. Ihsan bermaksud melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan perasaan yakin bahawa pekerjaan dan ibadat kita dilihat dan dipantau oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


Sabda Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika ditanya oleh Jibril mengenai ihsan : Maksudnya: (Jibril berkata) Terangkan padaku mengenai Ihsan; sabda Baginda: kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu”. Hadith Riwayat al-Bukhari


Unsur penting sifat ihsan ialah bekerja secara profesional, menguasai bidang kerja, kreatif dan inovatif untuk menghasilkan kualiti kerja yang tinggi. Hasil kerja yang baik sudah tentu menjadi hak pekerja dan member kepuasan kepada pelanggan. Berdasarkan dalil al-Quran, hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan pakar pengurusan, prinsip ihsan meliputi perkara berikut :

i. Berakhlak mulia.

ii. Berketerampilan dan berkemahiran tinggi dalam bidang tugas.

iii. Berilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisis sesuatu maslahah dan peka dengan keperluan masyarakat semasa.

iv. Berwawasan dan dapat membuat jangkaan tentang keperluan masa depan.

v. Berkeyakinan tinggi dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti.


Prinsip ihsan tidak berhasil jika kuat beragama semata-mata tetapi tidak menguasai ilmu dan kemahiran bekerja. Prinsip ihsan juga cacat jika hebat menguasai ilmu dan kuat bekerja tetapi lemah dalam penghayatan agama. Berdasarkan pengertian sebenar sifat ihsan ini, pekerja yang menghayati ihsan yang betul akan menjadi pekerja yang bertanggungjawab, beristiqamah dengan suruhan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan sekaligus mengutamakan kepentingan pelanggan dalam melakukan tugasannya ; sama ada ketika berda dalam kalangan orang ramai atau berseorangan di tempat yang sunyi, ketika bersama majikan ataupun ketika dalam ketiadaan majikan. Hal yang demikian kerana mereka sentiasa berada dalam pemantauan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


Pekerja yang melaksanakan tugas mengikut bidang yang ditetapkan dengan penuh ihsan dijanjikan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah, ayat 112 : Maksudnya: ”...bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”


Kecemerlangan sesebuah organisasi itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat dan tidak dapat kita capai tanpa ada perubahan ke arah peningkatan.


Selari dengan tuntutan ajaran Islam, Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan positif dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah ar-Ra’d (13) ayat 11: Maksudnya: “...sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...”


Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan keperluan kehidupan manusia sejagat akan memperkasa jati diri dan meningkatkan harga diri pekerja. Seseorang akan takut melakukan perbuatan keji dan tercela seperti kerosakan, penipuan, rasuah, curi tulang, ponteng kerja dan perbuatan negatif yang lain sekiranya penghayatan ihsannya berada di tahap yang tinggi.


Janganlah hendaknya mana-mana pekerja mendapatkan rezeki atau kekayaan dengan sembarangan yakni jalan yang haram dan syubhah seperti penipuan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, penganiayaan dan lain-lain.


Semua pendapatan dan kekayaan yang didapati dengan cara haram seperti itu adalah pendapatan dan kekayaan yang tidak berkat; yang hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagian dalam hidup. Bahkan ia akan membawa kesengasaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat serta tidak mungkin dapat memberi kebaikan pada jiwa pekerja.



Marilah sama-sama kita memperkasa jati diri dengan menghayati sifat ihsan supaya setiap amalan dan pekerjaan kita memenuhi standard piawaian Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan memenuhi tuntutan Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta member kepuasan manusia sejagat.


Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah at-Taubah, ayat 105 : Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”


Semoga para pekerja yang beroleh keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan beroleh sebesar-besar ganjaran di sisi-Nya dan akan dapat bertemu dengan Allah dengan hati yang tenang dan lapang. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam (sebahagian ayat) surah al-Kahf, ayat 110 : Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

Tiada ulasan: