Sabtu, 29 Disember 2012

PENDEKATAN PERLAKUAN/ TINGKAH LAKU DALAM KELOMPOK

Pendekatan perlakuan atau tingkah laku (behavioral approach) telah menjadi satu pendekatan yang popular dalam kaunseling kelompok. Salah satu sebab mengapa ia menjadi pilihan kerana ia menekankan pembelajaran kemahiran pengurusan kendiri yang boleh dijadikan sebagai satu panduan dalam mengawal kehidupan, mengatasi masalah masa sekarang dan masa depan dengan efektif, dan berfungsi dengan baik tanpa meneruskan terapi. Watson dan Tharp (2002), telah menulis buku yang menyentuh subjek menolong manusia bekerja ke arah “self-directed behavior”. Matlamat ini dicapai melalui kepelbagaian teknik kognitif dan tindakan berasaskan perilaku.

 
 
Terma terapi perlakuan merujuk kepada kepelbagaian aplikasi teknik dan prosedur yang berasaskan variasi teori pembelajaran. Hakikatnya tiada teori yang tunggal yang mempengaruhi amalan terapi perlakuan kontemporari, tiada model kelompok yang khusus yang boleh kita rujuk sebagai model kelompok perlakuan. Terapi perlakuan dapat dikonseptualisasikan sebagai orientasi umum dalam amalan klinikal yang berasaskan pendekatan eksperimentasi dalam pembelajaran perlakuan.



Andaian asas dalam perspektif perlakuan ialah kebanyakkan permasalahan perlakuan, kongnitif, dan emosi boleh dipelajari dan boleh diubah melalui pembelajaran yang baru. Proses ini dipanggil sebagai “terapi” dan paling tepat sebagai eksperimen pendidikan. Individu terlibat dengan proses pembelajaran dan pengajaran serta diajar bagaimana membangunkan perspektif baru dalam pembelajaran. Masalah wujud kerana kemahiran yang defisit – penyesuaian perlakuan atau strategi kognitif yang tidak pernah dipelajari – dan klien boleh mendapatkan kemahiran coping dengan melibatkan diri dengan pengalaman pembelajaran. Semua pendekatan kelompok menekankan aspek pembelajaran dan pengajaran dalam sesi kelompok.



Andaian asas lain dalam pendekatan perlakuan ialah masalah klien yang dinyatakan semasa sesi kelompok tidak semestinya simptom utama masalah berkenaan. Terapis perlakuan mengoperasikan premis setiap perubahan perlakuan boleh berubah sekiranya ada kefahaman kendiri dan perubahan perlakuan itulah yang akan membuka ruang kepada peningkatan tahap kefahaman kendiri (self-understanding).



Ketua kelompok perlakuan membentuk strategi daripada pelbagai pandangan teori yang membantu keberkesanan dalam mencapai matlamat terapi yang boleh dipamerkan. Ketua-ketua kelompok mengikuti perkembangan setiap ahli melalui pengumpulan data sebelum, semasa dan selepas semua intervensi. Pendekatan yang seumpama ini memberi maklum balas perkembangan terapi yang berterusan bagi kedua-dua belah pihak ketua dan ahli kelompok. Dalam hal ini, menunjukkan ketua kelompok perlakuan merupakan pengamal klinikal dan saintis yang peka dengan keberkesanan teknik yang digunakan.



Terapi perlakuan mempunyai karekter unik yang membezakannya dengan pendekatan-pendekatan kelompok yang lain. Ia berkaitan dengan prosedur kaedah saintifik dan kaedah ini hasil daripada prinsip pembelajaran yang sistematik yang diaplikasikan dalam membantu individu mengubah tingkah laku yang maladaptive. Perbezaan karekter pengamal perlakuan dapat dilihat melalui sokongan sistematik dalam spesifikasi dan pengukuran. Konsep dan prosedur dipamerkan secara nyata, diuji secara emperikal, dan diulang berterusan. Penilaian dan rawatan berlaku secara serentak. Karekteristik terapi perlakuan secara spesifik melibatkan mengadakan penilaian perlakuan, menjanakan matlamat rawatan, memformulasikan prosedur spesifikasi rawatan selaras dengan masalah dan dinilai secara objektif dapatan daripada terapi.



Penilaian Perlakuan mengandungi satu set prosedur yang mengunakan maklumat yang akan membantu dalam merancang rawatan yang disesuaikan dengan permasalahan klien dan membantu mengukur keberkesanan rawatan. Berdasarkan kepada Spiegler dan Guevremont (2003), prosedur penilaian perlakuan berkongsi lima karekteristik yang konsisten dengan terapi perlakuan. Pertama, bermatlamat dalam mengumpul maklumat berkenaan dengan masalah klien; kedua, fokus kepada keadaan dan kondisi semasa klien; ketiga, mengambil kira persampelan perlakuan klien dalam berhadapan dengan sesuatu keadaan; keempat, fokus secara mengkhusus daripada melihat personaliti klien secara keseluruhan; dan kelima, bersifat perlu dan merupakan bahagian yang berkesinambungan di dalam terapi.



Dalam kebanyakan pendekatan kelompok perlakuan, langkah pertama adalah mengambil kira perkembangan klien hingga langkah terakhir dalam penilaian melalui memformulasikan pernyataan yang spesifik berkenaan dengan matlamat yang ingin dicapai. Identifikasi matlamat membantu dalam membawa kepada pergerakan teraputik. Walaupun ketua kelompok bertanggungjawab dalam membincangkan isu matlamat terapi, tetapi matlamat individu perlu bermula daripada setiap ahli kumpulan itu sendiri (White, 2000b). Ahli kumpulan perlu menyatakan masalah tingkah laku yang ingin mereka ubah dan kemahiran baru yang ingin dipelajari dalam berhadapan dengan kehidupan seharian. Matlamat peribadi yang mungkin dijangkakan oleh klien adalah seperti mengurangkan kebimbangan dalam berhadapan dengan kekecewaan, pengurangan berat badan, dan ketagihan (rokok, alkohol dan dadah). Contoh-contoh kemahiran-kemahiran yang ingin dipelajari oleh klien adalah seperti berikut :


a. Mempelajari secara jelas kehendak dan kemahuan sendiri.


b. Mempelajari tabiat yang membantu dalam keseimbangan fizikal dan psikologi.


c. Memperkembangkan kaedah spesifik kawalan kendiri seperti bersenam setiap hari, mengawal tabiat makan dan mengurangkan tekanan.


d. Mempelajari untuk menjadi lebih asertif tanpa menjadi seorang yang agresif.


e. Mengawal selia tingkah laku dan kognitif sebagai satu langkah untuk anjakan perubahan.


f. Mempelajari untuk memberi dan menerima maklum balas positif atau negatif.


g. Mampu untuk mengenalpasti dan mencabar kepercayaan serta pemikiran yang tidak baik.


h. Mempelajari kemahiran sosial dan komunikasi.


i. Memperkembangkan strategi penyelesaian masalah dalam berhadapan dengan kepelbagaian situasi yang berlaku di dalam kehidupan seharian.


j. Mempelajari tingkah laku yang lebih berkesan dalam mendepani tekanan dan keadaan yang menjadi faktor kemarahan.
 
 
Tugas ketua kelompok ialah memecahkan sempadan matlamat klien secara umum kepada matlamat yang lebih spesifik, konkrit, dan boleh diukur yang mana boleh dilihat sebagai bentuk yang sistematik.

Rabu, 12 Disember 2012

ULASAN JURNAL “PERANAN KAUNSELING DALAM MENANGGANI MASALAH GEJALA SOSIAL DI KALANGAN BELIA MASA KINI” Karya Oleh Allahyarham Prof. Dr. Suradi Salim


Artikel ini membincangkan mengenai masalah gejala sosial di kalangan remaja yang semakin bertambah di Malaysia, dan bahayanya kepada pembangunan negara jika tidak dibanteras dan diatasi seberapa segera dengan menggunakan kaedah atau strategi yang berkesan. Ia merupakan tajuk yang dirasakan sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak sama ada ibu bapa, keluarga, kerajaan dan sebagainya dalam usaha menanggani masalah ini.



Penulis telah mengenalpasti dan menyenaraikan bahawa sekurang-kurangnya terdapat tiga faktor yang mempengaruhi perkembangan peribadi manusia. Ketiga-tiga faktor ini bergabungjalin membentuk personaliti, perangai dan keperibadian individu, iaitu; sifat semulajadi, asuhan, dan usahanya untuk mendapatkan tempat atau ruangnya sendiri dalam persekitarannya.



Menurut penulis, sifat semulajadi ialah binaan genetik atau baka yang diwarisi iaitu gabungan tret atau sifat yang tersendiri yang unik kepada seseorang individu. Anak-anak dilahirkan sebagai individu yang istimewa dengan ciri-ciri mental dan fizikal yang tersendiri yang mempengaruhi tingkah laku dan pilihan tingkah laku mereka. Penulis mengakui bahawa secara semulajadinya seseorang kanak-kanak yang tidak diberi didikan, bimbingan dan tidak ditunjuk ajar dengan mencukupi mengenai nilai dan moral, akan terdorong untuk melakukan tingkah laku memberontak, mementingkan diri sendiri, tidak jujur, langsang, mengeksploitasi dan tamak.



Asuhan pula didefinasikan oleh penulis sebagai penjagaan dan pengisian akan sahsiah atau personaliti anak-anak melalui kasih sayang, jaminan keselamatan, disiplin dan dorongan. Justeru itu anak-anak yang dibesarkan oleh ibubapa tanpa bertanggungjawab; tidak mengenali dan mentaati tuhan; dan persekitaran tanpa kasih sayang dan berstruktur akan mudah terpengaruh dengan persekitaran yang berbahaya dan merosakkan perjalanan hidup mereka.



Manakala usaha untuk mendapatkan tempat atau ruangnya sendiri dalam persekitarannya menurut penulis ialah ruang seseorang kanak-kanak adalah hasil dari peristiwa, kejadian dan keadaan yang membentuk dunia khusus seseorang bermula dari ia dilahirkan hingga ke tahap remaja atau dewasa.



Jelas penulis lagi, sekiranya masalah gejala sosial ini dibiarkan begitu saja tanpa apa-apa tindakan membanteras, ianya akan membawa akibat negatif bukan sahaja kepada individu itu sendiri tetapi juga kepada bangsa dan negara. Sekiranya ramai dari remaja dan belia kita terlibat dalam perbuatan jenayah, melepak, dan lain-lain gejala yang tidak sihat, ini akan mengakibatkan negara kita pada masa akan datang kekurangan tenaga kerja yang bertanggungjawab, berpendidikan, amanah dan sihat dari segi mental. Bayangkanlah apa akan terjadi jika sebahagian besar dari kakitangan awam dan juga swasta di negara kita tidak amanah dan tidak bertanggungjawab.



Penulis mencadangkan tiga bentuk tindakan yang boleh dilakukan untuk menanggani masalah gejala sosial, iaitu; yang pertama ialah tindakan pencegahan atau preventif. Ia bertujuan untuk mencegah atau menghalang timbulnya tingkah laku itu. Ia boleh dilakukan secara proaktif melalui program-program pencegahan dengan mengenalpasti isu-isu utama yang membawa salah laku seperti tekanan rakan sebaya, perhubungan, sikap keseluruhan, kebosanan, pelajaran, estim kendiri, dadah dan dorongan seksual.



Tanpa asas yang kukuh dalam pegangan dan pengetahuan agama, nilai moral, kekuatan dalaman, matlamat masa depan yang jelas, suasana mesra keluarga yang tidak suportif, tidak mempunyai kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan konflik, dan mudah terpengaruh dengan persekitaran yang tidak sihat, akan menyebabkan kelapan-lapan isu di atas boleh menyelewengkan para remaja kepada melakukan salah laku dan merosakan diri.



Untuk itu, penulis menyarankan agar setiap remaja perlu diajarkan dengan empat kemahiran bagi membolehkan mereka membina tembok atau benteng dalam diri mereka yang boleh menghalang mereka dari tertarik kepada melakukan salah laku iaitu; kemahiran menyelesaikan masalah dengan teknik yang berkesan; kemahiran mengajar anak-anak membina matlamat yang jelas dan mengarahtujukan aktiviti harian untuk mencapai cita-cita dalam hidup; kemahiran menolak tarikan menyalahguna dadah melalui pendidikan dan penerangan mengenai bahaya najis dadah; dan akhir sekali kemahiran menghadapi tekanan rakan sebaya melalui program pembinaan remaja iaitu menguatkan sikap mental dan peribadi supaya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi.



Yang kedua; ialah tindakan represif atau menekan. Penulis melihatnya sebagai tindakan memberhentikan tingkah laku itu seawal mungkin atau menghalang dari timbulnya masalah yang lebih serius. Usaha menindas pelanggaran norma-norma sosial dan moral dapat dilakukan dengan mengadakan hukuman ke atas setiap perbuatan atau penyelewengan sama ada ketika kanak-kanak berada di rumah (ibu bapa atau keluarga yang mengawal dan bertanggungjawab) mahupun ketika di sekolah (guru atau pengurusan sekolah yang mengawal dan bertanggungjawab).



Yang ketiga; ialah tindakan kuratif atau pemulihan iaitu tindakan membaikpulih orang yang telah terjerumus ke dalam kancah gejala sosial melalui perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi yang mana menurut penulis mampu membantu remaja dalam menghadapi krisis, kebuntuhan dalam hidup mereka atau pun menghadapi apa jua masalah peribadi dan sosial. Menurut penulis lagi, perkhidmatan kaunseling boleh dijalankan secara individu atau kelompok dengan menggunakan pendekatan yang “mesra remaja” (iaitu bagi remaja yang sebenarnya tidak mahukan kaunseling) selaras dengan apa yang disarankan oleh William Glasser dalam Teori Realitinya dengan menggunakan lapan langkah iaitu;

1. Mengenali dan bermesra dengan klien, mencipta perhubungan dan dapatkan kepercayaan klien.

2. Dapatkan gambaran dan pandangan klien mengenai apa yang mereka lakukan, serta perasaan mereka terhadap tingkah laku mereka.

3. Bantu klien belajar membuat penilaian mengenai tingkah lakunya. Bantu klien meneliti sama ada apa yang mereka lakukan benar-benar menolong diri mereka.

4. Setelah dapat membuat penilaian, bantu mereka meneroka tingkah laku alternatif iaitu tingkah laku yang boleh dibuktikan lebih menolong.

5. Dapatkan komitmen klien untuk membuat perubahan.

6. Setelah klien berjanji atau membuat komitmen untuk berubah bantu mereka mempelajari tanggungjawab melakukan perubahan itu dan memenuhi komitmen yang telah dibuat.

7. Berikan motivasi untuk klien melakukan perubahan.

8. Mestilah bersikap tegas. Ketegasan kaunselor akan menguatkan keazaman klien untuk memenuhi komitmennya untuk berubah.



Kesimpulannya, usaha baik penulis dalam menghasilkan artikel ini sememangnya langkah yang bertepatan dan bersesuaian dalam usaha membanteras atau membendung fenomena gejala sosial yang kian meningkat masa kini. Usaha ini juga dapat membantu memberi input kepada ibu bapa, keluarga, sekolah, masyarakat, NGO, dan kerajaan untuk menanggani masalah ini dengan sistematik. Setidak-tidaknya langkah penulis ini telah meletakkan kaunseling sebagai salah satu alat (tool) kepada penyelesaian gejala sosial masa kini.

KESUKARAN DALAM PENILAIAN PERKAHWINAN DAN KELUARGA


Agak sukar dalam membuat penilaian ke atas keluarga memandangkan setiap ahli keluarga adalah bersifat unik dan tidak dapat dikuantitatifkan. Dengan membuat andaian, terapis dapat mengenalpasti dinamik atau karekteristik sesebuah keluarga, bagaimana kita menentukan permasalahan sekiranya sesebuah keluarga yang berfungsi secara lengkap mempunyai seorang ahli keluarga yang tidak berfungsi (dysfunctional). Sebagai contoh, kohesi keluarga dan penentuan jumlah kohesi dilihat sebagai sesuai. Tetapi tidak semua ahli teori keluarga dapat membuktikan tahap rendah kohesi keluarga adalah tidak baik manakala tahap tinggi kohesi keluarga sebagai nilai positif dalam sesebuah keluarga. 



Model Circumplex Olson (Olson dan DeFrain, 2002) mencadangkan kohesi perlu dilihat dari perspektif curvilinear di mana kedua-dua yang mempunyai sedikit kohesi dan banyak kohesi adalah bermasalah (problematic). Kesukaran dalam menentukan kefungsian keluarga semakin sukar sekiranya elemen budaya diambil kira. Perbezaan budaya setiap masyarakat membentuk nilai sesebuah keluarga. Sebagai contoh, tidak semua budaya dapat menerima secara positif amalan berpoligami dalam keluarga. 



Penilaian keluarga merupakan terma yang sangat luas bagi kaunselor yang inginkan kepelbagaian maklumat bergantung kepada masalah dan isu keluarga. Sebagai contoh, alat untuk tapisan (screening) untuk menentukan sekiranya kaunseling keluarga memerlukan kesesuaian modaliti mungkin berbeza daripada alat ujian dalam mengenalpasti masalah yang berkaitan dalam pasangan suami isteri. Oleh itu, ia tidak memberikan satu fokus sahaja dalam penilaian keluarga, sebaliknya fokus itu mungkin kepada kepuasan pasangan, kenal pasti bentuk komunikasi, persepsi persekitaran keluarga, perlakuan laporan kendiri (self-report), analisa hubungan, mengenalpasti masalah, atau kepelbagaian aspek permasalahan keluarga. Penilaian keluarga adalah berbeza untuk setiap keluarga yang berlainan.



Masalah yang lain berhubung dengan penilaian keluarga ialah pembolehubah yang dinilai adalah tidak stabil dibandingkan dengan tret atau karekteristik individu, Sebagai contoh, bagaimana kita dapat mengenalpasti dinamika keluarga dengan melihat kepada pembolehubah dalam tahap kepuasan pasangan mungkin dilihat apabila mereka menikmati makan malam di restauran eksklusif ataupun baru sahaja selesai melunaskan semua pinjaman pelajaran.



Carter dan McGoldrick (1998) menyatakan bahawa, keluarga melalui tahap perkembangan dalam kitaran hidup. Setiap pasangan berhadapan dengan isu yang berlainan untuk 4 bulan pertama perkahwinan dan isu ini akan berbeza bagi usia perkahwinan 21 tahun dan mempunyai 2 orang anak remaja. Selain itu, secara tekniknya, individu dalam kumpulan yang sama mungkin berada di tahap perkembangan yang berbeza. Sebagai contoh, pasangan pengantin baru ada yang berusia 17 tahun dan ada juga pasangan yang berusia menjangkau lewat 30-an. Oleh itu, proses penilaian perlu mengambil kira tahap perkembangan atau tahap kedua-dua keluarga dan ahli dalam keluarga berkenaan.



Isu lain yang berkaitan dengan permasalah penilaian keluarga ialah penskoran (pemarkatan). Menginterprestasi keputusan daripada kepelbagaian perspektif keluarga lebih sukar berbanding dengan menginterprestasi keputusan klien individu. Masalah yang lain ialah berhubung dengan isu kerahsiaan keputusan penilaian keluarga dalam mengumpul maklumat. Kadang-kadang masalah wujud apabila ahli keluarga ingin mengakses keputusan setiap ahli. Sebagai contoh, anak mungkin akan enggan untuk menyampaikan sesetengah maklumat sekiranya ibubapanya hendak melihat keputusan penilaian. Oleh itu, kaunselor perlulah bijak dalam menggunakan maklumat penilaian dan menentukan siapakah yang berhak untuk mengakses keputusan penilaian.



Masalah lain dalam penilaian keluarga ialah penormaan sampel memakan masa yang agak panjang. Perekabentuk alat ujian perlulah mengakses keseluruhan ahli keluarga walaupun mendapatkan maklumat daripada setiap ahli keluarga adalah kompleks dan sukar. Selain itu, nilai budaya setiap keluarga perlulah diambil kira sebelum alat penilaian atau pengujian dibangunkan. Nilai budaya memberi kesan yang besar dalam menentukan corak kefungsian sesebuah keluarga. Oleh itu, agak sukar bagi kita untuk menilai sebuah keluarga yang berhijrah dari Amerika Syarikat ke Malaysia, di mana nilai dan etika budaya masyarakat setempat berbeza dengan nilai budaya masyarakat orang kulit putih di Amerika.