Jumaat, 1 Jun 2012

KUALITI KEHIDUPAN BERKERJA ( KKB ) SECARA RINGKAS

Konsep kerja dan pekerja merupakan satu perkara yang seiringan membaiki dan meningkatkan sistem kualiti kehidupan yang dialami di dalam pekerjaan. KKB yang merupakan sebahagian daripada teknik pembangunan organisasi yang direkabentuk untuk meningkatkan kefungsiaan organisasi dari segi memberi perhatian kepada aspek kemanusiaan di tempat kerja, menjadikan ianya lebih demokratik dan melibatkan pekerja dalam membuat keputusan.



Seperti yang dijelaskan bahawa KKB telah menjadi isu penting, yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan dalam organisasi. Dengan ini dalam pengurusan organisasi, perhatian mula difokuskan kepada kualiti kemanusiaan yang berlaku di tempat kerja. Pada masa yang sama kebanyakkan syarikat membuat persoalan adakah mereka (pengurusan) secara sendirian dapat bersaing dalam dunia pasaran tanpa sokongan dan kerjasama daripada pekerja-pekerja mereka. Oleh itu banyak organisasi telah melakukan pelbagai kajian untuk meningkat dan memperbaiki produktiviti organisasi dan kualiti kehidupan bekerja untuk pekerja mereka. Ini dilakukan dengan kerjasama kedua-dua belah pihak (pengurusan dan pekerja) (French, Bell dan Zawacki 1989).



Hasil daripada itu kebanyakkan syarikat telah mula menjalankan program-program KKB dengan menggunakan pendekatan yang sesuai di organisasi mereka. Walau apapun program yang digunakan untuk melaksanakan KKB semuanya mempunyai matlamat yang sama. Ini dinyatakan oleh Greenberg dan Baron (1997) iaitu “walaupun terdapat banyak pendekatan yang digunakan untuk memperbaiki kualiti kehidupan bekerja, namun semuanya berkongsi menghala kepada matlamat yang sama iaitu tempat bekerja yang lebih menekankan aspek kemanusiaan”.



Seperti yang telah dijelaskan KKB berhubungkait dengan aspek psikologikal. Dengan meningkatnya program KKB maka dengan sendirinya akan meningkat perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti peningkatan produktiviti. Ini telah pun di kaji di Amerika Syarikat dan program-program meningkatkan KKB telah dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah ia juga membawa faedah-faedah lain seperti kepuasan kerja, komunikasi organisasi yang lebih baik, kualiti barangan yang tinggi, kadar ponteng yang rendah dan perkara-perkara lain. Selain itu peningkatan KKB boleh membawa bukan sahaja organisasi kerja yang lebih baik, bahkan ia juga membawa satu masyarakat yang lebih baik.



Secara ringkasnya dalam konteks Malaysia, sekiranya dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, England, dan sebagainya yang telah melaksanakan rancangan-rancangan meningkat KKB, di negara kita masih sedikit yang melaksanakan program KKB sama ada di organisasi awam atau swasta. Dengan itu perlulah usaha kerjasama daripada pihak pengurusan dan pekerja untuk melaksanakan program KKB. Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam memastikan program KKB dilaksana dan diberi perhatian oleh pihak organisasi.



Selepas itu perlu dilakukan kajian atau penilaian ke atas program KKB yang telah dilaksanakan untuk mengetahui kedudukan sebenar KKB sama ada berjaya atau tidak. Sekiranya terdapat kelemahan maka perlu diperbaiki untuk memantapkan program tersebut. Dengan itu program KKB ini akan berkembang luas di Malaysia.

Tiada ulasan: