Jumaat, 24 Februari 2012

PENGORBANAN SANG LEMBU


Hakikat pengorbanan seekor binatang (lembu) yang sungguh mulia, yang merelakan (redha) dikorbankan oleh manusia dalam mendekatkan diri (meningkatkan ketaqwaan) kepada Allah Subahanahu Wa Taala. 

Begitu jua, alangkah mulia dan tingginya ketaqwaan manusia yang sanggup mengorbankan segala apa yang dimiliki mereka sama ada harta, masa, tenaga dan sebagainya dalam kehidupan sebagai khalifah dibumi Allah Subahanahu Wa Taala.

Rabu, 15 Februari 2012

KASIH SEORANG SUAMI

KUALITI KEHIDUPAN BERKERJA : KAJIAN LEPAS

Kajian lepas yang berkaitan dengan KKB banyak dijalankan di luar negeri berbanding dalam negeri. Sungguhpun demikian, kajian tentang kepuasan kerja didapati lebih banyak dijalankan baik di luar negeri mahupun di dalam negeri.


Kajian Lepas Di luar Negeri

Cacioppe dan Mock (1984) telah menjalankan kajian mengenai KKB pekerja status rendah dan pekerja status tinggi. Kajian ini dijalankan ke atas 5,979 pekerja daripada sejumlah organisasi sektor awam dan swasta di Australia. Kajian itu bertujuan untuk melihat perbezaan pemeringkatan di antara pekerja sektor awam dan swasta mengenai pengalaman kerja mereka, dengan menggunakan soal selidik yang dibentuk oleh Cacioppe (1980) iaitu The Quality of Work Experience Survey. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa pekerja awam memeringkatkan kualiti pengalaman kerja mereka secara signifikannya di bawah tahap pemeringkatan pekerja swasta. Pekerja status rendah dalam sektor swasta mempunyai markat yang lebih tinggi daripada pekerja status rendah dalam sektor awam, tetapi perbezaan ini lebih kecil daripada kes pekerja status tinggi. Mereka juga mendapati bahawa pekerja status tinggi mempunyai markat yang lebih tinggi dalam alat ukuran itu daripada pekerja status rendah.


Kajian oleh Lee, Mueller dan Miller (1981) pula mengkaji perhubungan antara jantina, status gaji, tahap pekerjaan dan kepuasan kerja. Seramai 831 orang pekerja lelaki dan 765 orang pekerja wanita telah menjawab soal selidik Triple Audit Opinion Survey. Pengkaji mendapati bahawa tahap pekerjaan adalah peramal kepuasan kerja yang lebih baik daripada jantina tahap pemakan gaji.


Kajian Dyer (1975) menunjukkan bahawa anggota-anggota persatuan pekerja lebih mementingkan isu-isu tradisional mereka daripada isu-isu KKB. Manakala kajian Holley (1981) pula mendapati bahawa subjek-subjek kajiannya mengutamakan usaha-usaha bersama antara persatuan mereka dengan pihak pengurusan dalam membincangkan isu-isu KKB (Sebastian 1983).


Di Amerika Syarikat kajian-kajian yang dilakukan adalah tentang program-program meningkatkan KKB. Ini telah dilakukan dibeberapa syarikat seperti General Motors pada tahun 1978 dan Bolivar pada tahun 1980. Program meningkatkan KKB dilakukan di General Motors disebabkan terdapat banyak masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan seperti kos pengeluaran dan prestasi merosot. Oleh itu pihak persatuan pekerja dan pihak pengurusan telah mengadakan perbincangan tentang cara-cara untuk membaiki dan mengatasi keadaan yang semakin hari semakin merosot. Pada tahun 1972 syarikat ini telah membuat penyusunan semula pekerjaan yang melibatkan pekerja-pekerja di syarikat itu.. Dengan itu sebuah jawatankuasa KKB telah ditubuhkan untuk melaksanakan program-program KKB. Selepas daripada pelaksanaan program itu syarikat General Motors telah menunjukkan tahap prestasi pekerjanya mula meningkat dari semasa ke semasa.


Program KKB di Harman International Industries Inc. di Bolivar, Amerika Syarikat pula dilaksanakan dengan kerjasama antara pihak pengurusan dengan persatuan pekerja syarikat tersebut. Objektif utama projek ini ialah untuk meningkatkan KKB pekerja-pekerjanya dan membaiki keberkesanan organisasi. Projek ini kemudiannya telah dinilai oleh Macy (1980) dan medapati terdapat peningkatan produktiviti pekerja dan kulaliti barangan syarikat itu. Selain itu kadar kemalangan dan ponteng kerja telah menurun. Keseluruhannya projek ini dianggpap berjaya dan membawa kesan positif.


Terdapat juga kajian-kajian yang berkaitan dengan aspek-aspek demokrasi industri, penyertaan pekerja, faktor-faktor persekitaran, pengkayaan kerja, tanggungjawab sosial dan kualiti kehidupan. Agervold dalam Sebastian (1983) telah membuat kajian penilaian projek demokrasi industri di Syarikat Arivika, Sweden. Hasil kajian beliau menunjukkan bahawa pekerja-pekerja syarikat lebih bersikap positif terhadap kerja mereka dan dapat menguasai kerja mereka.


Sebastian (1983) telah medapati dalam kajian yang dilakukan oleh Gavin dan Maynand (1975) mengenai tanggungjawab sosial organisasi bahawa pekerja-pekerja yang memandang positif terhadap peranan tanggungjawab sosial organisasi dalaman dan luaran akan menjadikan kepuasan mereka bertambah. Dan pekerja mempercayai bahawa ganjaran-ganjaran bagi kerja mereka akan bergantung kepada prestasi mereka.


Davis dan Cherns (1975) telah melakukan kajian untuk mengukur hubungan KKB dengan kualiti kehidupan. Keputusan kajian menunjukkan bahawa komponen-komponen yang kerap sekali disebut adalah keadaan psikologikal seseorang, persekitaran kerja, kesedaran tujuan kehidupan seseorang dan persekitaran sosial. Perkara yang paling memuaskan pekerja ialah hubungan mereka dengan rakan-rakan sekerja, cabaran kerja mereka dan autonomi kerja mereka. Dan perkara yang paling tidak memuaskan pekerja ialah hubungan mereka dengan penyelia, masalah-masalah dengan rakan-rakan sekerja dan persekitaran kerja yang kotor dan membosankan.


Bushe dalam Porras dan Silvers (1991) telah melakukan kajian penilaian (pemeriksaan) 5 projek KKB yang telah dilaksanakan di dalam organisasi besar. Keputusan kajian menunjukkan projek KKB yang menggunakan organisasi parallel mempunyai prestasi yang lebih baik daripada projek yang melibatkan kumpulan mutu.


Bocialetti (1987) dalam kajiannya telah membuat penilaian teknik KKB di kilang memproses logam. Beliau telah mendapati pekerja muda lebih puas dengan rawatan KKB kerana ianya membenarkan mereka mengelak dari sistem senioriti dan hubungan berlawanan di antara pengurusan dan pekerja tua. Ondrack dan Evans (1987) turut mengkaji kesan KKB dengan perlaksanaan projek rekabentuk semula kilang industri petrolkimia di Kanada. Beliau telah mendapati tidak ada perbezaan sama ada pengkayaan kerja atau kepuasan antara tradisional dan KKB.


Kesan KKB ke atas organisasi kecil pula telah dilakukan oleh Sorenson et al (1985) dan mendapti kesannya berlaku perubahan positif dalam sikap dan prestasi selepas tempoh 4 tahun. Keputusan ini mencadangkan rawatan KKB yang lebih kerap mempunyai kesan positif terhadap sikap tetapi kesan prestasi sedikit sebanyak lebih bercampur.


Kajian oleh Sonnenstuhl (1988) untuk melihat perbandingan antara program bantuan pekerja (EAP), program meningkatkan kesihatan pekerja (HPP) dan kualiti kehidupan bekerja (QWL/KKB) dan kesannya ke atas penyalahgunaan dan pergantungan kepada alkohol. Keputusan kajian menunjukkan ketiga-tiga program mempunyai matlamat yang sama untuk memperbaiki pekerja supaya berada dalam keadaan baik dan meningkatkan produktiviti. Kesemuanya berperanan dengan bentuk perbezaan pendekatan tentang apa yang perlu diubah dalam organisasi kerja dan perbezaan orientasi yang menghalang dalam rawatan penyalahgunaan alkohol. Walaupun begitu perlu perkongsian kerjasama antara program EAP, HPP dan KKB dalam mengenalpasti faktor tempat kerja yang berhubungan dengan masalah minuman keras dan membentuk beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.


Trist (1986) membuat tinjauan untuk melihat perlaksanaan program KKB dan pembangunan komuniti di Jamestown. Hasil kajiannya mendapati kesukaran dalam menyebarluas dan mengembangkan pembaharuan program KKB dari satu organisasi kepada organisasi yang lain. Walaubagaimanapun projek tersebut bejaya dilaksanakan dan telah membantu meningkatkan keberkesanan organisasi dan menjadikan suasana bekerja lebih berfaedah.

Sabtu, 14 Januari 2012

SIFAT MUKMIN SEBENAR


عن أبى أمامة الباهلي رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال : من سرّته حسنته وساءته سيئته فهو مؤمن

Daripada Abu Umamah Al-Bahili R.A., Nabi S.A.W bersabda : Sesiapa bersukacita dengan kebaikannya dan berdukacita dengan keburukannya, ia adalah mukmin.
( Hadith Riwayat Ahmad dan Al Hakim )


Ulasan Hadis :

1. Hadith ini menerangkan kepada kita tentang sifat mukmin yang sebenarnya.
2. Orang mukmin yang sempurna keimanannya, akan merasa gembira dan senang hati apabila berbuat kebaikkan, dan akan merasa resah gelisah serta sedih jika melakukan keburukkan ( kesalahan atau maksiat ).
3. Adapun orang yang munafik, kebaikan dan keburukan berada di tahap yang sama. Bila melakukan kesalahan tidak merasa duka, dan bila melakukan kebaikan tiada rasa gembira.
4. Kita hendaklah sentiasa bermuhasabah pada setiap detik dan waktu, agar kita dapat mengesan diri daripada menjadi orang yang munafik.
5. Hamba yang benar ialah hamba yang sering berhati-hati di dalam setiap tindakan dan memikirkan akibatnya.
6. Sama-samalah kita berusaha menjadi seorang mukmin yang sempurna keimanan kepada ALLAH S.W.T.

Sabtu, 7 Januari 2012

EMPAT JENIS PERSONALITI ASAS

DONT GIVE UP

KOMITMEN ORGANISASI BERHUBUNGAN DENGAN KONFLIK PERANAN DAN KEKABURAN PERANAN DALAM ORGANISASI

Pada masa kini, konsep komitmen organisasi telah meningkat popular dalam literatur psikologi industri dan organisasi, dan gelagat organisasi. Konsep yang telah diterima ini banyak terdapat dalam kajian-kajian empirikal sama ada kesan atau antesiden yang dihubungkan dengan pembolehubah lain yang berkaitan dengan kerja. Kesan komitmen dikaitkan dengan pembolehubah ciri personel, keadaan (perihal) peranan dan aspek daripada persekitaran kerja yang merangkumi ciri kerja hingga dimensi struktur organisasi. Manakala antesiden komitmen organisasi digunakan untuk meramal ketidakhadiran kerja, prestasi, peralihan kerja dan lain-lain tingkah laku pekerja (Mathieu dan Zajac, 1990).


Ciri personel, ciri kerja dan keadaan (perihal) peranan secara umumnya dipertimbangkan sebagai antesiden komitmen (Mowday et al., 1982; Steers, 1977). Keinginan tingkah laku dan tingkah laku sebenar secara umumnya dipertimbangkan sebagai kesan komitmen organisasi. Tidak dapat diragui lagi bahawa terdapat beberapa laporan kajian yang menunjukkan wujudnya hubungan timbal balik di antara komitmen organisasi dengan beberapa pembolehubah di atas. Konflik peranan dan kekaburan peranan yang bertindak sebagai antesiden tingkah laku (Steers, 1977; Steers dan Mowday, 1981) dan telah dibuktikan sebagai faktor penyebab kepada penurunan tahap komitmen kepada organisasi (Baird, 1969 dalam Morris dan Koch, 1979).


Konflik peranan dan kekaburan peranan juga dikaitkan dengan pengurangan terhadap kepuasan kerja, komitmen organisasi dan penglibatan kerja termasuk juga peningkatan tahap tekanan dan kecenderungan untuk meninggalkan organisasi (Jackson dan Schuler, 1985). Terdapat dua kajian yang telah diperiksa menunjukkan bahawa terdapatnya hubungan di antara komitmen organisasi dengan perihal (keadaan) peranan. Dalam kajian yang pertama, komitmen mahasiswa adalah secara negatif dikaitkan dengan konflik peranan yang dipersepsikan tetapi tidak dengan kekaburan peranan (Baird, 1969 dalam Morris dan Koch, 1979). Dalam kajian berikutnya, komitmen jururawat dan guru sekolah swasta secara negatif dikaitkan dengan kekaburan peranan yang dipersepsikan tetapi tidak pula dengan konflik peranan (Hrebiniak dan Alutto, 1972).

 
Morris dan Koch (1979) menyatakan bahawa konflik peranan dan kekaburan peranan mempunyai hubungan yang negatif dengan komitmen organisasi dan penglibatan kerja. Konflik peranan didapati lebih kuat hubungannya daripada kekaburan peranan bagi kumpulan pekerjaan yang menggambarkan kompleksiti tugas pada tahap yang rendah. Manakala kekaburan peranan pula didapati lebih kuat hubungannya daripada konflik peranan bagi kumpulan pekerjaan yang menggambarkan kompleksiti tugas pada tahap pertengahan dan tinggi. Bagi kumpulan pekerjaan tahap rendah hanya konflik peranan sahaja yang mempunyai hubungan yang negatif dengan komitmen organisasi. Sementara bagi kumpulan pekerjaan tahap pertengahan dan tinggi hanya kekaburan peranan sahaja yang mempunyai hubungan yang negatif dengan komitmen organisasi.


Hrebiniak dan Alutto (1972) dan Stevens, Beyer dan Trice (1978) melaporkan bahawa skala peranan seperti konflik peranan dan kekaburan peranan mempunyai hubungan dengan komitmen organisasi. Morris dan Sherman (1981) mendapati konflik peranan mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen organisasi, sebaliknya kekaburan peranan tidak mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen.


Salancik (1977) menunjukkan bahawa konflik peranan merupakan persepsi pengurangan tanggungjawab yang telah dipersepsikan termasuk pengurangan dalam penglibatan peranan dan komitmen. Manakala kekaburan peranan merupakan sumber kekeliruan yang mungkin mengurangkan komitmen dan mengurangkan hubungan yang dipersepsikan antara peranan ahli dengan pencapaian matlamat organisasi. DeCotiis dan Summers (1987) menunjukkan bahawa pembolehubah konflik peranan dan kekaburan peranan berkorelasi secara signifikan dan konsisten dengan komitmen seperti yang dilaporkan oleh Hrebiniak dan Alutto (1972) dan Stevens et al. (1978).


Mathieu dan Zajac (1990) membuktikan bahawa terdapat hubungan di antara konflik peranan dan kekaburan peranan dengan komitmen organisasi. House dan Rizzo (1972) mendapati bahawa kekaburan peranan adalah peramal dan pembolehubah yang lebih baik daripada konflik peranan. Daripada hasil kajian meta-analisis oleh Fisher dan Gitelson (1983) juga menunjukkan bahawa kekaburan peranan mempunyai hubungan yang kuat dengan komitmen organisasi dan penglibatan kerja lebih daripada konflik peranan. Kenyataan ini sama dengan penemuan awal oleh House dan Rizzo (1972). Ini menunjukkan bahawa kekaburan peranan mungkin lebih mudah untuk dikawal dengan perubahan amalan organisasi daripada konflik peranan.


Secara ringkasnya konflik peranan dan kekaburan peranan mempunyai hubungan yang negatif dan signifikan dengan komitmen organisasi. Kedua-dua skala peranan ini berhubungan secara bertimbal-balik dengan pembolehubah komitmen. Konflik peranan dan kekaburan peranan yang tinggi akan menyebabkan komitmen pekerja kepada organisasi menurun. Pekerja yang tinggi komitmennya kepada organisasi akan menunjukkan tahap konflik peranan dan kekaburan peranan yang rendah.

Ahad, 1 Januari 2012

TEMUDUGA SEBAGAI PERAMAL YANG DIYAKINI KEBOLEHPERCAYAAN DAN KEESAHANNYA

Temuduga ialah satu proses di mana individu bertukar maklumat. Pertukaran maklumat ini mungkin berkaitan dengan permohonan satu-satu pekerjaan, kenaikan pangkat dan sebagainya (Trull, 1964 dlm. Hamidah Hj. Abd. Ghani (1982). Temuduga juga bermaksud untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai sesuatu perkara yang disoal dalam borang permohonan.

Penggunaan temuduga sebagai satu teknik pemilihan personel amat meluas digunakan. Ini dibuktikan oleh Spriegel dan James (Wexley dan Yukl, 1977) dalam satu kajian yang dijalankan beberapa tahun yang lalu. Kajian ini menunjukkan bahawa 99 peratus daripada 852 organisasi yang dikaji, menggunakan temuduga sebagai satu teknik pemilihan personel. Dari kajian ini ternyata bahawa penggunaan teknik temuduga begitu meluas dan popularitinya akan berterusan. Majoriti firma yang ditinjau oleh Miner dan Miner (1978) didapati menggunakan temuduga sebagai komponen penting program pemilihannya. Jadi sama seperti borang pemohonan, temuduga juga digunakan dengan meluas. Kini jarang sekali seseorang individu itu dipilih untuk sesuatu pekerjaan tanpa melalui sesuatu jenis temuduga.
           
Magee (1962) bependapat bahawa tujuan utama temuduga ialah untuk mendapatkan maklumat mengenai pemohon-pemohon. Maklumat ini boleh menolong penemuduga membuat keputusan dengan tepat berhubung dengan kesesuian pemohon dalam pekerjaan yang ditawarkan. Foster (1965) menyatakan bahawa temuduga juga boleh membantu menentukan sama ada seseorang pemohon itu boleh menjadi asset pada organisasi yang menawarkan pekerjaan tersebut, ataupun tidak.
           
Kajian Anderson (1954) ialah mengenai ramalan kejayaan dalam bidang profesional melalui temuduga. Dalam kajiannya, dia menggunakan teknik temuduga secara berstruktur yang mengambil masa selama 30 minit. Mereka yang ditemuduga adalah daripada pemegang ijazah kedoktoran untuk jawatan di universiti. Dari kajian ini, didapati nilai keesahan bagi temuduga adalah sebanyak 23 hingga 37 daripada yang diperolehi dari alat bukan temuduga termasuk markah ujian semasa di universiti, iaitu ujian jawapan pendek dan ujian karangan.

Landy (1976) telah membuat kajian untuk melihat keberkesanan  temuduga dalam pemilihan polis. Tujuannya adalah untuk menentukan sama ada skop temuduga yang dikenali sebagai jawatakuasa lisan boleh digunakan untuk meramal prestasi para pegawai polis semasa bertugas di jalanraya. Hasil kajian menunjukkan bahawa temuduga dapat meramal tingkah laku bakal polis.
           
Sebagaimana yang diketahui bahawa temuduga adalah kaedah yang paling popular untuk mengumpul maklumat mengenai permohonana pekerjaan. Walaupun begitu, seseorang majikan yang luar biasa sahaja yang akan mengambil seseorang pekerja tanpa menemuduga terlebih dahulu. Memang ramai majikan menjadikan temuduga sebagai alat penilaian tunggal yang digunakan selain daripada borang permohonan.
           
Temuduga popular digunakan disebabkan ramai yang percaya bahawa adalah mungkin untuk menilai perwatakan seseorang dan kebolehannya dengan bertemu dan bercakap dengannya. Sebenarnya apabila kita berjumpa dengan seseorang buat pertama kali, kita berkecenderungan untuk menilainya berdasarkan sebarang maklumat terdahulu mengenai seseorang itu atau kumpulan yang dianggotainya dan juga kesan pertamanya terhadap kita. Jika kita memperolehi peluang berikutnya untuk bekerja dengan orang ini dan kita dapat memahaminya dengan lebih baik, kita mungkin mendapati bahawa tanggapan awal terhadapnya adalah tidak tepat.
           
Tujuan sesuatu temuduga bukanlah untuk mendapatkan data berfakta mengenai calon itu (lebih baik data itu dikumpul daripada borang permohonannya atau melalui satu ujian) tetapi untuk menilai kemahirannya berkomunikasi, menerokai latarbelakanganya, melihat jika dia mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang sepatutnya untuk melakukan sesuatu kerja dan melihat tanda-tanda ciri-ciri perwatakan yang mungkin penting untuk kejayaan sesuatu pekerjaan.
           
Menurut Carlson, Thayer dan Mayfield, 1971 dlm. Norsidah Ahmad (1983) sejak tahun 1915, keesahan dan kebolehpercayaan temuduga telah dipersoalkan secara empirikal. Menurut Novit (1979) apa yang didakwa ialah temuduga lebih memperlihatkan bias individu yang menjalankan temuduga di mana pemutusan pemilihan lebih pada dasar membuatkan impresi yang baik semasa temuduga daripada kebolehan seseorang yang sebenar dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Dengan kata lain ia tidak meramal prestasi pekerjaan. Bertitik tolak daripada situasi itu Petterson dan Tracy (1979) telah mengambil pendekatan untuk memperbaiki lagi keesahan dan kebolehpercayaan temuduga berdasarkan masalah-masalah temuduga yang dikemukakan oleh Webster (1964). Pendekatannya ialah mewujudkan temuduga berstruktur, memberi latihan kepada penemuduga dan menggunakan panel dalam temuduga.  Kajian Campion, Puesell dan Brown (1988) dan Wiesner dan Cronshaw (1988) mencadangkan temuduga adalah berguna dan merupakan suatu kaedah yang sahih bagimemilih kakitanga, asalkan ia dilaksanakan secara berstruktur.
           
Kebanyakkan pengkaji bersetuju bahawa temuduga berstruktur adalah lebih baik dan berkesan daripada temuduga tidak berstruktur. Wexley dan Yukl, 1977 dlm. Hamidah Hj. Abd. Ghani (1982) melaporkan bahawa hasil daripada berbagai kajian yang telah dijalankan sejak tahun 1915, didapati bahawa temuduga-temuduga berstruktur mempunyai kebolehpercayaan yang lebih tinggi kepada penilaian yang dibuat oleh peenemuduga-penemuduga, dan mempunyai keesahan yang lebih tinggi dari temuduga tidak berstruktur. Keadaan ini wujud kerana format temuduga berstruktur dapat mengurangkan sifat subjektif yang ada pada temuduga jenis tidak berstruktur.
           
Timbulnya isu kenapa temuduga masih digunakan walaupun mempunyai keesahan, kebolehpercayaan yang rendah dan lebih mudah cenderung kepada bias dan menyeleweng. Secara ringkasnya dapat disimpulkan beberapa alasan kenapa temuduga masih terus digunakan. Antaranya;

1. Temuduga Sebenarnya Sahih
Apabila seseorang individu mempersoalkan bukti jawapan yang diputuskan, secara keseluruhan temuduga masih menghasilkan pertimbangan yang sahih berdasarkan beberapa perkara yang dapat dilihat dalam dimensi tingkah laku interpersonal yang nyata dalam temuduga seperti kebolehan membuat hubungan sosial, kelancaran lisan dan sebagainya. Secara intisarinya,  temuduga dilihat sebagai sampel kerja dari tingkah laku dan ia berkemungkinan adalah penilaian yang tepat. Pada hakikatnya bukti tersebut lebih cenderung menyokong kandungan ini. Pekali keesahan biasanya sangat tinggi dan lebih berkemungkinan signifikan bagi dimensi tingkah laku yang lebih mudah dilihat dalam temuduga.

2. Temuduga Masih Menggunakan Pertimbangan Praktikal Sebagai Alat Pemilihan Yang Popular
Wagner, 1949 dlm. Arvey dan Campion (1982) mengakui menggunakan temuduga apabila bilangan pemohon lebih kecil untuk menjamin prosidur penghuraian lebih teliti. Sejarah temuduga bermula pada tahun 1964 dengan penggunaan lebih sofiskated sebagai alat pemilihan yang terhad kepada pekerjaan dengan bilangan yang besar dengan tugas (tanggungjawab) yang memerlukan pengesahan kajian yang empirikal.

Temuduga yang dilakukan dalam organisasi menjadi semakin menarik dengan bentuk kerjasama dan kajian keesahan yang luas di industri dilakukan. Kejayaan mendapatkan keesahan terkini seperti kajian Pearlman, Schmidt dan Hunter (1980) dan  Schmidt dan Gast-Rosenberg (1980) yang mencadangkan penggunaan ujian mungkin boleh menjadi lebih baik sebagai alternatif penambahan kepada temuduga untuk tujuan pemilihan.

Wanous (1980) telah menarik perhatian dengan mendedahkan tentang keputusan kerja calon untuk mendapat maklumat yang tepat tentang kerja yang boleh membantu merealisasi kerja mereka dan jangkaan kerja bagi calon itu sendiri. Secara jelasnya temuduga boleh memudahkan komunikasi untuk mendapatkan maklunmat yang tepat.

3. Penemuduga Mengekalkan Kepercayaan Dan Keyakinan Dalam Pertimbangan
Persoalan yang sangat banyak ialah mengenai kerja dalam keputusan kajian. Semasa bukti dalam latar klinikal yang nyata mempunyai dokumen baik terhadap ramalan statistik dengan jawapan lebih cenderung kepada keyakinan tempat yang tinggi, kemungkinan terdedah kepada membuat kesilapan pertimbangan dalam temuduga (Kahneman dan Tversky, 1973 dlm. Avery dan Campion (1982).
           
Kahneman dan Tversky (1973) dan Einhorn dan Hogarth (1978) membincangkan bahawa fenomena ini adalah gambaran keesahan. Perlunya penemuduga mengabaikan asas menilai maklumat. Jangan memberi perhatian untuk mempastikan bukti dan lebih bergantung kepada maklumat spesifik dalam membuat pertimbangan mereka.

4. Temuduga Melakukan Sesuatu Dengan Baik
Bahagian ini adalah yang paling tidak diuji andaian mengenai nilai temuduga untuk menyempurnakan objektif yang tidak berkaitan dalam keputusan pemilihan. Contohnya seorang calon jurujual dalam pekerjaannya. Perekrut yang melakukan pengambilan di kolej seringkali melaporkan, masa mereka tertumpu terutamanya ketika permintaan yang meningkat dalam kejuruteraan dan peniagaan. Penemuduga juga menjawab soalan daripada calon. Kebanyakkan calon memberi tumpuan kepada pengalaman, lebih bersedia dengan soalan spesifik yang penting kepada mereka yang membuat keputusan.

Kesimpulannya temuduga pekerjaan terus digunakan secara meluas. Semasa ramai ahli Psikologi Industri dan Organisasi menyedari keputusan mengenai had kebolehpercayaan dan keesahan temuduga, terdapat sebilangan mereka yang menganjurkan untuk menghapuskan temuduga dan tidak mahu menemuduga calon untuk mengisi jawatan di organisasi mereka. Dengan itu banyak kajian yang berterusan dilakukan ke atas temuduga dan akan diteruskan sehingga ianya digunakan sebagai teknik penting.

Sabtu, 31 Disember 2011

KEFUNGSIAN KELUARGA RUMAH ANAK YATIM

Dalam kehidupan manusia di dunia ini tidak semua anak-anak bernasib baik dengan mendapat keluarga bahagia yang boleh menjamin kehidupan yang selesa, mesra, selamat dan terjamin. Ramai yang menyedari hakikat bahawa betapa tingginya pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa untuk mencipta sebuah keluarga yang bahagia dan berfungsi. Ramai juga yang melalui kehidupan berkeluarga dalam keadaan penuh ranjau dan duri. Dalam kebanyakkan keluarga anak-anak dibela dengan penuh kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh. Ada pula sesetengah ibu bapa yang tidak menghargai kehadiran anak-anak mereka dan menganggap anak-anak sebagai punca penderitaan dan kepedihan yang ditanggung dan akibatnya anak-anak hidup terbiar, dibeza-bezakan, dianiaya malah kadang-kadang dibunuh.

Keluarga yang damai dan harmoni biasanya memupuk ikatan yang kukuh sesama ahli keluarga dan akhirnya boleh bertindak sebagai benteng kepada gejala-gejala tidak sihat daripada mempengaruhi ahli-ahli keluarga (anak-anak). Menurut Garison (1965, dalam Azaman dan Saedah, 2005) untuk membina sesebuah keluarga yang berfungsi dengan baik bukan sahaja perlu memenuhi keperluan fizikal seperti kewangan dan kemewahan malahan yang lebih penting ialah keperluan psikologikal juga penting seperti keperluan kasih sayang dan kemesraan di dalam keluarga. Cara-cara ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak mereka selalunya memberi kesan ke atas anak-anak itu dalam mereka membina keyakinan tentang kebolehan mereka dan nilai yang dipegang pada diri mereka.

Erikson (1963, dalam Azaman dan Saedah, 2005) memberikan penekanan tentang pentingnya perkembangan penghargaan kendiri pada peringkat  remaja dengan menyatakan bahawa perkembangan personaliti bergantung kepada kebebasan individu dalam menentukan pilihan mereka sendiri. Ini disebabkan seseorang individu itu bertambah sedar tentang kewujudan dirinya aka perkembangan penghargaan kendiri membolehkannya membina dan mengintegrasikan konsep tentang dirinya. Manakala keluarga adalah salah satu faktor yan mempengaruhi perkembangan konsep kendiri. Konsep kendiri dikatakan bermula dalam persekitaran melalui interaksi yang mesra dan intensif, seseorang individu dapat mementuk konsep tentang dirinya (Law Paw Liew & Mohamad Haji-Yusuf, 1991).

Pada masa kini, pelbagai usaha dilakukan bagi membantu anak-anak yatim dari segi pendidikan, pembelaan, kemudahan tempat tinggal serta pembelajaran yang sempurna di samping bantuan kewangan. Walaupun masa depan mereka banyak bergantung perhatian daripada kerajaan dan masyarakat yang sentiasa peka dengan nasib mereka, namun begitu usaha-usaha yang berkaitan dengan psikologi masih belum mencapai tahap memuaskan.

Pembentukan keluarga penjaga kepada anak-anak yatim yang bahagia memerlukan struktur kekeluargaan yang sihat dan kukuh. Ini bererti semua ahli-ahli dalam keluarga tersebut perlu mempunyai ciri-ciri kualiti hubungan yang positif, bersatupatu, tidak berlaku perbalahan di kalangan ahli keluarga, khususnya ibu bapa penjaga dengan anak-anak yatim. Proses interaksi ini melibatkan persepsi yang mendorong penghasilan tindakbalas. Kualiti perhubungan dapat mewujudkan keharmonian rumahtangga. Keharmonian akan meninggalkan kesan positif  dalam jiwa anak-anak. Jika mereka dibesarkan dalam suasana kacau bilau, suasana sedemikian akan membentuk suatu persepsi yang negatif terhadap kekeluargaan dan konsep kendiri yang negatif. Dengan adanya institusi rumah anak yatim, ianya menjadi tempat anak-anak yatim mendapat perlindungan, penjagaan dan kasih sayang sekaligus ia menjadi ibu bapa kedua selepas kematian ibu bapa mereka. Ia berfungsi menjadi sebuah keluarga bahagia, yang memelihara, mendidik dan mengasuh. Ringkasnya persekitaran atau cara asuhan dan didikan di rumah anak yatim akan mempengaruhi pembentukan personaliti dan konsep kendiri anak yatim.    

Jumaat, 30 Disember 2011

MOTIVASI PEKERJA

MOTIVASI SANG HELANG


MUTIARA KATA (3)

Sesiapa yang mempunyai kebolehan akan berjumpa landasan yang tepat.
- Charles Cahier

Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.
- Charles Cahier

Semua yang dicapai oleh manusia dan yang gagal dicapai olehnya
adalah kesan langsung pemikirannya.
- James Allen

Menyimpang seinci, rugi seribu batu.
- Peribahasa Cina

Rahsia kejayaan adalah ketekalan matlamat.
- Benjamin Disraeli

Perbaiki diri anda, tetapi jangan jatuhkan orang lain.
- I. Salanter Lipkin

Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan
kualiti yang baik dalam perbuatannya.
- Aristotle

Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.
- Albert Camus

Nilai manusia adalah semahal nilai matlamatnya.
- Marcus Aurelius

Manusia yang tidak berharap untuk menang telah sedia kalah.
- Jose Joaquin Olmedo

Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan
kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting
ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan
kekalkan usaha hingga ke akhir hayat.
- Joseph Conrad

Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang.
- William J. Siegel

Minda yang mahu akan memudahkan perjalanan yang susah.
- Philip Massinger

Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.
- Lao Tze

Kegagalan adalah asas kemenangan
- Lao Tze

Jika tujuan anda jelas, anda boleh mencapainya dengan mudah.
- Lao Tze

Kurang semangat mengakibatkan lebih banyak kegagalan berbanding
kurangnya kebijaksanaan atau kemahiran.
- Flower A. Newhouse

Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.
- Samuel Johnson

Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya
dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang.
- Cecil B. DeMille

Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda
tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan.
- Peribahasa Arab

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
- Peribahasa Melayu

Orang yang hebat bertindak sebelum berkata dan dia berkata selaras
dengan tindakannya.
- Confucius

Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah
melakukan satu kesalahan lagi.