Rabu, 27 Julai 2011

KISAH SEBUAH JAM

Tersebutlah kisah, seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya. "Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik sekurangnya 
31,104,000 kali dalam setahun?" "Ha?," kata jam terperanjat, "Mana sanggup saya?"  "Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?" "haa...lapan puluh enam ribu empat
ratus kali? Dengan jarum yang ramping-ramping seperti ini?" jawab jam penuh
keraguan.

"Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?" "Dalam satu jam harus berdetik
3,600 kali? Banyak sekali tu" tetap saja jam ragu-ragu dengan kemampuan
dirinya. Tukang jam itu dengan penuh kesabaran kemudian bicara kepada si jam. "Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap saat?" "Haaaa, kalau begitu,
aku sanggup!" kata jam dengan penuh semangat.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetik satu kali setiap saat. Tanpa
terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana
ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetik tanpa henti. Dan itu
bererti ia telah berdetik sebanyak 31,104,000 kali.

Moral : Ada kalanya kita ragu-ragu dengan segala tugas pekerjaan yang begitu terasa
beratnya. Namun sebenarnya kalau kita sudah menjalankannya, kita ternyata mampu.
Bahkan yang asalnya kita anggap mustahil untuk dilakukan sekalipun boleh diselesaikan. Itu bergantung bagaimana kita melihat dan mengenal pekerjaan dan tugasan kita, apabila kita boleh membahagi-bahagikan kerja/ tugasan menjadi fragmen-fragmen yang kecil, maka ianya akan lebih menjadi mudah untuk diselesaikan. Jangan berkata "tidak" sebelum anda cuba melakukannya.

Jumaat, 15 Julai 2011

99 LANGKAH MENUJU KESEMPURNAAN IMAN

1. Bersyukur apabila mendapat nikmat;

2. Bersabar apabila mendapat kesulitan;

3. Bertawakal apabila mempunyai rencana/ program;

4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;

5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;

6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;

7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;

8. Jangan usik dengan kekayaan orang;

9. Jangan hasad dan iri hati atas kejayaan orang;

10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan;

11. Jangan tamak kepada harta;

12. Jangan terlalu ambitious akan sesuatu kedudukan;

13. Jangan hancur kerana kezaliman;

14. Jangan goyah kerana fitnah;

15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri;

16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;

17. Jangan sakiti ayah dan ibu;

18. Jangan usir orang yang meminta-minta;

19. Jangan sakiti anak yatim;

20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;

22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);

23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu’;

24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;

25. Biasakan diri dengan solat malam;

26. Perbanyak zikir dan doa kepada Allah;

27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;

28. Sayangi dan santuni fakir miskin;

29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;

30. Jangan marah berlebih-lebihan;

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;

32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah;

33. Berlatihlah konsentrasi fikiran;

34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana 
sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;

35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/ syaitan;

36. Jangan percaya ramalan manusia;

37. Jangan terlampau takut miskin;

38. Hormatilah setiap orang;

39. Jangan terlampau takut kepada manusia;

40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;

41. Berlakulah adil dalam segala urusan;

42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;

44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;

45. Perbanyak silaturrahim;

46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;

47. Bicaralah secukupnya;

48. Beristeri/ bersuami sekiranya sudah bersedia segala-galanya;

49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;

50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin;

52. Sediakan waktu untuk istirehat dengan keluarga;

53. Makanlah secukupnya tidak berkurangan dan tidak berlebihan;

54. Hormatilah kepada guru dan ulama;

55. Sentiasa berselawat kepada Nabi;

56. Cintai keluarga Nabi S.A.W.;

57. Jangan terlalu banyak hutang;

58. Jangan terlampau mudah berjanji;

59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah
kehidupan sementara;

60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat  seperti bercakap yang tidak berguna;

61. Bergaullah dengan orang-orang soleh;

62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;

63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;

64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;

65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan;

66. Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya;

67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;

68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan;

69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mengalami kesulitan;

70. Jangan melukai hati orang lain;

71. Jangan membiasakan berkata dusta;

72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mengalami kerugian;

73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;

74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;

75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita;

76. Jangan membuka aib orang lain;

77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, dan lihat pula orang yang lebih
kaya dari kita;

78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;

79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;

80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya;

81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara;

82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;

83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;

84. Berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja;

85. Hargai prestasi dan pemberian orang;

86. Jangan habiskan waktu untuk sekadar hiburan dan kesenangan;

87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun tidak menyenangkan;

88. Luangkan waktu bersukan yang sesuai dengan norma-norma agama dan keadaan diri kita;

89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita menjadi
terganggu;

90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;

91. Melupakan kesalahan orang;

92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;

93. Jangan cepat percaya kepada berita negatif yang berkaitan sahabat kita sebelum dipastikan kebenarannya;

94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;

95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan;

96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;

97. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;

98. Yakinlah bahawa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan merosakkan;

99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

Khamis, 14 Julai 2011

LOBAK, TELUR DAN SERBUK KOPI

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan menanyakan mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Dia sudah letih untuk berjuang. Setiap kali satu masalah selesai, timbul masalah baru.

Ayahnya seorang tukang masak, membawanya ke dapur. Dia mengisi 3 periuk dengan air dan meletakkannya di atas api. Setelah air di ketiga-tiga periuk tersebut mendidih, ia memasukkan lobak merah ke dalam periuk pertama, telur di periuk kedua dan serbuk kopi di periuk terakhir. Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar, memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya.

Setelah 20 minit, si ayah mematikan api dan meletakkan ketiga-tiga bahan tersebut ke dalam mangkuk yang berasingan. Lalu ia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak, telur, dan kopi" jawab si anak.

Ayahnya mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasai lobak itu. Dia melakukannya dan merasakan bahawa lobak itu terasa enak. Ayahnya lalu memintanya mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, dia mendapati sebiji telur rebus yang mengeras. Akhir sekali, ayahnya meminta anaknya untuk minum kopi. Si anak tersenyum seketika, sambil meminum kopi dengan aromanya yang sungguh enak itu. Setelah itu, si anak bertanya, "Apa erti semua ini, Ayah?"

Ayahnya menerangkan bahawa ketiga-tiganya telah menghadapi kesulitan yang sama iaitu perebusan, tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza. Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Cengkerangnya nipis, melindungi isinya yang mengandungi cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut.

"Kamu termasuk yang mana?," tanya ayahnya. "Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui. Ketika kamu mengalami kesukaran dan kesulitan, bagaimana kamu menghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau serbuk kopi?"

Moral :
Adakah anda lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kamu menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatanmu.

Atau adakah anda telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis. Namun setelah adanya kematian, patah hati, perceraian atau kegagalan maka anda menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi didalamnya menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku.

Atau anda adalah serbuk kopi. Serbuk kopi merubah rasa dan warna air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimum pada suhu 100 darjah Celcius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat.

Jika anda seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, anda akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitar anda juga menjadi semakin baik.

MENANGANI KONFLIK EMOSI

1. Bahaya Kemarahan
“Hendaklah berfikir dua kali sebelum berbicara kerana telinga dan lidah hanya satu.  Orang bijaksana selalu berlidah di hati, sedangkan orang jahil berhati di lidah.  Kerana itu yang berkata adalah hati, bukannya lidah. Orang yang sedang marah berkata dengan hati, bukan lidahnya.  Berfikir itu pangkal kemanusiaan dan berfikir dengan akal merupakan kelebihan bagi manusia”. Pada masa kini, kita sering terbaca dalam media massa kes-kes yang melibatkan hilangnya kawalan emosi manusia seperti penderaan, amuk, pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Hakikatnya, kes-kes ini bermula dengan rasa ketidakpuasan hati yang akan mencetuskan perasaan marah akibat hilang kawalan diri serta pertimbangan rasional.  Apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah, maka mudah untuk syaitan menguasai dirinya. 

Hasutan terhadap emosi manusia merupakan peranan syaitan untuk menjadikan manusia tidak dapat mengawal dirinya dan bertindak di luar batasan. Sifat marah adalah sifat semulajadi manusia namun ia akan menimbulkan masalah apabila manusia menjerumus keseluruhan dirinya dalam kemarahan melampau. Dr. Shalid Athar menjelaskan, kemarahan tanpa kawalan menjadikan manusia bertindak tanpa berfikir dan cenderung untuk bertindak balas mengikut keinginan semata-mata. Namun, manusia dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T. mempunyai pilihan sama ada mengawal sifat tersebut atau cenderung mengikut keinginan jahat syaitan.

a). Marah Sebagai Gelojak Kejiwaan
Marah merupakan satu gelojak kejiwaan yang menyebabkan darah di dalam hati bergolak dan nafsu membara serta memberontak. Ia diibaratkan sebagai gua yang dipenuhi nyalaan api yang sedang marak dan nyalaan ini sukar untuk dipadamkan bahkan jika diusik ia akan menyemarakkan lagi nyalaannya.

b). Kesan Marah
Kesan yang dihasilkan oleh perasaan marah adalah hilangnya pertimbangan dan kawalan diri daripada kewarasan akal kerana dikuasai nafsu kemarahan serta emosi yang kuat membara.  Keadaan seperti ini, akal tidak boleh berfikir secara rasional dan biasanya tindakan akan dipengaruhi oleh emosi.  Selain itu, kemarahan juga akan mencetuskan hal-hal berikut ;

i. Menutup Pintu Hati
Orang marah akan menutupi mata dan telinga terhadap sebarang teguran dan nasihat.  Hal ini boleh disamakan dengan perumpamaan Melayu iaitu “mencurahkan air ke daun keladi”. Ketika ini mata hati juga tidak berfungsi.  Dalam keadaan seperti itu, segala nasihat dan teguran tidak akan dilayan dan didengar malah makin memperhebatkan lagi kemarahan itu seperti mencurahkan minyak petrol ke dalam nyalaan api.

ii. Mengeraskan Hati
Begitu juga dengan hati, ia akan menjadi keras seperti batu kerikil yang tidak dapat dipecahkan oleh teguran dan nasihat. Kemarahan yang merasuk jiwa akan menyebabkan seseorang akan lupa pada dirinya sendiri.  Seseorang yang dirasuki oleh perasaan marah yang melampau tidak akan memikirkan kesan daripada perbuatannya tetapi hanya bertindak asalkan dapat memuaskan hatinya.

c). Kadar Kemarahan
Kadar atau tingkat kemarahan dalam diri setiap manusia itu berbeza-beza. Ia bergantung kepada keadaan peribadi masing-masing. Ibarat kayu basah dan kayu kering. Kayu basah akan mengambil masa yang lama untuk terbakar berbanding kayu kering. Tetapi jika suatu kebakaran atau nyalaan api itu sudah semakin besar, maka tidak ada bezanya antara kayu basah atau kayu kering. Kedua-duanya menimbulkan kesan negatif terhadap persekitarannya. Begitu juga dengan kemarahan seseorang individu. Jika kemarahannya berkobar, maka benak yang seharusnya dapat memberi pertimbangan antara baik dan buruk sudah tertutup oleh nyalaan api kemarahan.

Socrates, seorang tokoh falsafah Yunani yang terkenal dengan prinsip berpegang teguh kepada keyakinannya pernah berkata : “Saya lebih rela berhadapan dengan kapal yang diserang oleh badai angin dan ombak dasyat daripada menghadapi seseorang yang sedang marah. Kelasi-kelasi kapal dapat mengawal kapal yang dikuasi oleh badai dan ombak ganas menggunakan berbagai cara dan peralatan. Tetapi jika berhadapan dengan jiwa yang dilanda kemarahan, segala usaha untuk meredakan kemarahan sama ada dengan memujuk, nasihat atau dengan sikap menunduk tidak berkesan dan sia-sia malah usaha itu seolah-olah melemparkan tompokan kayu ke dalam api yang akan menambahkan lagi nyalaannya”

d). Kenapa Anda Marah
Terdapat banyak punca yang menyebabkan tercetusnya api kemarahan.  Biasanya, ia disebabkan oleh gangguan emosi sehingga mudah tersinggung dan rasa ketidakpuasan hati.

i. Nafsu Membalas Dendam
Sombong, takbur, meminta dengan berlebihan, berbohong, mengejek, khianat, bergurau, menyakitkan hati orang lain dan mencari hal-hal yang membawa kemasyhuran sering membuat manusia saling bersaing dan iri hati. Semua penyebab itu mengarah kepada nafsu untuk membalas dendam.

ii. Tidak Dapat Mengawal Emosi
Kemarahan biasanya tercetus akibat adanya gangguan di dalam otak iaitu berupa emosi yang tidak dapat dikawal.  Kemarahan akan mengakibatkan individu terdorong kepada sikap menyesal, mengharap dapat dihukum dengan cepat atau lambat, serta kepedihan di dalam hati. Marah adalah kegilaan sesaat yang boleh menyebabkan kematian atau penyakit yang mengarah kepada kematian. 

iii. Tidak Tercapai Keinginan
Marah sering digunakan sebagai jalan untuk mengeksploitasi orang lain.  Lihat sahaja perilaku marah seorang suami yang memaki hamun isterinya hanya gara-gara masakan si isteri yang tidak mencapai “standard” yang diinginkan. 

e). Bagaimana Mengatasi Perasaan Marah
Setiap penyakit itu ada ubatnya.  Setiap tindakan itu ada penyebabnya.  Begitu juga dengan perasaan marah. Jika kita hendak menyingkirkan sebab-sebab ini, kita lemahkan dahulu daya marahnya dan lindungi diri daripada akibat-akibatnya.  Malah, jika marah itu muncul semula, kita mesti mentaati aturan akal.  Dengan itu, tindakan kita itu adalah wajar serta dapat meredakan kemarahan.

i. Menghilangkan Sifat Sombong
Antara teknik berkesan untuk mengatasi perasaan marah ialah dengan membuang sifat sombong. Kita marah kerana kita terlalu yakin kita benar dan tidak mahu mengalah kepada kehendak atau pandangan orang lain.  Selain itu, apabila kita mempunyai satu pandangan yang percaya kita tidak perlukan sokongan orang lain, menyebabkan kita angkuh dan sukar mendengar nasihat serta teguran orang lain.

ii. Menghilangkan Sifat Bangga Dalam Diri
Apabila kita memiliki sifat bangga dalam diri atas kekayaan, kecantikan serta kecerdikan yang ada pada diri kita menyebabkan kita mudah marah sekiranya kelebihan kita itu disaingi oleh orang lain. 

iii. Kurangkan Bergurau Senda Berlebihan
Gurau senda yang berlebihan adalah penyebab kepada sikap marah meskipun niat pada awalnya hanyalah untuk membangkitkan perasaan jenaka. Tetapi, sekiranya lawak jenaka itu menyentuh soal peribadi yang boleh menganggu gugat imej atau maruah sudah pasti ia akan membangkitkan kemarahan. Terdapat bijak pandai yang berkata : “Berapa banyak keretakkan, yang diakibatkan oleh gurauan, bahkan beberapa peperangan, awalnya dengan gurau senda”.

iv. Mengubati Jiwa Yang Sakit
Marah merupakan suatu jenis penyakit jiwa yang serius dan merbahaya. Jika seseorang sudah dapat menghilangkan penyebabnya, maka dia sudah tidak takut lagi bila amarah menyerangnya. Akal fikiran akan dapat memutuskan apa yang harus dilakukannya.  Kesihatan jiwa akan tumbuh seiring dengan kemampuan orang tersebut untuk menahan amarah. Menghilangkan rasa adalah penting bagi menjamin sikap positif dalam berkomunikasi dengan orang lain. Untuk menghilangkan punca-punca yang mengakibatkan marah, kita ubati jiwa yang sakit itu dahulu.

Memang, manusia tidak mungkin bebas sepenuh-penuhnya daripada rasa amarah.  Namun paling tidak, kapasitinya akan berkurang.  Ibarat api yang hampir padam tetapi masih membara jika ditiup.  Jika ditiup dengan cara yang baik, ia akan menyala dengan baik.

f). Mengawal Perasaan Marah
Perasaan marah adalah cetusan emosi normal bagi setiap manusia.  Sekiranya kita berhadapan dengan situasi yang menganggu kestabilan emosi, sudah pasti kesannya adalah perasaan marah, cuma sebagai seorang yang berakal kita perlu bijak dalam mengawal perasaan marah agar ia tidak akan menganggu perjalanan kehidupan seharian kita. 

Dalam konteks perkhidmatan awam, sekiranya kita tidak mengawal perasaan marah sudah pasti ia akan mencacatkan imej profesionalisme penjawat awam terutama dalam kita berhadapan dengan karenah pelanggan yang pelbagai.

g). Tip Mengatasi Marah
i. Jangan terlalu cepat sensitif dan melatah dengan keadaan sehingga membuat anda terburu-buru sama ada dari segi emosi mahu pun perbuatan.  Selidik dan cari alternatif lain.

ii. Alihkan perhatian anda dengan berundur daripada situasi yang tegang, menarik nafas sedalam-dalamnya dan biarlah akal mengimbanginya

iii. Beristighfar dan berdoa agar Allah S.W.T. melindungi diri daripada gangguan syaitan.

iv. Ubah posisi fizikal anda, sama ada duduk ataupun bangun.  Dari sudut bahasa badan, ia menandakan anda tidak berminat memanjangkan perbalahan.

v. Sentiasa mengingati diri bahawa kemarahan Allah S.W.T. terhadap kederhakaan kita jauh lebih besar daripada kemarahan kita terhadap sesuatu.

vi. Sentiasa memaafkan kerana ia adalah sifat seorang mukmin yang memohon keampunan Allah S.W.T.

vii. Tanamkan perasaan kasih terhadap manusia kerana Allah S.W.T. mempunyai rasa kasih terhadap hamba-hambaNya sebagaimana yang disebut didalam hadis Qudsi “Belas ihsanKu melebihi amarahKu”.

viii. Menunaikan solat dan meluahkannya serta bergantung harap kepada Allah S.W.T. terhadap apa yang berlaku melalui doa.

x. Terapi air melalui wuduk atau mandi untuk menyejukkan fizikal dan emosi. Minum atau biarkan sedikit air dalam mulut sehinggalah individu yang cuba bertelagah kembali tenang.

xi. Bertindak bertentangan, sentiasa melatih diri dengan suara minda bahawa anda seorang yang positif dan tenang dan anda sentiasa sedar ada hikmah serta cubaan dalam setiap keadaan.

2. Marah Dan Tekanan Perasaan
“Orang yang sedang marah-marah dan berkata kasar, bererti dia sedang menunjukkan kekasarannya dan kebodohannya”. Biasanya tekanan perasaan merupakan salah satu punya tercetusnya api kemarahan.  Emosi orang yang berada dalam keadaan tertekan amat sensitif dan mudah terasa.  Ketika ini, setiap usaha untuk menenangkannya jika tidak kena pada cara dan tempat akan dapat menambahkan lagi kemarahannya. Kesan buruk atau negatif akan berlaku sekiranya tekanan perasaan ini tidak diurus dengan baik, ia akan mencetuskan kemarahan yang melampau. Antaranya ;

a). Hubungan Marah Dan Tekanan Perasaan
i. Tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan

ii. Ia bukan suatu penyakit yang berbentuk fizikal

iii. Tekanan adalah sesuatu yang menimbulkan perasaan tegang, takut, marah atau kecewa

iv. Tekanan yang berlebihan dan berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental

b). Faktor Yang Menyebabkan Tekanan Perasaan
i. Bekerja pada waktu yang panjang tanpa rehat

ii. Selalu dinilai dan dikritik (kritikan yang tidak membina)

iii. Kurang mendapat sokongan

iv. Mendapat teguran yang negatif

v. Terlalu banyak perubahan hidup dalam jangka masa yang pendek

c). Tanda-Tanda Awal Tekanan Perasaan
i. Kurang semangat dan mudah putus asa

ii. Berasa gelisah dan sedih

iii. Berasa letih dan lesu

iv. Pengambilan rokok yang berlebihan daripada biasa

v. Sering berlaku pertengkaran dengan orang yang dikasihi atau timbulnya masalah rumah tangga

d). Cara Mengatasi Tekanan
i. Sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama

ii. Melakukan senaman zahir dan batin

iii. Tidur perlulah mencukupi (5-8 jam sehari)

iv. Meluahkan perasaan atau masalah kepada kawan atau ahli keluarga yang dipercayai

v. Sentiasa berfikiran positif

vi. Mengambil cuti atau rehat sementara bertujuan untuk menenangkan fikiran

vii. Gunakan masa dengan efektif dan tentukan keutamaan tugas

viii. Menghindari rokok dan minuman keras

x. Elakkan daripada bebanan kerja

KETENANGAN BERDASAR SAINTIFIK

1). Senaman Pernafasan
Pernafasan membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak, melegakan otot dan mentemteramkan minda kita. Tarik nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan kuat dan hembuskan nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan penuh. Semasa menghadapi tekanan, pernafasan menjadi lemah dan pantas. Bernafas dengan kuat merupakan satu cara yang efektif untuk mengekalkan keadaan tenang. Senaman pernafasan ialah berguna kerana ia boleh dibuat di mana-mana sahaja dan ia membawa kesan positif dengan serta merta. Kita hendaklah menjadikan senaman sebagai satu tabiat harian.

2). Tafakur (Meditation)
Apabila bertafakur bersendirian tanpa apa-apa gangguan , otak anda menjadi tenang dan hormon tertentu yang memajukan kesihatan dibebaskan. Minda yang senang dan lega membantu kita mengelakkan tekanan jiwa. Setiap hari kita perlu membelanjakan sekurang-kurangnya lima belas minit untuk bertafakur.

3). Penggambaran
Penggambaran atau visualization membantu anda membayangkan anda mencapai tujuan dan cita-cita anda seperti menjadi sihat dan berasa tenang; menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan menangani situasi konflik secara berkesan. Membayangkan anda membuat kerja yang anda cuba kuasai dengan cemerlang sebenarnya berfungsi sebagai latihan fizikal. Jadi, anda boleh menambahbaikkan prestasi anda melalui penggambaran.

4). Pengurutan (Massage)
Terapi pengurutan mengurangkan denyutan jantung dan melegakan badan anda. Ia juga menambahkan kecerdasan minda kita. Minta sahabat anda memberi massage atau dapatkan khidmat seorang professional bagi membantu anda.

5). Kelegaan Otot
Berbaring, bersenang-senang dan dan membiarkan otot anda di muka, tangan, bahu dan leher mengendur sekuarang-kurangnya tiga minit. Latihan ini boleh dibuat mana-mana sahaja dan ini boleh membantu anda berasa tenang dengan cepat dan mudah.

6). Muzik
Terapi muzik mendatangkan banyak faedah kesihatan bagi mereka yang mengalami tekanan dan juga kesakitan yang teruk. Muzik yang sesuai boleh mengurangkan tekanan darah, melegakan badan dan mententeramkan minda anda. Anda perlu memilih muzik ringan dan yang anda sukai dengannya setiap hari.

7). Pengurusan Masa
Kenalpasti kerja harian anda mengikut keutamaan dan menetapkan satu jadual supaya anda dapat menyiapkannya mengikut keutamaan dengan tanpa melengah-lengahkan. Kenalpasti juga kerja yang tidak mendatangkan sebarang faedah seperti gossip kosong, perbualan telefon dan yang membazirkan masa anda. Membelanjakan masa yang lebih bagi membuat kerja yang lebih penting.

Selain teknik yang diterangkan di atas, anda boleh main pelbagai aktiviti dengan rakan-rakan atau keluarga; berjalan sekurang-kurangnya dua kilometer sehari; pergi berenang di sungai atau pantai; beri perhatian kepada pemakanan; tidur lapan jam setiap malam; dan menonton cartoon atau lawak jenaka (komedi) atau baca komik (kerana mengikut pakar perubatan gelak ketawa dan kelucuan melegakan otot, mengurangkan tekanan darah, menambahkan tahap tenaga, dan menyegarkan sistem pernafasan dan darah kita.

Namun sebaiknya kita pelbagaikan sikit dari cara yang dijelaskan di atas. Mengabungkan kaedah saintifik dan Islamik. Antaranya :

1). Menyebut Kalimah “Lailahaillallah” Ketika Senaman Pernafasan
Hadith Rasulullah S.A.W. : Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing manakala kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi.

2). Memperbanyakkan Zikir Dan Muhasabah Diri Ketika Bertafakur
Hadith Rasulullah S.A.W. : Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan, itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa. Dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-perbuatan yang keji itu dibersihkan. Dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera syaitan itu diceraikan daripadanya. Dan akhirat yang jauh itu didekatkan dan dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.

Hadith Rasulullah S.A.W. : Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan ia menyubur bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun ia tiada berharta benda, memuliakannya walaupun ia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun ia tidak mempunyai kerajaan. Dan sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti ia akan dihinakannya walaupun ia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.

Firman Allah S.W.T. : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari”, (Surah Al-Insan, Ayat 25 & 26).

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai” (Surah 7 Al-A’raf,  Ayat 205).

“Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka” (Surah Al-Imran, Ayat 191).

3). Melegakan Otot Dengan Gerakan Solat Sunat

a. Profesor Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas – Aktiviti Otot
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul akan menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

b. Ng Siew Chok – Isyarat Otak
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya. Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

c. Dr. Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. “Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya. Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. “Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. “Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

4). Menggantikan Alunan Muzik Ke Alunan Al-Quran Atau Nasyid
Rasulullah S.A.W.  bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah S.W.T. (al-Quran) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di hari qiamat.”

Kelebihan lain :
a. Orang yang membaca, mendengar Al-Quran, berzikir dan berkunjung di tempat-tempat pengajian atau ibadah, akan dilapangkan dadanya dan ditenteramkan hatinya daripada masalah-masalah dunia.

b. Orang yang membaca dan mendengar Al-Quran, berzikir, berdoa dan berkunjung di tempat-tempat pengajian atau ibadah, nescaya Allah akan sentiasa bersamanya dan orang tersebut akan lebih khusyuk beribadah kepada Allah.

c. Orang yang membaca dan mendengar Al-Quran, berzikir, berdoa dan berkunjung di tempat pengajian atau ibadah dengan ikhlas hatinya, maka dia dapat mendidik nafsunya ke arah jalan kebaikan dan diredhoi Allah.