Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Disember 2011

KEFUNGSIAN KELUARGA RUMAH ANAK YATIM

Dalam kehidupan manusia di dunia ini tidak semua anak-anak bernasib baik dengan mendapat keluarga bahagia yang boleh menjamin kehidupan yang selesa, mesra, selamat dan terjamin. Ramai yang menyedari hakikat bahawa betapa tingginya pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa untuk mencipta sebuah keluarga yang bahagia dan berfungsi. Ramai juga yang melalui kehidupan berkeluarga dalam keadaan penuh ranjau dan duri. Dalam kebanyakkan keluarga anak-anak dibela dengan penuh kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh. Ada pula sesetengah ibu bapa yang tidak menghargai kehadiran anak-anak mereka dan menganggap anak-anak sebagai punca penderitaan dan kepedihan yang ditanggung dan akibatnya anak-anak hidup terbiar, dibeza-bezakan, dianiaya malah kadang-kadang dibunuh.

Keluarga yang damai dan harmoni biasanya memupuk ikatan yang kukuh sesama ahli keluarga dan akhirnya boleh bertindak sebagai benteng kepada gejala-gejala tidak sihat daripada mempengaruhi ahli-ahli keluarga (anak-anak). Menurut Garison (1965, dalam Azaman dan Saedah, 2005) untuk membina sesebuah keluarga yang berfungsi dengan baik bukan sahaja perlu memenuhi keperluan fizikal seperti kewangan dan kemewahan malahan yang lebih penting ialah keperluan psikologikal juga penting seperti keperluan kasih sayang dan kemesraan di dalam keluarga. Cara-cara ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak mereka selalunya memberi kesan ke atas anak-anak itu dalam mereka membina keyakinan tentang kebolehan mereka dan nilai yang dipegang pada diri mereka.

Erikson (1963, dalam Azaman dan Saedah, 2005) memberikan penekanan tentang pentingnya perkembangan penghargaan kendiri pada peringkat  remaja dengan menyatakan bahawa perkembangan personaliti bergantung kepada kebebasan individu dalam menentukan pilihan mereka sendiri. Ini disebabkan seseorang individu itu bertambah sedar tentang kewujudan dirinya aka perkembangan penghargaan kendiri membolehkannya membina dan mengintegrasikan konsep tentang dirinya. Manakala keluarga adalah salah satu faktor yan mempengaruhi perkembangan konsep kendiri. Konsep kendiri dikatakan bermula dalam persekitaran melalui interaksi yang mesra dan intensif, seseorang individu dapat mementuk konsep tentang dirinya (Law Paw Liew & Mohamad Haji-Yusuf, 1991).

Pada masa kini, pelbagai usaha dilakukan bagi membantu anak-anak yatim dari segi pendidikan, pembelaan, kemudahan tempat tinggal serta pembelajaran yang sempurna di samping bantuan kewangan. Walaupun masa depan mereka banyak bergantung perhatian daripada kerajaan dan masyarakat yang sentiasa peka dengan nasib mereka, namun begitu usaha-usaha yang berkaitan dengan psikologi masih belum mencapai tahap memuaskan.

Pembentukan keluarga penjaga kepada anak-anak yatim yang bahagia memerlukan struktur kekeluargaan yang sihat dan kukuh. Ini bererti semua ahli-ahli dalam keluarga tersebut perlu mempunyai ciri-ciri kualiti hubungan yang positif, bersatupatu, tidak berlaku perbalahan di kalangan ahli keluarga, khususnya ibu bapa penjaga dengan anak-anak yatim. Proses interaksi ini melibatkan persepsi yang mendorong penghasilan tindakbalas. Kualiti perhubungan dapat mewujudkan keharmonian rumahtangga. Keharmonian akan meninggalkan kesan positif  dalam jiwa anak-anak. Jika mereka dibesarkan dalam suasana kacau bilau, suasana sedemikian akan membentuk suatu persepsi yang negatif terhadap kekeluargaan dan konsep kendiri yang negatif. Dengan adanya institusi rumah anak yatim, ianya menjadi tempat anak-anak yatim mendapat perlindungan, penjagaan dan kasih sayang sekaligus ia menjadi ibu bapa kedua selepas kematian ibu bapa mereka. Ia berfungsi menjadi sebuah keluarga bahagia, yang memelihara, mendidik dan mengasuh. Ringkasnya persekitaran atau cara asuhan dan didikan di rumah anak yatim akan mempengaruhi pembentukan personaliti dan konsep kendiri anak yatim.    

Jumaat, 9 Disember 2011

IBU BAPA BERPERANAN DALAM MENGURANGKAN GEJALA SOSIAL

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang menerusi dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng.

Keutuhan institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi ini diibaratkan seperti cerucuk di dalam sesebuah bangunan yang kukuh. Malah, institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen “Rumahku Syurgaku” diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka.

Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang ayah dan ibu.

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin keimanan remaja agar dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka.

Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng pertahanan diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok.

Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan sehingga akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan remaja tidak akan ditulari sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang diri daripada terjerumus dalam kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan negara.

Sabtu, 26 November 2011

KEKELUARGAAN DI ERA GLOBALISASI

Era Globalisasi merupakan fenomena pengucupan ruang dan masa. Pendedahan kepada teknologi maklumat yang meluas menyebabkan manusia berada di dalam ruang dunia yang lebih kecil manakala kecanggihan sistem pengangkutan membolehkan mobiliti manusia dengan mudah dan pantas. Menurut Waters (1995), proses globalisasi telah mendorong masyarakat bergerak bebas dari satu lokasi ke lokasi lain yang merentangi sempadan negara-negara yang berada sangat jauh di antara satu sama lain. Ini bermakna proses globalisasi, dikatakan mampu merapatkan penduduk dunia yang pelbagai bangsa, bahasa dan budaya ke satu arah yang lebih sejagat sifatnya. Pergerakan yang berlaku ini berpunca daripada faktor penghijrahan untuk mencari kehidupan baru, mencari peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik ataupun tujuan-tujuan pelancongan.

 
Globalisasi dikatakan begitu berpengaruh melayari sistem kapitalisme dan seringkali berjaya menerobosi kekangan pemerintah, sempadan negara, budaya dan undang-undang. Malah proses globalisasi juga mampu melewati kawalan demokrasi institusi-institusi di peringkat kerajaan (Panitch 1996). Era globalisasi dikenali sebagai era informasi dan teknologi tetapi ia juga dipanggil sebagai era informasi.


Menurut Mittelman (1996), proses globalisasi membawa modenisasi di negara-negara membangun ke pelusuk yang paling terpencil dan mundur. Kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa tetapi juga anggota masyarakat yang menggunakan barangan dan perkhidmatan import. Proses ini bukan sahaja membentuk satu ruang multi-budaya yang unik tetapi juga menimbulkan banyak gangguan seperti pergolakan sosial, tekanan politik dan kejutan serta konflik budaya.

 
Dari satu aspek, globalisasi telah menyumbangkan penjimatan masa kepada manusia dan kelapangan masa tersebut boleh diisi dengan aktiviti-aktiviti kekeluargaan, tetapi dari satu aspek yang lain penggunaan teknik pengeluaran just - in – time, aplikasi kerja mengikut syif dan tele-cottage dikatakan telah menyebabkan seseorang itu bekerja lebih masa dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama keluarga. (Naisbitt 1982). Waters (1995), seseorang ahli sosiologi telah mengkonsepsikan globalisasi sebagai proses sosial yang mengurangkan pengaruh geografi terhadap susunan sosial dan budaya.

 
Secara umumnya, proses globalisasi boleh mengubah sistem nilai dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat di sesebuah negara atau dunia seluruhnya. Dalam konteks ini, perbincangan akan berdasarkan kepada sejauh manakah globalisasi berupaya mengubah sistem kekeluargaan dan pembangunan sesebuah masyarakat serta kesannya kepada kesejahteraan negara.


Cabaran Wanita Bekerjaya

Seiring dengan matlamat utama Dasar Wanita Negara bagi menjamin perkongsiaan saksama manfaat pembangunan dan mengintegrasikan wanita dalam semua sektor pembangunan negara selaras dengan kemampuan dan kehendak wanita bagi mempertingkatkan mutu kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapus kejahilan dan buta huruf, dan menengakkan negara aman, makmur dan sentosa, maka wanita turut sama terpaksa berhadapan dengan cabaran era globalisasi. Sama ada seseorang wanita itu bekerjaya mahupun tidak, wanita tidak boleh lari dari peranan fitrah kejadiannya iaitu sebagai isteri dan ibu yang merupakan tunjang kepada kebahagiaan sesebuah keluarga:

a).Keluarga merupakan institusi sosial paling asas yang berfungsi menghubungkan individu dalam masyarakat dengan institusi sosial yang lain seperti ekonomi, politik dan pendidikan.

b).Keluarga boleh memainkan tugas penting dalam menentukan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat melalui fungsi sebagai agen pembaikan semula sumber perlindungan, agen sosialisasi, kawalan tingkah-laku, sumber sokongan emosi dan menyediakan status sosial.

c).Proses komunikasi dalam keluarga pula merupakan unsur signifikan yang menentukan perananan-peranan yang boleh dimainkan oleh setiap individu.


Globalisasi telah merangsangkan pertumbuhan syarikat-syarikat transnasional yang turut melibatkan penyertaan kaum wanita dalam arus perdana sistem perekonomian. Penyertaan kaum wanita dalam perkembangan penggunaan tenaga sumber manusia sedikit sebanyak memberi kesan sampingan kepada institusi keluarga yang mana tugas utama wanita tidak lagi hanya setakat menjaga anak dan menguruskan rumahtangga mereka seperti yang dilakukan sebelum ini. Dalam kehidupan moden lazimnya, kebanyakan pasangan suami isteri bekerja dan tugas penjagaan anak telah berubah samada kepada saudara-mara atau kepada pengasuh-pengasuh yang diupah. Keadaan ini telah mengubah peranan dan fungsi keluarga. Globalisasi juga bukan hanya meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam perkembangan perekonomian tetapi juga turut mengubah komposisi keluarga daripada tradisional kepada nuklear. Perubahan dalam proses sosialisasi yang ditinggalkan oleh institusi keluarga berupaya meningkatkan tingkahlaku divian di dalam masyarakat.


Cabaran Terhadap Nilai

Perubahan dalam sistem nilai dan budaya turut memberi kesan kepada institusi keluarga. Proses sosialisasi yang dipengaruhi oleh era global telah merubahkan corak pembelajaran mengenai nilai, norma, tradisi dan kepercayaan sesebuah masyarakat. Perubahan dalam corak perkahwinan samada perkahwinan lewat atau perkahwinan campur, mempunyai saiz keluarga yang kecil dan tinggal jauh dengan sanak-saudara boleh mengancam keseimbangan nilai budaya dan norma kehidupan yang diamalkan oleh masyarakat tersebut. Proses mengadaptasikan nilai dan budaya samada bersifat universal atau global telah menyumbangkan kepada wujudnya masalah penagihan dadah, jenayah remaja dan lepak di negara ini. Budaya universal atau global ini dipengaruhi oleh budaya barat dan penularan budaya barat dalam kehidupan masyarakat di negara-negara membangun banyak dipengaruhi oleh perkembangan media massa, gaya hidup elit, mewah, canggih dan senang yang digambarkan menyebabkan masyarakat kehilangan arah dan tujuan hidup.

 
Pendominasian budaya barat perlu diawasi supaya ianya tidak menelan budaya dan identiti sendiri dan sekaligus meruntuhkan institusi kekeluargaan di negara ini. Hakikatnya, fenomena Europeanisation dan Americanisation semakin berkembang dan berpengaruh di negara-negara membangun termasuklah negara kita. Keadaan ini berlaku selari dengan perkembangan proses globalisasi. Budaya global dilihat sebagai elemen yang menghakis kebudayaan setempat dan sekaligus mewujudkan satu budaya yang bersifat hemogen.


Cabaran ICT

Penggunaan internet dan pelayaran di lebuhraya siber telah mengakseskan pelbagai maklumat dari seluruh pelusuk dunia dengan mudah dan pantas. Perkembangan teknologi ini seolah-olah telah mengecilkan ruang dunia dan dunia seperti tidak mempunyai sebarang rahsia.


Dalam masyarakat tradisional, seseorang individu mengidentifikasikan diri mereka mengikut landasan agama yang diikuti atau bangsa yang menjadi keturunan mereka. Ketaatan kepada kerajaan dan agama adalah ciri yang paling menyerlah dalam mengidentifikasikan diri mereka di peringkat global. Sifat ini telah berubah dalam kehidupan moden kerana sifat-sifat individualistik, materialistik dan kompetatif telah mendominasi dalam corak kehidupan di abad ini. Peranan agama dalam kehidupan telah dipinggirkan kerana pengaruh sekularisme dan budaya pembaratan yang menonjol.


Cabaran Sosial

Globalisasi juga telah mengubah corak perhubungan sosial keluarga dan masyarakat. Perkembangan sistem kapitalisme dan sikap mementingkan keuntungan individu menyebabkan ketiadaan masa untuk mewujudkan hubungan kekeluargaan yang sejahtera. Dalam masyarakat global hubungan yang terjalin adalah lebih kompleks kerana ia melibatkan organisasi yang besar. Ini menyebabkan berlakunya hubungan sosial yang rigid di dalam rangkaan yang sempit untuk menjalinkan hubungan yang mesra. Ia juga dibatasi dengan kekangan yang diwujudkan oleh organisasi atau menurut pandangan Max Weber sebagai birokrasi. Dalam masyarakat moden yang dipengaruhi oleh globalisasi peranan kerajaan didapati tidak begitu berkesan untuk membentuk pemikiran rakyat. Peranan media dan individu yang berkarisma lebih signifikan dalam pembentukan pemikiran.


Pengwujudan masyarakat global seterusnya amalan budaya dan kod etika global boleh mengancam identiti dan budaya sedia ada yang dipegang oleh sesebuah masyarakat. Walaupun amalan budaya dan etika global dianggap memberi kesejahteraan kepada keadilan sosial tetapi dalam masa yang sama ianya boleh meruntuhkan kepelbagaian budaya yang lain yang telah wujud sekian lama dengan uniknya. Amalan budaya global melahirkan masyarakat yang bersikap individualistik, memikirkan manfaat diri sendiri dan kurang berminat mewujudkan hubungan kekeluargaan. Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan mereka kurang memerlukan bantuan orang lain dan lebih berdikari. Hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang apabila komunikasi antara anggota keluarga berkurangan. Dalam hal ini, proses sosialisasi dikatakan berjalan dalam keadaan yang kurang sempurna dan fungsi-fungsi lambat laun boleh musnah. Apabila institusi keluarga dalam masyarakat terancam ia mampu menjejaskan kestabilan hubungan di antara institusi ini dengan institusi-institusi sosial yang lain.


Menangani Era Globalisasi

Walau apapun cabaran yang wujud ekoran tempias globalisasi, peranan wanita sama ada bekerjaya mahupun tidak, hendaklah kembali kepada peranan fitrahnya. Jika tidak, tempias globalisasi boleh menjadi puting beliung kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Wanita sebagai tunjang kepada keluarga perlu kuat, kental dan kukuh agar keluarganya tidak hancur dihempas gelombang era globalisasi ini. Antara persiapan/ persediaan/ benteng pertahanan yang perlu ada antaranya ialah 1.) Ilmu Pengetahuan - informasi; 2). Kemahiran
Rol Model; 3). Pemantauan; 4). Memastikan Matlamat Keluarga Tercapai; 5). Masa Berkualiti; dan 6). Komitmen/ Perihatin/ Kepekaan.

Sabtu, 19 November 2011

KASIH SAYANG ASAS KEBAHAGIAN INTITUSI KELUARGA

Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.

Perkara ini telah di nyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah Ar-rum ayat 21: 

Maksudnya : ”Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan rahmatMu, bahawa dialah yang menciptakan untuk kamu kaum lelaki (isteri-isteri dari jenis kaum kamu sendiri) supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan di jadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”


Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semua jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Ini bererti kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Dengan sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:

Rasulullah SAW bersabda:

" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "

Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”
(H.R. Al-Termizi)


Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.


Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmonis di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:


Pertama, Faktor Kasih Sayang Antara Suami Dan Isteri:

Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).

Allah menegaskan hal ini dalam surah An-nisa ayat 19 yang berbunyi.

Maksudnya : ”Wahai orang2 beriman tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan2 dgn jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali apabila mereka telah melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasa benci dengan mereka di sebabkan dengan tingkahlaku mereka, jgnlah pula kamu terburu-buru menceraikannya kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak bagi kamu.”

Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:

" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "

Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..” (Hadis Riwayat Al-Termizi)


Faktor Kedua Ialah Kasih Sayang Antara Anak-Anak Dengan Ibubapa.

Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang berbunyi:

Maksudnya : ”Dan tuhanmu telah perintahkan supaya tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ”Ahhh...” dan janganlah engkau mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Anak-anak mestilah menunjukkan tanda kesyukuran dan rasa berterima kasih terhadap jasa kedua orang tuanya yang sudah bersusah payah mendidik dan membesarkannya dengan cara sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat kepada kedua ibubapa, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa yang lemah dan uzur. Adalah menjadi kewajipan kepada anak-anak memperuntukkan masa khas untuk memenuhi keperluan ibubapa dari segi makan minum, pakaian, perubatan dan kasih sayang sebagaimana mereka berikan kepada kita sewaktu kita kecil dahulu. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kedua ibubapa kita tidak mampu membalasnya, walau dengan apa pun sumbangan yang kita berikan kepada mereka.

Firman Allah dalam surah Al-Lukman ayat 14:

Maksudnya : ”Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan yang demikian itu, Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibubapamu dan kepadaku jua tempat kembali.”


Oleh itu janganlah kita leka dengan kehidupan dan tugas-tugas seharian sehingga kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi apabila ibubapa kita telah meninggal dunia. Sebagai anak yang soleh maka hendaklah kita selalu berdoa kepada keduanya sebagaimana Firman Allah dalam surah Isra’ ayat 24 yang berbunyi.

Maksudnya : ”Wahai tuhanku ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibubapaku serta kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku semasa aku kecil.”


Faktor Ketiga Yang Dapat Menyuburkan Kasih Sayang Ialah Dengan Adanya Hubungan Kejiranan Yang Baik.

Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing

Ini di jelas oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman:

Maksudnya : ”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”


Sebagai kesimpulannya marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.