Ahad, 3 Julai 2011

HILANGKAN STRES ANDA

Antara cara yang boleh diamalkan iaitu;

1. Biasakan Diri Berada Dalam Keadaan Berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Selain itu kita juga akan diangkat darjat dan dicintai Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu : “Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab : Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda S.A.W. pun bersabda : Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya”,  (Hadith riwayat Muslim).

Firman Allah : ”Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih”, (Surah Al-Baqarah : Ayat 222).

2. Lakukan Kegiatan Luar Seperti Bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa bersama rakan pergi beriadah. Ikatan persahabatan juga akan bertambah erat dan kukuh.

Islam menganjurkan kita mempelajari berenang, melimpar panah, menunggang kuda dan sebagainya. Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah mengelilingi para sahabatnya dalam kumpulan-kumpulan melimpar panah seraya mengalakkan mereka katanya : “Limparlah kamu dan aku juga akan menyertai kamu sekalian”. Rasulullah bersabda : “Allah lebih menyayangi orang Mu’min yang kuat dari orang Mu’min yang lemah’. Pepatah Arab yang berbunyi “Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat”.

3. Perbanyakkan Membaca Al-Qur'an
Ganjaran yang besar akan diberikan oleh Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Qur’an walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Qur’an ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Qur’an sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

Hadzrat Abu Sa’id R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda bahawa Allah S.W.T. berfirman : “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiku dan berdoa kepadaku kerana sibuk dengan Al-Qur’an maka aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaku. Ketinggian perkataan Allah S.W.T. ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah Taala ke atas segala makhluk (ciptaanNya)”. (Hadith riwayat At-Tirmizi, Darimi, dan Al-Baihaqi).

"Sesungguhnya Al-Qur’an ini adalah tali Allah yang kukuh, ia cahaya Allah yang menyinar, ia pengubat yang mujarab, selamat sesiapa yang berpegang dengannya dan berjaya sesiapa yang mengikutinya (berittiba' dengannya)".

4. Amal Diet Dengan Disiplin Yang Kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

Fakta Sains menyatakan : “Tekanan dapat mengurangi vitamin B dari tubuh dan mengurangi penyerapan nutrisi vital. Menjadi penting untuk memastikan makanan memiliki diet yang seimbang. Sikap dalam satu pengalaman atau bagaimana merespon terhadap peristiwa stres tergantung daripada seberapa banyak diet makanan seperti halnya pada kecekapan individu. Memakan makanan yang betul dan menjaga diet seimbang dapat menolong mengurangi stres dan mendorong lebih banyak tenaga. Cuba untuk membuat waktu makan menjadi tenang dan santai. Makan dalam perjalanan biasanya membuatkan pemilihan makanan yang buruk dan suatu persekitaran penuh kesibukan yang hanya akan menyumbang terjadinya tekanan yang lebih besar”.  

5. Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

Firman Allah S.W.T. : "Dan pada sebahagian malam dirikanlah solat sebagai solat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu akan meletakkan engkau di suatu tempat yang terpuji", (Surah Al-Isra’ : Ayat 79).

6. Hargai Kebolehan Diri Sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

Petikan kata-kata motivasi Dr. Fadzilah Kamsah : “Yakin diri bermaksud kita ada kawalan penuh terhadap semua yang kita cakap dan semua yang kita buat. Untuk membina sikap yakin diri, terlebih dahulu anda kena berlatih mengawal perbuatan anda dan mengawal percakapan anda. Fikir dulu sebelum buat, fikir dulu sebelum cakap. Masalah tidak yakin diri akan mula timbul bila anda bercakap tergagap-gagap, teragak-agak, cakap main lepas dan anda dikawal oleh emosi. Anda akan mula mendapat kawalan penuh pada percakapan dan perbuatan apabila anda selalu bertenang. Elak untuk membiasakan diri mempamer air muka yang tegang, yang stres, yang ‘blur’ atau yang bingung. Itu petanda emosi menguasai anda, bukan anda yang menguasai emosi. Biar kita nampak cool dan tenang-tenang saja, barulah keyakinan diri kita ada pastu kekal lama pula. Ketenangan ambil sedikit masa untuk dikuasai, namun ia boleh dikuasai melalu latihan berterusan juga lakonan berterusan. Lakonan macam mana? Berlakon menjadi orang yang tenang saja, tenang setenang-tenangnya. Jika sebelum ni Anda orang yang tak yakin, bahkan tidak ada keyakinan, lakukan latihan ketenangan diri. Pejamkan mata untuk seketika, bernafas perlahan-lahan dan diamkan diri seketika. Amalkan setiap hari, supaya Anda merasa tenang selalu, lantas membangkitkan sikap yakin diri”.

Orang yang kita nampak konfiden, biasanya tenang-tenang saja. Program minda/ cuci minda, paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati : Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya”.

Hati yang bersih memancarkan gelombang positif yang amat kuat, lantas mempengaruhi orang sekeliling dan situasi-situasi menjadi positif sama. Sebaliknya, hati yang kotor akan memancarkan gelombang negatif yang amat kuat, menukarkan orang-orang sekeliling menjadi negatif juga membuat situasi-situasi pada saat kita berada tu menjadi negatif. Kesannya, kita jadi murung, tertekan, tiada kegembiraan dan menjalani hidup penuh dengan tekanan.

Untuk bahagia, berjaya, gembira, kita perlu ubah persekitaran kita menjadi positif. Kita boleh ubah semua itu bermula dengan rajin-rajinkan diri mencuci hati simply dengan memprogram minda 7 saat sebelum kita tidur.

7. Selalu Berdoa Kepada Allah
Allah telah berfirman bahawa, jangan sesekali kita menyembah selain daripadaNya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya’ Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hambaNya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang kemahuan tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

Dan Tuhanmu telah berfirman : “Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan untukmu”, (Surah Al-Mukmin : Ayat 60). “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (katakanlah) bahawasanya Aku ini sangat dekat, Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu”, (Surah Al-Baqarah : Ayat 186).

8. Cintai Diri Sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu dalam situasi memahami dan menyintai orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang terbaik. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman. Senyuman itu umpama pemakai wangian yang bukan hanya si pemakainya sahaja yang harum, namun keharuman itu turut dirasai orang sekitarnya.

Kepentingan cinta kepada diri sendiri mendorong seseorang untuk menjaga dan menghargai diri sendiri, mengambil berat terhadap kesihatan dan mengambil berat terhadap kesejahteraan jasmani dan rohani. Cinta jasmani mendorong seseorang sentiasa menjaga diri, menjaga kebersihan, mengambil pemakanan secara seimbang, mengambil berat terhadap keperluan pemakanan halal dan baik, merawat ketika sakit dan sentiasa berikhtiar untuk mencari ubat apabila menghidap penyakit. Cinta rohani membangkitkan rasa yakin dan ingin mendekati Al-Khaliq yang mana segala apa sesuatu di bawah kendalianNya.

Rasulullah bersabda dengan bermaksud : “Tiga sifat sesiapa yang memilikinya akan merasakan kelazatan iman iaitu jika ia mencintai Allah dan Rasulnya lebih dari yang lain. Jika dia mencintai sesama manusia semata-mata kerana Allah dan jika ia enggan kembali kepada kekufuran setelah diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana ia enggan dimasukkan ke dalam neraka”, (Mutafakun alaih).

9. Mengadu Hanya Kepada Allah
Mungkin tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati kadangkala boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain, hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Bagaimanapun langkah terbaik sebagai Muslim ialah bersabar dan mengharap Allah semata-mata.

Firman Allah S.W.T. : “Orang-orang bertakwa ialah orang yang berinfak baik diwaktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikkan”, (Surah Al-Imran : Ayat 134). “Orang-orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah, bahawa dengan mengingati Allah, hati itu akan menjadi tenteram”, (Surah Ar-Ra’d : Ayat 28).

Nabi S.A.W. bersabda bermaksud : “Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di depan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari”, (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi). “Tidak ada seseorang hamba menahan marah kerana Allah S.W.T. melainkan Allah akan memenuhinya dengan keamanan dan keimanan”, (Hadith riwayat Abu Daud).

10. Bersangka Baik Dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang berkuasa, bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Yakinlah yang ianya adalah kesilapan dari kita sendiri. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkanNya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah lagi (bakhil kedekut); apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan pabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut", (Surah Al-Maarij : Ayat 19 – 21).

“Allah berfirman : “Aku sentiasa bersama apa yang disangkakan oleh hambaKu kepadaKu. Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia berzikir dalam dirinya Aku akan mengingatinya seperti itu juga. Jika dia berzikir di khalayak ramai, Aku akan mengingatinya di khalayak yang lebih baik dari itu. Jika dia mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia datang kepadaKu berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak”, (Hadith riwayat Al-Bukhari).

“Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat makbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya”.

Tiada ulasan: