Sabtu, 31 Disember 2011

KEFUNGSIAN KELUARGA RUMAH ANAK YATIM

Dalam kehidupan manusia di dunia ini tidak semua anak-anak bernasib baik dengan mendapat keluarga bahagia yang boleh menjamin kehidupan yang selesa, mesra, selamat dan terjamin. Ramai yang menyedari hakikat bahawa betapa tingginya pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa untuk mencipta sebuah keluarga yang bahagia dan berfungsi. Ramai juga yang melalui kehidupan berkeluarga dalam keadaan penuh ranjau dan duri. Dalam kebanyakkan keluarga anak-anak dibela dengan penuh kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh. Ada pula sesetengah ibu bapa yang tidak menghargai kehadiran anak-anak mereka dan menganggap anak-anak sebagai punca penderitaan dan kepedihan yang ditanggung dan akibatnya anak-anak hidup terbiar, dibeza-bezakan, dianiaya malah kadang-kadang dibunuh.

Keluarga yang damai dan harmoni biasanya memupuk ikatan yang kukuh sesama ahli keluarga dan akhirnya boleh bertindak sebagai benteng kepada gejala-gejala tidak sihat daripada mempengaruhi ahli-ahli keluarga (anak-anak). Menurut Garison (1965, dalam Azaman dan Saedah, 2005) untuk membina sesebuah keluarga yang berfungsi dengan baik bukan sahaja perlu memenuhi keperluan fizikal seperti kewangan dan kemewahan malahan yang lebih penting ialah keperluan psikologikal juga penting seperti keperluan kasih sayang dan kemesraan di dalam keluarga. Cara-cara ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak mereka selalunya memberi kesan ke atas anak-anak itu dalam mereka membina keyakinan tentang kebolehan mereka dan nilai yang dipegang pada diri mereka.

Erikson (1963, dalam Azaman dan Saedah, 2005) memberikan penekanan tentang pentingnya perkembangan penghargaan kendiri pada peringkat  remaja dengan menyatakan bahawa perkembangan personaliti bergantung kepada kebebasan individu dalam menentukan pilihan mereka sendiri. Ini disebabkan seseorang individu itu bertambah sedar tentang kewujudan dirinya aka perkembangan penghargaan kendiri membolehkannya membina dan mengintegrasikan konsep tentang dirinya. Manakala keluarga adalah salah satu faktor yan mempengaruhi perkembangan konsep kendiri. Konsep kendiri dikatakan bermula dalam persekitaran melalui interaksi yang mesra dan intensif, seseorang individu dapat mementuk konsep tentang dirinya (Law Paw Liew & Mohamad Haji-Yusuf, 1991).

Pada masa kini, pelbagai usaha dilakukan bagi membantu anak-anak yatim dari segi pendidikan, pembelaan, kemudahan tempat tinggal serta pembelajaran yang sempurna di samping bantuan kewangan. Walaupun masa depan mereka banyak bergantung perhatian daripada kerajaan dan masyarakat yang sentiasa peka dengan nasib mereka, namun begitu usaha-usaha yang berkaitan dengan psikologi masih belum mencapai tahap memuaskan.

Pembentukan keluarga penjaga kepada anak-anak yatim yang bahagia memerlukan struktur kekeluargaan yang sihat dan kukuh. Ini bererti semua ahli-ahli dalam keluarga tersebut perlu mempunyai ciri-ciri kualiti hubungan yang positif, bersatupatu, tidak berlaku perbalahan di kalangan ahli keluarga, khususnya ibu bapa penjaga dengan anak-anak yatim. Proses interaksi ini melibatkan persepsi yang mendorong penghasilan tindakbalas. Kualiti perhubungan dapat mewujudkan keharmonian rumahtangga. Keharmonian akan meninggalkan kesan positif  dalam jiwa anak-anak. Jika mereka dibesarkan dalam suasana kacau bilau, suasana sedemikian akan membentuk suatu persepsi yang negatif terhadap kekeluargaan dan konsep kendiri yang negatif. Dengan adanya institusi rumah anak yatim, ianya menjadi tempat anak-anak yatim mendapat perlindungan, penjagaan dan kasih sayang sekaligus ia menjadi ibu bapa kedua selepas kematian ibu bapa mereka. Ia berfungsi menjadi sebuah keluarga bahagia, yang memelihara, mendidik dan mengasuh. Ringkasnya persekitaran atau cara asuhan dan didikan di rumah anak yatim akan mempengaruhi pembentukan personaliti dan konsep kendiri anak yatim.    

Tiada ulasan: