Ahad, 14 Julai 2013

PANDANGAN TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU TENTANG SIFAT SEMULAJADI MANUSIA


Adler keluar daripada fahaman teori Psikoanalisis Freud kerana beliau percaya teori Freud terlalu sempit kerana terlalu menekankan konsep penentuan biologikal dan naluri. Adler percaya manusia mula membentuk personaliti seawal usia 6 tahun.



Teori ini memberi fokus kepada persepsi seseorang itu kepada interpretasi kehidupan awalnya mempunyai pengaruh kepada kehidupan yang seterusnya. Berdasarkan teori ini, manusia dimotivasikan oleh “hubungan sosial”. Perlakuan manusia mempunyai tujuan dan berorientasikan matlamat. Terapi dibawah teori ini lebih berfokuskan kepada keadaan sedar (consciousness) berbanding keadaan tidak sedar (unconsciousness). Berlainan daripada Freud, Adler menekankan tentang pilihan dan tanggungjawab, maksud kehidupan, usaha-usaha kepada kejayaan, kelengkapan dan kesempurnaan. Adler dan Freud mempunyai pandangan serta teori yang sangat berbeza, meskipun kedua-duanya membesar di bandar yang sama dan mendapat pendidikan dalam bidang perubatan dari universiti yang sama. Hakikatnya, perbezaan pengalaman individu dan zaman kanak-kanak serta cara asuhan keluarga kedua-dua tokoh ini adalah kunci kepada perbezaan padangan mereka terhadap fitrah semulajadi manusia (Schultz & Schultz, 2005).



Teori Adler ini lebih fokus kepada perasaan inferioriti (rendah diri) di mana Adler melihat perasaan ini sebagai kondisi normal bagi semua manusia dan sebagai sumber (motivasi). Perasaan inferioriti ini tidak dilihat oleh Adler sebagai kelemahan atau tidak normal, sebaliknya ia dilihat sebagai pemangkin kreativiti. Perasaan inferioriti inilah yang memotivasikan manusia untuk menguasai, bersifat superior dan menuju ke arah kesempurnaan. Manusia dipandu untuk berhadapan dengan perasaan inferioriti dan berusaha meningkatkan perkembangan kejayaan pada tahap yang lebih tinggi (Schultz & Schultz, 2005). Matlamat hidup merupakan faktor kepada pembentukan personaliti dan ia menjadi sumber kepada motivasi manusia; setiap daya dan usaha dalam menghadapi perasaan inferioriti adalah seiringan dengan matlamat hidup seseorang itu.



Perspektif Alderian menyifatkan perlakuan manusia tidak diwarisi oleh faktor keturunan dan persekitaran. Sebaliknya, manusia mempunyai kapasiti untuk menterjemah, mempengaruhi dan mencipta rangka usaha ke arah pencapaian matlamat hidup. Perspektif Adlerians ini menekankan kepada pilihan yang manusia buat dengan kemampuan serta kengkangan yang ada pada manusia. Walaupun Adlerians tidak sehaluan dengan pandangan biologikal Freud, tetapi Adlerians mengakui kondisi biologikal dan persekitaran mengehadkan kapasiti manusia untuk membuat pilihan.



Adlerians memberi fokus kepada pendidikan semula kepada individu dan membentuk semula masyarakat. Teori ini merupakan perintis kepada pendekatan psikologi bersifat subjektif yang menekankan kepentingan perlakuan seperti nilai, kepercayaan, sikap, matlamat, minat dan persepsi individu ke atas realiti. Adler adalah pengasas kepada pendekatan psikologi yang bersifat holistik, sosial, berorientasikan matlamat, sistematik dan humanistik.

1 ulasan:

hafizahanis berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.