Khamis, 14 Julai 2011

MENANGANI KONFLIK EMOSI

1. Bahaya Kemarahan
“Hendaklah berfikir dua kali sebelum berbicara kerana telinga dan lidah hanya satu.  Orang bijaksana selalu berlidah di hati, sedangkan orang jahil berhati di lidah.  Kerana itu yang berkata adalah hati, bukannya lidah. Orang yang sedang marah berkata dengan hati, bukan lidahnya.  Berfikir itu pangkal kemanusiaan dan berfikir dengan akal merupakan kelebihan bagi manusia”. Pada masa kini, kita sering terbaca dalam media massa kes-kes yang melibatkan hilangnya kawalan emosi manusia seperti penderaan, amuk, pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Hakikatnya, kes-kes ini bermula dengan rasa ketidakpuasan hati yang akan mencetuskan perasaan marah akibat hilang kawalan diri serta pertimbangan rasional.  Apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah, maka mudah untuk syaitan menguasai dirinya. 

Hasutan terhadap emosi manusia merupakan peranan syaitan untuk menjadikan manusia tidak dapat mengawal dirinya dan bertindak di luar batasan. Sifat marah adalah sifat semulajadi manusia namun ia akan menimbulkan masalah apabila manusia menjerumus keseluruhan dirinya dalam kemarahan melampau. Dr. Shalid Athar menjelaskan, kemarahan tanpa kawalan menjadikan manusia bertindak tanpa berfikir dan cenderung untuk bertindak balas mengikut keinginan semata-mata. Namun, manusia dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T. mempunyai pilihan sama ada mengawal sifat tersebut atau cenderung mengikut keinginan jahat syaitan.

a). Marah Sebagai Gelojak Kejiwaan
Marah merupakan satu gelojak kejiwaan yang menyebabkan darah di dalam hati bergolak dan nafsu membara serta memberontak. Ia diibaratkan sebagai gua yang dipenuhi nyalaan api yang sedang marak dan nyalaan ini sukar untuk dipadamkan bahkan jika diusik ia akan menyemarakkan lagi nyalaannya.

b). Kesan Marah
Kesan yang dihasilkan oleh perasaan marah adalah hilangnya pertimbangan dan kawalan diri daripada kewarasan akal kerana dikuasai nafsu kemarahan serta emosi yang kuat membara.  Keadaan seperti ini, akal tidak boleh berfikir secara rasional dan biasanya tindakan akan dipengaruhi oleh emosi.  Selain itu, kemarahan juga akan mencetuskan hal-hal berikut ;

i. Menutup Pintu Hati
Orang marah akan menutupi mata dan telinga terhadap sebarang teguran dan nasihat.  Hal ini boleh disamakan dengan perumpamaan Melayu iaitu “mencurahkan air ke daun keladi”. Ketika ini mata hati juga tidak berfungsi.  Dalam keadaan seperti itu, segala nasihat dan teguran tidak akan dilayan dan didengar malah makin memperhebatkan lagi kemarahan itu seperti mencurahkan minyak petrol ke dalam nyalaan api.

ii. Mengeraskan Hati
Begitu juga dengan hati, ia akan menjadi keras seperti batu kerikil yang tidak dapat dipecahkan oleh teguran dan nasihat. Kemarahan yang merasuk jiwa akan menyebabkan seseorang akan lupa pada dirinya sendiri.  Seseorang yang dirasuki oleh perasaan marah yang melampau tidak akan memikirkan kesan daripada perbuatannya tetapi hanya bertindak asalkan dapat memuaskan hatinya.

c). Kadar Kemarahan
Kadar atau tingkat kemarahan dalam diri setiap manusia itu berbeza-beza. Ia bergantung kepada keadaan peribadi masing-masing. Ibarat kayu basah dan kayu kering. Kayu basah akan mengambil masa yang lama untuk terbakar berbanding kayu kering. Tetapi jika suatu kebakaran atau nyalaan api itu sudah semakin besar, maka tidak ada bezanya antara kayu basah atau kayu kering. Kedua-duanya menimbulkan kesan negatif terhadap persekitarannya. Begitu juga dengan kemarahan seseorang individu. Jika kemarahannya berkobar, maka benak yang seharusnya dapat memberi pertimbangan antara baik dan buruk sudah tertutup oleh nyalaan api kemarahan.

Socrates, seorang tokoh falsafah Yunani yang terkenal dengan prinsip berpegang teguh kepada keyakinannya pernah berkata : “Saya lebih rela berhadapan dengan kapal yang diserang oleh badai angin dan ombak dasyat daripada menghadapi seseorang yang sedang marah. Kelasi-kelasi kapal dapat mengawal kapal yang dikuasi oleh badai dan ombak ganas menggunakan berbagai cara dan peralatan. Tetapi jika berhadapan dengan jiwa yang dilanda kemarahan, segala usaha untuk meredakan kemarahan sama ada dengan memujuk, nasihat atau dengan sikap menunduk tidak berkesan dan sia-sia malah usaha itu seolah-olah melemparkan tompokan kayu ke dalam api yang akan menambahkan lagi nyalaannya”

d). Kenapa Anda Marah
Terdapat banyak punca yang menyebabkan tercetusnya api kemarahan.  Biasanya, ia disebabkan oleh gangguan emosi sehingga mudah tersinggung dan rasa ketidakpuasan hati.

i. Nafsu Membalas Dendam
Sombong, takbur, meminta dengan berlebihan, berbohong, mengejek, khianat, bergurau, menyakitkan hati orang lain dan mencari hal-hal yang membawa kemasyhuran sering membuat manusia saling bersaing dan iri hati. Semua penyebab itu mengarah kepada nafsu untuk membalas dendam.

ii. Tidak Dapat Mengawal Emosi
Kemarahan biasanya tercetus akibat adanya gangguan di dalam otak iaitu berupa emosi yang tidak dapat dikawal.  Kemarahan akan mengakibatkan individu terdorong kepada sikap menyesal, mengharap dapat dihukum dengan cepat atau lambat, serta kepedihan di dalam hati. Marah adalah kegilaan sesaat yang boleh menyebabkan kematian atau penyakit yang mengarah kepada kematian. 

iii. Tidak Tercapai Keinginan
Marah sering digunakan sebagai jalan untuk mengeksploitasi orang lain.  Lihat sahaja perilaku marah seorang suami yang memaki hamun isterinya hanya gara-gara masakan si isteri yang tidak mencapai “standard” yang diinginkan. 

e). Bagaimana Mengatasi Perasaan Marah
Setiap penyakit itu ada ubatnya.  Setiap tindakan itu ada penyebabnya.  Begitu juga dengan perasaan marah. Jika kita hendak menyingkirkan sebab-sebab ini, kita lemahkan dahulu daya marahnya dan lindungi diri daripada akibat-akibatnya.  Malah, jika marah itu muncul semula, kita mesti mentaati aturan akal.  Dengan itu, tindakan kita itu adalah wajar serta dapat meredakan kemarahan.

i. Menghilangkan Sifat Sombong
Antara teknik berkesan untuk mengatasi perasaan marah ialah dengan membuang sifat sombong. Kita marah kerana kita terlalu yakin kita benar dan tidak mahu mengalah kepada kehendak atau pandangan orang lain.  Selain itu, apabila kita mempunyai satu pandangan yang percaya kita tidak perlukan sokongan orang lain, menyebabkan kita angkuh dan sukar mendengar nasihat serta teguran orang lain.

ii. Menghilangkan Sifat Bangga Dalam Diri
Apabila kita memiliki sifat bangga dalam diri atas kekayaan, kecantikan serta kecerdikan yang ada pada diri kita menyebabkan kita mudah marah sekiranya kelebihan kita itu disaingi oleh orang lain. 

iii. Kurangkan Bergurau Senda Berlebihan
Gurau senda yang berlebihan adalah penyebab kepada sikap marah meskipun niat pada awalnya hanyalah untuk membangkitkan perasaan jenaka. Tetapi, sekiranya lawak jenaka itu menyentuh soal peribadi yang boleh menganggu gugat imej atau maruah sudah pasti ia akan membangkitkan kemarahan. Terdapat bijak pandai yang berkata : “Berapa banyak keretakkan, yang diakibatkan oleh gurauan, bahkan beberapa peperangan, awalnya dengan gurau senda”.

iv. Mengubati Jiwa Yang Sakit
Marah merupakan suatu jenis penyakit jiwa yang serius dan merbahaya. Jika seseorang sudah dapat menghilangkan penyebabnya, maka dia sudah tidak takut lagi bila amarah menyerangnya. Akal fikiran akan dapat memutuskan apa yang harus dilakukannya.  Kesihatan jiwa akan tumbuh seiring dengan kemampuan orang tersebut untuk menahan amarah. Menghilangkan rasa adalah penting bagi menjamin sikap positif dalam berkomunikasi dengan orang lain. Untuk menghilangkan punca-punca yang mengakibatkan marah, kita ubati jiwa yang sakit itu dahulu.

Memang, manusia tidak mungkin bebas sepenuh-penuhnya daripada rasa amarah.  Namun paling tidak, kapasitinya akan berkurang.  Ibarat api yang hampir padam tetapi masih membara jika ditiup.  Jika ditiup dengan cara yang baik, ia akan menyala dengan baik.

f). Mengawal Perasaan Marah
Perasaan marah adalah cetusan emosi normal bagi setiap manusia.  Sekiranya kita berhadapan dengan situasi yang menganggu kestabilan emosi, sudah pasti kesannya adalah perasaan marah, cuma sebagai seorang yang berakal kita perlu bijak dalam mengawal perasaan marah agar ia tidak akan menganggu perjalanan kehidupan seharian kita. 

Dalam konteks perkhidmatan awam, sekiranya kita tidak mengawal perasaan marah sudah pasti ia akan mencacatkan imej profesionalisme penjawat awam terutama dalam kita berhadapan dengan karenah pelanggan yang pelbagai.

g). Tip Mengatasi Marah
i. Jangan terlalu cepat sensitif dan melatah dengan keadaan sehingga membuat anda terburu-buru sama ada dari segi emosi mahu pun perbuatan.  Selidik dan cari alternatif lain.

ii. Alihkan perhatian anda dengan berundur daripada situasi yang tegang, menarik nafas sedalam-dalamnya dan biarlah akal mengimbanginya

iii. Beristighfar dan berdoa agar Allah S.W.T. melindungi diri daripada gangguan syaitan.

iv. Ubah posisi fizikal anda, sama ada duduk ataupun bangun.  Dari sudut bahasa badan, ia menandakan anda tidak berminat memanjangkan perbalahan.

v. Sentiasa mengingati diri bahawa kemarahan Allah S.W.T. terhadap kederhakaan kita jauh lebih besar daripada kemarahan kita terhadap sesuatu.

vi. Sentiasa memaafkan kerana ia adalah sifat seorang mukmin yang memohon keampunan Allah S.W.T.

vii. Tanamkan perasaan kasih terhadap manusia kerana Allah S.W.T. mempunyai rasa kasih terhadap hamba-hambaNya sebagaimana yang disebut didalam hadis Qudsi “Belas ihsanKu melebihi amarahKu”.

viii. Menunaikan solat dan meluahkannya serta bergantung harap kepada Allah S.W.T. terhadap apa yang berlaku melalui doa.

x. Terapi air melalui wuduk atau mandi untuk menyejukkan fizikal dan emosi. Minum atau biarkan sedikit air dalam mulut sehinggalah individu yang cuba bertelagah kembali tenang.

xi. Bertindak bertentangan, sentiasa melatih diri dengan suara minda bahawa anda seorang yang positif dan tenang dan anda sentiasa sedar ada hikmah serta cubaan dalam setiap keadaan.

2. Marah Dan Tekanan Perasaan
“Orang yang sedang marah-marah dan berkata kasar, bererti dia sedang menunjukkan kekasarannya dan kebodohannya”. Biasanya tekanan perasaan merupakan salah satu punya tercetusnya api kemarahan.  Emosi orang yang berada dalam keadaan tertekan amat sensitif dan mudah terasa.  Ketika ini, setiap usaha untuk menenangkannya jika tidak kena pada cara dan tempat akan dapat menambahkan lagi kemarahannya. Kesan buruk atau negatif akan berlaku sekiranya tekanan perasaan ini tidak diurus dengan baik, ia akan mencetuskan kemarahan yang melampau. Antaranya ;

a). Hubungan Marah Dan Tekanan Perasaan
i. Tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan

ii. Ia bukan suatu penyakit yang berbentuk fizikal

iii. Tekanan adalah sesuatu yang menimbulkan perasaan tegang, takut, marah atau kecewa

iv. Tekanan yang berlebihan dan berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental

b). Faktor Yang Menyebabkan Tekanan Perasaan
i. Bekerja pada waktu yang panjang tanpa rehat

ii. Selalu dinilai dan dikritik (kritikan yang tidak membina)

iii. Kurang mendapat sokongan

iv. Mendapat teguran yang negatif

v. Terlalu banyak perubahan hidup dalam jangka masa yang pendek

c). Tanda-Tanda Awal Tekanan Perasaan
i. Kurang semangat dan mudah putus asa

ii. Berasa gelisah dan sedih

iii. Berasa letih dan lesu

iv. Pengambilan rokok yang berlebihan daripada biasa

v. Sering berlaku pertengkaran dengan orang yang dikasihi atau timbulnya masalah rumah tangga

d). Cara Mengatasi Tekanan
i. Sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama

ii. Melakukan senaman zahir dan batin

iii. Tidur perlulah mencukupi (5-8 jam sehari)

iv. Meluahkan perasaan atau masalah kepada kawan atau ahli keluarga yang dipercayai

v. Sentiasa berfikiran positif

vi. Mengambil cuti atau rehat sementara bertujuan untuk menenangkan fikiran

vii. Gunakan masa dengan efektif dan tentukan keutamaan tugas

viii. Menghindari rokok dan minuman keras

x. Elakkan daripada bebanan kerja

Tiada ulasan: