Jumaat, 9 Disember 2011

KUALITI KEHIDUPAN BERKERJA : PENGENALAN

Pada masa kini perkataan kualiti kehidupan bekerja (KKB) atau dalam bahasa Inggerisnya, Quality of working life telah banyak digunakan untuk menerangkan persekitaran dan nilai kemanusiaan mengenai masyarakat industri dalam kemajuan teknologi, produktiviti industri dan perkembangan ekonomi.

Menurut Nurick dalam Cheah Sau Wan (1995) kualiti kehidupan bekerja telah menjadi isu penting  sejak sedekad lalu khasnya di barat. Kebanyakkan syarikat-syarikat besar mempunyai program KKB yang beridentiti. Antara program yang paling terkenal diamalkan ialah Program Quality of Work Michigan yang dijalankan pada tahun 1972 oleh American Center of Work life bersama dengan Institute for Social Research University of Michigan. Projek ini telah direkabentuk sebagai ekseperimen demonstrasi.

Mills (1975) menganggap bidang  kualiti kehidupan bekerja yang muncul di  Amerika  Syarikat pada awal tahun 1970-an sebagai suatu bidang yang berkembang dalam berbagai dimensi. Beliau telah memberi 4 andaian mengapa bidang ini menjadi tumpuan perhatian para pengurus di Amerika Syarikat (Sebastian 1983). Andaian tersebut ialah;
1. Perenggangan para pekerja di Amerika Syarikat.
2. Sikap bosan para pekerja dan rasa tidak puashati dengan pekerjaan mereka.
3. Motivasi dan tingkah laku yang menghasilkan produktiviti pekerja semakin merosot dan jangkaan pekerja yang semakin hari semakin meningkat.
4. Idea-idea pekerja dan pihak pengurusan yang semakin hari semakin berubah sifatnya.

Dua perkara yang telah menjadi peransang kepada kemunculan bidang KKB di Amerika Syarikat iaitu yang pertama ialah kemelesetan ekonomi dan berkembang masalah-masalah sosial dan yang keduanya ialah kepentingan bidang ini kepada pihak pengurusan dan pekerja. Isu KKB telah menjadi penting dengan beberapa tujuan yang melibatkan pembaikan kemerosotan produktiviti yang yang dialami oleh syarikat perusahaan di Amerika Syarikat. Pada tahun 1978 laporan ekonomi menunjukkan produktiviti adalah sesuatu yang sangat penting dalam masalah ekonomi di Amerika Syarikat. Kekurangan moral dan ketidakpuasaan kerja adalah punca produktiviti menurun. Selain itu alasan menggunakan program KKB kerana berlaku peningkatan berhenti kerja atau penggantian yang dialami oleh organisasi industri. Kedaan ini menimbulkan banyak masalah kepada organisasi.

Dalam konteks negara kita, terdapat kajian-kajian telah dilakukan kebanyakkannya berkaitan dengan kepuasan  kerja yang merupakan salah satu aspek KKB. Mengikut Sebastian (1983) program KKB di Malaysia bermula apabila Presiden Kongres Persatuan Pekerja iaitu P. Narayan membentangkan ucapannya dalam Seminar Humanisation of Work. Beliau telah menekankan supaya aspek kemanusiaan dilaksanakan (diberi perhatian) di tempat kerja memandangkan terdapat banyak isu-isu kemalangan dan isu-isu pencemaran berlaku di sekitar industri. Kongres Persatuan Pekerja telah meletakkan sasaran supaya program KKB lebih banyak dilibatkan kepada anggotanya.

Menurut Fournet, Distefano dan Duyer (1970) KKB lebih bersifat menyeluruh untuk mengukur kepuasan kerja. Suttle (1977) turut menambah bahawa KKB mampu memberi sumbangan besar kepada kesihatan mental, kepuasan kerja, melahirkan pekerja yang produktif dan menguntungkan organisasi (dlm. Fatimah Wati Halim dan Iran Herman 1997). KKB dinyatakan oleh Klaleque dan Rahman (1987) adalah berkait rapat dengan kepuasan kerja, masalah ketidakhadiran kerja dan seterusnya pulangan kepada organisasi.

Brief, Schuler dan Van Sell (1981) menyatakan penentu utama kepada KKB adalah keadaan psikologikal individu ditempat kerja atau kegembiraan terhadap kerja. Ia merujuk kepada persoalan adakah nilai kerja mempunyai hubungan dengan KKB. Keadaan psikologikal ini merujuk kepada erti pekerjaan yang dihayati, tanggungjawab atas hasil pekerjaan yang dialami dan pengetahuan tentang hasil-hasil aktiviti pekerjaannya (Hackman dan Lawler, 1971; Hackman dan Oldman 1975, 1979, dlm. Fatimah Wati Halim dan Iran Herman 1997).

(BERSAMBUNG - KUALITI KEHIDUPAN BERKERJA : DARI SEGI DEFINISI)

Tiada ulasan: