Khamis, 14 Julai 2011

KETENANGAN BERDASAR SAINTIFIK

1). Senaman Pernafasan
Pernafasan membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak, melegakan otot dan mentemteramkan minda kita. Tarik nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan kuat dan hembuskan nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan penuh. Semasa menghadapi tekanan, pernafasan menjadi lemah dan pantas. Bernafas dengan kuat merupakan satu cara yang efektif untuk mengekalkan keadaan tenang. Senaman pernafasan ialah berguna kerana ia boleh dibuat di mana-mana sahaja dan ia membawa kesan positif dengan serta merta. Kita hendaklah menjadikan senaman sebagai satu tabiat harian.

2). Tafakur (Meditation)
Apabila bertafakur bersendirian tanpa apa-apa gangguan , otak anda menjadi tenang dan hormon tertentu yang memajukan kesihatan dibebaskan. Minda yang senang dan lega membantu kita mengelakkan tekanan jiwa. Setiap hari kita perlu membelanjakan sekurang-kurangnya lima belas minit untuk bertafakur.

3). Penggambaran
Penggambaran atau visualization membantu anda membayangkan anda mencapai tujuan dan cita-cita anda seperti menjadi sihat dan berasa tenang; menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan menangani situasi konflik secara berkesan. Membayangkan anda membuat kerja yang anda cuba kuasai dengan cemerlang sebenarnya berfungsi sebagai latihan fizikal. Jadi, anda boleh menambahbaikkan prestasi anda melalui penggambaran.

4). Pengurutan (Massage)
Terapi pengurutan mengurangkan denyutan jantung dan melegakan badan anda. Ia juga menambahkan kecerdasan minda kita. Minta sahabat anda memberi massage atau dapatkan khidmat seorang professional bagi membantu anda.

5). Kelegaan Otot
Berbaring, bersenang-senang dan dan membiarkan otot anda di muka, tangan, bahu dan leher mengendur sekuarang-kurangnya tiga minit. Latihan ini boleh dibuat mana-mana sahaja dan ini boleh membantu anda berasa tenang dengan cepat dan mudah.

6). Muzik
Terapi muzik mendatangkan banyak faedah kesihatan bagi mereka yang mengalami tekanan dan juga kesakitan yang teruk. Muzik yang sesuai boleh mengurangkan tekanan darah, melegakan badan dan mententeramkan minda anda. Anda perlu memilih muzik ringan dan yang anda sukai dengannya setiap hari.

7). Pengurusan Masa
Kenalpasti kerja harian anda mengikut keutamaan dan menetapkan satu jadual supaya anda dapat menyiapkannya mengikut keutamaan dengan tanpa melengah-lengahkan. Kenalpasti juga kerja yang tidak mendatangkan sebarang faedah seperti gossip kosong, perbualan telefon dan yang membazirkan masa anda. Membelanjakan masa yang lebih bagi membuat kerja yang lebih penting.

Selain teknik yang diterangkan di atas, anda boleh main pelbagai aktiviti dengan rakan-rakan atau keluarga; berjalan sekurang-kurangnya dua kilometer sehari; pergi berenang di sungai atau pantai; beri perhatian kepada pemakanan; tidur lapan jam setiap malam; dan menonton cartoon atau lawak jenaka (komedi) atau baca komik (kerana mengikut pakar perubatan gelak ketawa dan kelucuan melegakan otot, mengurangkan tekanan darah, menambahkan tahap tenaga, dan menyegarkan sistem pernafasan dan darah kita.

Namun sebaiknya kita pelbagaikan sikit dari cara yang dijelaskan di atas. Mengabungkan kaedah saintifik dan Islamik. Antaranya :

1). Menyebut Kalimah “Lailahaillallah” Ketika Senaman Pernafasan
Hadith Rasulullah S.A.W. : Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing manakala kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi.

2). Memperbanyakkan Zikir Dan Muhasabah Diri Ketika Bertafakur
Hadith Rasulullah S.A.W. : Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan, itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa. Dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-perbuatan yang keji itu dibersihkan. Dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera syaitan itu diceraikan daripadanya. Dan akhirat yang jauh itu didekatkan dan dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.

Hadith Rasulullah S.A.W. : Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan ia menyubur bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun ia tiada berharta benda, memuliakannya walaupun ia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun ia tidak mempunyai kerajaan. Dan sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti ia akan dihinakannya walaupun ia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.

Firman Allah S.W.T. : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari”, (Surah Al-Insan, Ayat 25 & 26).

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai” (Surah 7 Al-A’raf,  Ayat 205).

“Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka” (Surah Al-Imran, Ayat 191).

3). Melegakan Otot Dengan Gerakan Solat Sunat

a. Profesor Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas – Aktiviti Otot
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul akan menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

b. Ng Siew Chok – Isyarat Otak
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya. Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

c. Dr. Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. “Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya. Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. “Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. “Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

4). Menggantikan Alunan Muzik Ke Alunan Al-Quran Atau Nasyid
Rasulullah S.A.W.  bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah S.W.T. (al-Quran) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di hari qiamat.”

Kelebihan lain :
a. Orang yang membaca, mendengar Al-Quran, berzikir dan berkunjung di tempat-tempat pengajian atau ibadah, akan dilapangkan dadanya dan ditenteramkan hatinya daripada masalah-masalah dunia.

b. Orang yang membaca dan mendengar Al-Quran, berzikir, berdoa dan berkunjung di tempat-tempat pengajian atau ibadah, nescaya Allah akan sentiasa bersamanya dan orang tersebut akan lebih khusyuk beribadah kepada Allah.

c. Orang yang membaca dan mendengar Al-Quran, berzikir, berdoa dan berkunjung di tempat pengajian atau ibadah dengan ikhlas hatinya, maka dia dapat mendidik nafsunya ke arah jalan kebaikan dan diredhoi Allah.

Tiada ulasan: