Sabtu, 24 Disember 2011

PUSAT PENILAIAN

PENGENALAN
Pusat penilaian (assessment center) bukan merujuk kepada tempat atau kaedah meramal prestasi kerja tunggal menyeluruh. Ia merujuk kepada gabungan teknik penilaian berstruktur yang digunakan bagi menyediakan penilaian menyeluruh dan meliputi pelbagai aspek bagi setiap peserta (Murphy dan Davidshofer, 1998).


Menurut Jaffee dan Cohen (1980) pusat penilaian merupakan satu metod atau teknik pemilihan dan penilaian. Menurut Slevin (1972) pusat penilaian ialah satu proses di mana sebilangan kecil peserta-peserta diperhatikan secara intensif dan dinilai oleh sebilangan penilai-penilai yang terlatih dan berkelayakkan. Penilai-penilai ini terdiri daripada ahli-ahli psikologi dan kakitangan pengurusan organisasi.


Wilson dan Tatge (1973) menambah bahawa pusat penilaian mempunyai beberapa ujian yang mengukur ciri-ciri tertentu yang dirasakan perlu ada pada calon-calon yang memohon sesuatu jawatan. Mackinnon (dalam Wexley dan Yukl, 1977) menyatakan bahawa istilah pusat penilaian merujuk kepada satu metod atau proses off-the-job yang baku dan ia digunakan untuk mengidentifikasikan potensi-potensi pengurusan untuk tujuan pemilihan, penempatan, kenaikan pangkat dan perkembangan personel.


Dalam proses penilaian ini penekanan diberikan terhadap latihan situasi atau latihan yang menyerupai tugas-tugas pengurusan umpamanya management games, leaderless groups dan simulated work samples. Calon-calon akan diperhatikan oleh penilai-penilai yang terlatih. Mereka ini akan membuat penilaian yang tekal terhadap ciri-ciri yang penting untuk kerjaya dalam bidang pengurusan seperti kemahiran kepimpinan, ketegasan, bertolak-ansur, bijak merancang, mampu membuat keputusan yang baik dan mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan orang lain. Metod atau cara ini menekankan penggunaan metod penilaian yang berbagai serta pemerhatian tingkah laku dalam situasi simulasi.


SEJARAH AWAL PUSAT PENILAIAN
Menurut dakwaan orang-orang Jerman, perkembangan awal penggunaan pusat penilaian adalah satu teknik pemilihan yang bermula apabila teknik ini digunakan untuk memilih agen-agen sewaktu perang dunia pertama. Sebelum pusat penilaian ia dikenali sebagai “Situational testing” yang telah dibentuk untuk kegunaan angkatan tentera Jerman pada tahun 1920-an untuk memilih pegawai yang berkualiti tinggi.


Pusat penilaian digunakan buat kali pertama secara meluas di Amerika syarikat oleh ahli psikologi semasa perang dunia kedua dan diterapkan oleh Office of Strategic Services (OSS) yang telah mendahului penggunaannya daripada Central Intelligence Agency (CIA).


Penggunaan pusat penilaian dalam bidang industri pula telah dipelopori oleh American Telephone and Telegraph Company (AT&T) dalam tahun 1950-an. Ia kemudiannya diikuti lebih 2000 organisasi seperti International Business Machines (IBM), Standard Oil of Ohio (SOHIO), Ford dan Kodak. Pusat penilaian telah digunakan juga di seluruh dunia seperti Britain, Australia, Brazil, China, Jepun dan sebagainya.


Dalam satu sesi pusat penilaian ia melibatkan 6 hingga 12 orang calon pada suatu masa di mana mereka akan dinilai melalui beberapa siri latihan dan ujian dalam tempoh beberapa hari yang ditentukan.


FUNGSI PUSAT PENILAIAN
Steiner (1975) telah memberikan beberapa kegunaan pusat penilaian ini, di antaranya ialah;


1. Ia membantu organisasi membuat keputusan pemilihan dengan menyediakan satu mekanisma yang mengidentifikasikan serta menentukan secara objektif, calon-calon yang berpontensi untuk berjaya dalam bidang pengurusan.


2. Pusat penilaian ini berkhidmat sebagai satu cara untuk mengidentifikasi dan mengembangkan strategi-strategi pembaikan eksekutif secara individu. Dengan menumpukan perhatian terhadap sifat-sifat dan ciri-ciri yang berkaitan dengan fungsi-fungsi pengurusan, pusat penilaian akan dapat menentukan kelemahan dan kekuatan individu. Dengan cara ini, rancangan kemajuan kerjaya personel yang baik dapat dimajukan.


3. Pusat penilaian boleh digunakan sebagai alat latihan. Kajian-kajian menunjukkan bahawa peserta-peserta menganggap proses penilaian ini sebagai pengalaman belajar. Ini memanglah lojik kerana kebanyakan bahan penilaian dan teknik adalah berteraskan metod-metod latihan yang telah dikaji.


4. Pusat penilaian mempunyai kesan yang positif terhadap motivasi, morale dan harapan calon-calon. Calon-calon menganggap pusat penilaian adil dan objektif terhadap kebolehan mereka.


5. Pusat penilaian boleh digunakan sebagai satu teknik penilaian eksekutif atau lain-lain rancangan latihan.

Tiada ulasan: