Rabu, 22 Jun 2011

ETIKA KERJA ISLAM

Islam menuntut setiap manusia bekerja, berusaha mencari rezeki bagi menyara dirinya, keluarganya dan juga yang ibubapanya tua. Di samping itu Islam juga menyatakan bahawa sesuatu “KERJA” yang halal ialah tugas yang diamanahkan oleh Allah kepada seseorang insan. Maka apabila seseorang itu menjalankan tugasnya ataupun bekerja, dengan sendirinya bererti, bahawa insan tersebut sedang menunaikan amanah Allah.

Dengan kata-kata lain hamba Allah itu beribadat. Menurut Islam setiap kerja yang diredhai oleh Allah dan disertai dengan niat adalah ibadat. Oleh demikian setiap insan hendaklah menyedari dan menghayati bahawa setiap kegiatannya menjalankan kerja yang halal adalah wajib baginya dan kegiatannya itu sekiranya dimulai dengan niat, hendaklah dianggap sebagai ibadat. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah” (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Mencari kerja yang halal itu adalah fardhu selepas fardhu” (Riwayat Al-Baihaqi). Kita hendaklah juga mengetahui bahawa setiap tugas atau kerja yang diberi oleh Allah kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan orang yang berkenaan seperti yang ternyata di dalam firman Allah yang bermaksud : “Allah tidak membebani seseorang hamba melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya” (Al-Baqarah : Ayat 286). Ayat ini menegaskan bahawa tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Dengan sendirinya ayat itu jua menekankan bahawa seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Menurut ajaran Islam setiap kegiatan kita di dunia ini akan diperhitungkan di akhirat nanti sebagaimana ternyata di dalam firman Allah yang bermaksud :
“Tiap-tiap diri kamu bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya” (Al-Muddathsir : Ayat 38). Ini bererti  sekiranya kita tidak menunaikan kerja kita dengan sewajarnya, seperti kita mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya maka semestinyalah kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun kita mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib ataupun hukuman di dunia ini. Sebaliknya berbahagialah kita di dunia dan di akhirat sekiranya kita melaksanakan tugas kita dengan sewajarnya menurut tuntutan Islam.

Jelaslah bahawa menurut ajaran Islam, setiap manusia wajib mempunyai kerja. Islam benci kepada pengemis dan penganggur. Seseorang pekerja mestilah melaksanakan tugasnya dengan sebaik-baiknya kerana Allah telah menegaskan bahawa setiap pekerja itu berupaya dan mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya. Samada seseorang pekerja itu dapat menunaikan tugasnya dengan baik atau tidak hanyalah bergantung kepada sikap pekerja itu sendiri. Setiap kegiatan pekerja itu akan menerima ganjaran yang sewajarnya di akhirat nanti. Berasaskan perbincangan ini etika kerja dalam Islam adalah seperti berikut ;

1.         Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah
2.         Bekerja dengan ikhlas dan amanah
3.         Bekerja dengan tekun dan cekap
4.         Bekerja dengan semangat gotong-royong dan berpadu fikiran
5.         Bekerja dengan matlamat kebahagiaan manusia sejagat

1.         Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah
Dengan menyedari dan menghayati bahawa manusia adalah hamba Allah, maka sewajarnyalah setiap manusia mengabdikan dirinya kepada Allah, dengan mengikuti segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya selaras dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah : Ayat 21).

            Firman Allah lagi yang maksudnya adalah seperti berikut : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada orang yang berkuasa dari kalangan kamu” (An-Nisaa’ : Ayat 59). Ayat ini menyuruh kita taat bukan sahaja kepada Allah tetapi juga kepada Rasulullah S.A.W. dan kerajaan kerana kerajaan itulah yang dimaksudkan dengan ‘‘orang yang berkuasa dari kalangan kamu’’. Bagi mentaati Allah dan Rasulullah S.A.W. maka setiap manusia hendaklah mempunyai kerja yang halal. Bagi mentaati kerajaan pula setiap pekerja awam hendaklah menjalankan tugasnya dengan sepenuh kesedaran bahawa jawatannya itu adalah amanah Allah kepadanya. Sekiranya ia tidak menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya maka bererti pekerja tersebut telah pecah amanah kepada Allah. Sanggupkah kita yang mengakui bahawa kita ini hamba Allah, melakukan pecah amanah kepada Allah?

Seseorang pekerja hendaklah menyedari dan menghayati bahawa bekerja mencari nafkah yang dimulai dengan niat itu adalah ibadat. Bekerja itu bererti beribadat maka sewajarnyalah bagi setiap pekerja berusaha menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak.

2.         Bekerja Dengan Ikhlas Dan Amanah
Bekerja dengan ikhlas bererti bekerja dengan sepenuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredhaan Allah. Setiap pekerja harus menyedari bahawa jawatan yang di pegangnya adalah hasil permohonannya sendiri dan bukanlah ia dipaksa memenuhi jawatan tersebut. Maka dengan sendirinya wajarlah seseorang pekerja itu menjalankan tugasnya dengan sepenuh kerelaan apatahlagi dengan kesedaran bahawa kerja yang dilaksanakan olehnya itu adalah suatu amal soleh dalam usahanya mengabdikan diri kepada Penciptanya di samping berusaha untuk menyara dirin dan keluarganya yang dikasihi dan berkhidmat kepada masyarakat.

Setiap insan mestilah bersyukur kepada Allah kerana rahmat-Nya kepada kita yang tidak terhitung banyaknya dan satu daripadanya ialah jawatan yang kita sandangi ini. Kesyukuran kita seharusnya memuncak lagi sekiranya kita menginsafi bahawa banyak lagi manusia lain yang masih menganggur dan tidak dapat menyara keluarganya dengan sewajarnya. Kita juga hendaklah bersyukur kerana dengan jawatan atau kerja ini, kita dapat mengikut serta menyumbangkan tenaga di dalam usaha membangunkan negara kita yang tercinta. Moga-moga tercapailah cita-cita suci kita untuk membangunkan suatu negara yang direhdai Allah seperti firmanNya : “Negara yang makmur serta mendapat keampunan Tuhan” (Saba’ : Ayat 15). Sekiranya kita dapat menghayati dan mensyukuri segala rahmat Allah itu, insya Allah kita akan dapat menunaikan tugas kita dengan ikhlas. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia” (Riwayat Al-Quda’).

Pekerja berjanji akan menunaikan tugasnya dan majikan pula berjanji akan membayar gaji yang tertentu setiap bulan. Oleh demikian sewajarnyalah kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan memenuhi perjanjian tersebut. Sekiranya seseorang pekerja itu tidak menunaikan tugasnya dengan sewajarnya tetapi sanggup menerima gajinya dengan sepenuhnya maka pekerja tersebut bolehlah dianggap sebagai seorang yang menipu dan telah memecahkan janjinya. Dengan sendirinya pekerja itu telah mengingkari perintah Allah kerana Allah telah berfirman dengan maksudnya :
“Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah janjimu” (Al-Maidah : Ayat 1). Hadith Rasulullah S.A.W. juga menegaskan dengan maksud : “Sesiapa menipu, bukanlah ia dari golongan kami” (Riwayat Muslim). Pepatah melayu pula mengatakan : “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Pepatah ini membayangkan bahawa manusia yang menipu itu adalah lebih hina daripada kerbau.

3.         Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap
Ketekunan adalah suatu sifat yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing menjalankan tugas sekiranya mereka tekun, insya Allah. Rasulullah S.A.W. bersabda dengan maksud :
“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun” (Riwayat Al-Baihaqi). Pepatah Melayu pula mengatakan : “Belakang parang pun kalaulah diasah, nescaya menjadi tajam”. Pepatah ini menunjukkan bahawa dengan ketekunan, sesuatu kerja yang susah itu akan dapat diatasi insya Allah dan dengan sendirinya meningkatkan kecekapan seseorang pekerja itu.

Apabila kita hendak menilai seseorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapannya. Mutu kecekapan seseorang itu akan terus meningkat jika pekerja itu sanggup belajar atau menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan tugasnya terus menerus. Ajaran Islam ada menegaskan : “Tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”. Di dalam bidang sains dan teknologi khususnya, menuntut ilmu sepanjang hayat menjadi suatu perkara yang penting sekiranya kita tidak mahu ketinggalan zaman, kerana terlalu pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan di dalam kedua-dua bidang itu.

Hadith Rasulullah S.A.W. menyatakan, berkaitan dengan pekerja dengan maksud seperti berikut : “Apabila sesuatu urusan (pekerjaan) diberikan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran.” Hadith ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya keahlian ataupun kecekapan seseorang pekerja menurut pandangan Islam. Sekiranya kecekapan seseorang pekerja itu meningkat maka dengan sendirinya hasil kerjanya juga turut meningkat.

4.         Bekerja Dengan Semangat Gotong-Royong Dan Berpadu Fikiran
Di dalam perkhidmatan awam bahkan di dalam sebarang perkhidmatan, seseorang pekerja itu bertugas dengan suatu kumpulan pekerja yang tertentu. Dengan sendirinya untuk menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang sesuatu kumpulan pekerja itu mestilah bekerjasama, bergotong-royong melaksanakan tugas masing-masing. Sikap bantu membantu di antara satu sama lain di antara pekerja, akan menimbulkan suasana bekerja yang aman dan gembira. Suasana yang demikian pula akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan setiap pekerja.

Allah menegaskan didalam firmanNya dengan maksud : “Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan (Al-Ma’idah : Ayat 2). Semangat bergotong-royong adalah suatu ciri kebudayaan negara ini yang semestinya dipupuk terus dan disuburkan semula. Bagai kata pepatah kita : “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”. Di samping kita bergotong-royong menjalankan tugas, kita juga hendaklah menggalakkan perbincangan sesama sendiri, bertukar fikiran, untuk mengkaji masalah yang ada dan juga untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul. Perbincangan seperti ini akan meningkatkan rasa kekitaan di antara pekerja dan dengan sendirinya pula meningkatkan rasa tanggungjawab bersama terhadap sebarang kegiatan kumpulan pekerja yang berkenaan. Rasa keenakan berpadu tenaga dan berpadu fikiran ini telah dinikmati oleh datuk nenek kita dahulu dan rasa indah itu telah diabadikan oleh mereka dengan pepatah : “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Allah juga memerintahkan manusia menyelesaikan sekalian masalah mereka dengan perbincangan atau bermesyuarat seperti firmanNya : “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka” (Asy-Syuraa : Ayat 38).

5.         Bekerja Dengan Matlamat Kebahagiaan Manusia Sejagat
Islam adalah agama untuk manusia sejagat. Dengan itu ajaran Islam (berpunca daripada Al-Quran dan hadis) juga adalah untuk manusia seluruhnya. Maka etika kerja kelima ini adalah wajar, kerana maju mundurnya pembangunan negara Malaysia ini akan memberi kesan jua kepada negara lain di dunia. Namun demikian patut dikemukakan di sini firman Allah yang bermaksud : “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)” (Al-Baqarah :  Ayat 256). Juga firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan" (Al-Maidah : Ayat 8). Ayat yang pertama di atas menjelaskan bahawa walaupun Islam itu ialah agama untuk semua manusia tetapi orang yang tidak menganuti Islam tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam. Ayat yang kedua pula melarang kita daripada berlaku tidak adil terhadap sesuatu kaum walaupun kita benci kepada kaum tersebut.

Kedua-dua ayat tersebut memberi pengertian bahawa setiap pekerja hendaklah memberi layanan dan khidmat yang sama kepada semua orang tanpa mengira kaum ataupun agama orang yang berkaitan, menurut ajaran Islam. Di samping itu, sewajarnya kita berusaha menurut ajaran hadith yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang tiada menyukar-nyukarkan pekerjaan dan yang jernih mukanya dalam menghadapi manusia" (Riwayat Al-Baihaqi).

Kesimpulan
Sebagai sebuah negara yang mengakui di dalam perlembagaan bahawa Islam itu ialah agama rasminya, Malaysia sudah semestinya terus menerus meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai Islam di dalam setiap bidang kegiatan kerajaan. Namun demikian oleh kerana segala kegiatan kerajaan itu melibatkan manusia maka sewajarnya setiap pekerja (termasuk pekerja Badan-Badan Berkanun) diberi bimbingan khusus dari semasa ke semasa untuk melengkapkan mereka sebagai pekerja yang akan melaksanakan tugasnya selaras dengan ajaran Islam. Dari pihak pekerja sendiri, mereka hendaklah sentiasa sedar dan berusaha untuk menunaikan tugas mereka menurut ajaran Islam, ajaran yang mementingkan kebahagiaan umat manusia sejagat. Wajarlah bagi setiap pekerja menghayati firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari pada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari  jalan Allah” (Al-An’am : Ayat 153)

Selasa, 21 Jun 2011

RENUNGAN MINDA

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul bersama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (berteka-teki dengan muridnya). Dialog-dialog mereka;

Imam Al-Ghazali  : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 : Orang tua
Murid 2 : Guru
Murid 3 : Teman
Murid 4 : Kaum Kerabat
Imam Al-Ghazali : Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran : Ayat 185).

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1 : Negera Cina
Murid 2 : Bulan
Murid 3 : Matahari
Murid 4 : Bintang-bintang
Iman Al-Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling besar didunia ini ?
Murid 1 : Gunung
Murid 2 : Matahari
Murid 3 : Bumi
Imam Al-Ghazali : Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf : Ayat 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.


Imam Al-Ghazali : Apa yang paling berat didunia?
Murid 1 : Baja
Murid 2 : Besi
Murid 3 : Gajah  
Imam Al-Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Ahzab : Ayat 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah Subahanahuwataala (SWT) meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?
Murid 1 : Kapas
Murid 2 : Angin
Murid 3 : Debu
Murid 4 : Daun-daun
Imam Al-Ghazali : Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT . Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.

Imam Al-Ghazali : Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?
Murid-murid dengan serentak menjawab : Pedang
Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Selasa, 14 Jun 2011

SEKADAR RENUNGAN

Seorang hamba Allah telah pergi bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia asyik menghirup udara rimba yang segar itu, tiba-tiba dia terdengar satu bunyi. Bunyi ngauman harimau yang kelaparan dan hanya menunggu mangsanya sahaja.

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu terus mengejar hamba Allah itu kerana terlalu lapar sangat. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan matanya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek sahaja. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yang lapar itu sedang menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah beliau sedang berfikir macam mane nak selamat, tiba-tiba terdengar bunyi kocakan air di bawah perigi.

Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yang kelaparan. Apalah nasib, dah jatuh ditimpa tangga. Lagilah takut si hamba Allah ni. Dipermukaan perigi ada harimau, di bawahnya ada buaya. Si hamba Allah semakin risau dan takut.

 Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tiba-tiba keluar seekor tikus putih dari lubang di celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yang hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas, tikus itu mengigit tali itu. Cis, kurang ajar punya tikus. Selepas itu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, sampai kat atas.Tikus hitam ini juga mengigit juga tali itu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni, habislah jadi mangsa buaya.

Si hamba Allah berfikir lagi. Kalau naik ke atas, kena makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah kena makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir macam mane nak selamatkan dirinya, tiba-tiba terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu. .. Bunyi lebah sedang membawa madu.

Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang membawa madu. Tiba-tiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata.
Hamba Allah tu kata, 'Fuh manisnya madu ni, tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni.' kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yang sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.

Kalau  semua nak tahu, si hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, jadi beringat-ingatlah. Dua ekor buaya itu adalah malaikat Munkar dan Nakir yang menanti kita di alam kubur nanti. Tali yang tempat hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.

Tikus Putih dan Hitam itu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita (sepertimana tikus mengigit tali.
Madu yang jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu itu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya, seperti kitalah apabila mendapat nikmat sedikit lupa pada Allah. Waktu susah barulah hendak mengingati Allah. Astaghfirullah………..

10 WASIAT IMAM HASSAN AL-BANNA

1)         WAHAI KAWANKU,
Segeralah tunaikan solat di awal waktu
Dikala mendengar azan
Usahakanlah semampu terdaya.
Ini membuktikan kesungguhan anda.
Di situ ada sumber kejayaan
Di situ ada sumber pertolongan
Di situ ada sumber taufiq
Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran…
Dimulakan dengan menyebut solat di awalnya
Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat...
Juga di medan perang. Walaupun...
Di saat genting dan cemas.

2)         WAHAI KAWANKU,
Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya
Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit
Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan
Sesungguhnya al-Quran adalah
sumber asli lautan ilmu
Sumber hidayah kepada anda dan saya
Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.
Sentiasalah membaca, menghafal dan...
Cuba hayati mesej arahannya.
Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!!
Di sini ada ketenteraman
Di sini ada kedamaian
Di sini ada kesalaman
Jadilah hamba yang sejahtera.
 
3)         WAHAI KAWANKU,
Dorongkanlah diri untuk menguasai
Bahasa al-Quran
Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan
Sebenarnya anda telah lama bermula
Iaitu sejak anda solat setiap hari
Sebut dulu walaupun tak faham.
Antara mala petaka pertama menimpa umat kita...
Ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya.
Juga mengutamakan bahasa pasar,
Ayuh !!! Apa tunggu lagi??????
Bukalah ruang walaupun seminit !!!

4)         WAHAI KAWANKU,
Usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!!
Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan
Awasilah pertengkaran
Kerana di sana ada unsur lain membisikkan?
Syaitan namanya….

5)         WAHAI KAWANKU,
Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa !!!
Rasulullah s.a.w adalah
yang paling banyak senyum
Beliau ketawa kena pada tempatnya
Tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan !
Plato juga berharap agar pementasan hiburan...
Yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh
Hanyalah disaksikan oleh golongan abdi
Dan orang upahan asing!
Begitu juga Aristotle berpendapat
Supaya golongan belia ditegah daripada
menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa
berlebih-lebihan. supaya tidak menular.
Keburukan dalam diri!!!

6)         WAHAI KAWANKU,
Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan
Tanpa serius, hilanglah kesungguhan !!!
Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan
Kata seorang penyair :
Berikan kerehatan pada jiwamu
Yang sibuk dengan berfikir
Ubati dengan bergurau
Tapi,
Kalau mengubatinya dengan bergurau
Mestilah dalam batas
Seperti kau masukkan garam
ke dalam gulai.

7)         WAHAI KAWANKU,
Kawallah nada suaramu
Setakat yang diperlukan
oleh pendengar di depanmu
Janganlah jadi seperti orang bodoh.
Bahkan menyakit hati orang lain pula!!!
Luqman Al-Hakim juga
mencela orang yang tidak pandai
menjaga nada suara pada tempatnya.
Itulah katanya suara keldai!!!
Surah al-Isra' memberi tip kepada kita...
Jangan keraskan suramu dalam solat
Tapi jangan pula merendahkannya
Carilah jalan tengah di antara keduanya.

8)         WAHAI KAWANKU,
Usahlah umpat mengumpat
Usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain
Bercakaplah jika ada unsur kebajikan
Ayuh!!! Hindarilah mengumpat!
Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain!!!
Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.
Sukakah anda memakan daging pasti anda suka!! Tapi sukakah anda memakan
daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!!
Begitulah dosa orang yang mengumpat.
Bertaubatlah jika anda mengumpat
Tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!!
Boleh mengumpat... apabila ada tujuan syarie.
* untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
* untuk menghapuskan kemungkaran
* kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
* kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

9)         WAHAI KAWANKU,
Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia,
Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian!!!
Salam kasih sayang adalah untuk semua
Salam kemesraan adalah untuk sejagat.
Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan.. .!
Lihatlah pensyariatan ibadah haji.
Pelbagai bangsa datang berkunjung!! !
Pelbagai lapisan datang berkunjung!! !
Pelbagai darjat datang berkunjung!! !
Sama-sama menjunjung obor suci
Tidak mengenali tapi tak sepi.

10)      WAHAI KAWANKU,
Maksimumkanlah faedah waktu anda dan
Tolonglah orang lain
supaya manfaatkan masa.
Hadkanlah masa penunaiannya.
Biasakan hidup berjadual di hadapan.
Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda!
Bersegeralah, kerana...
Sabda Nabi s.a.w bermaksud :
"Bertindak segeralah melakukan amal..."
(Diulang 7 kali..)
Sayanglah masa saudaramu!!!
Hormatilah waktu mereka!!!
Usahlah berbicara meleret-leret. ..
Tanpa haluan dan noktahnya

JANGAN SIMPAN PERASAAN BENCI

Maryam, guru kelas tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

 Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Cikgu Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa. "Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci. Moralnya, jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Seperti pisang yang makin membusuk, begitu juga hati manusia.

NILAI DAN HARGA DIRI : BERGANTUNG BAGAIMANA KITA MENILAINYA

Sebelum memulakan ceramah, Prof. Dr. Kamal mengeluarkan sehelai wang kertas bernilai RM 50.00 dari dompetnya. Kemudian wang itu ditayangkan kepada 50 orang pesertanya.

"Siapa nak duit ni?" tanya Prof. Dr. Kamal. Semua peserta mengangkat tangan."Saya akan berikan duit ini kepada salah seorang daripada kamu, tapi izinkan saya membuat sesuatu dahulu". Prof. Dr. Kamal meramas-ramas duit itu hingga renyuk.

Kemudian dia menunjukkan duit yang sudah renyuk itu dan bertanya: "Ada sesiapa yang nak duit ini lagi?" Hampir semua pesertanya mengangkat tangan. Prof. Dr. Kamal mengangguk dan mencebikkan bibir.

"Okey apa kata kalau saya buat macam ni?" Duit RM 50.00 itu dicampakkan dan di tenyeh-tenyeh dengan kasutnya. Prof. Dr. Kamal memungutnya semula lalu diletakkan di atas meja. Wang kertas itu bukan sahaja renyuk tetapi juga kotor. "Sekarang siapa nak duit ni?" tanya Prof. Dr. Kamal. Selesai dia bertanya, lebih separuh daripada jumlah pesertanya masih mengangkat tangan.

"Okay, apa yang boleh kita kutip daripada peristiwa itu tadi?" tanya Prof. Dr. Kamal lagi. Pesertanya hanya diam, dan sesetengahnya hanya menggelengkan kepala. Mereka masih tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Prof. Dr. Kamal.

"Walau apapun yang saya lakukan pada duit ini, kamu tetap akan mahukannya. Betul tak? Kamu tahu kenapa? Kerana nilainya tidak berubah walaupun dipijak dan ditenyeh dengan kasut. "RM 50.00 tetap RM 50.00 walaupun 10 kali dipijak." kata Prof. Dr. Kamal. Semua peserta yang mendengar kata-katanya hanya tersenyum.

Prof. Dr. Kamal mengaitkan peristiwa itu dengan kehidupan seharian. Sering kali di dalam hidup, setiap orang akan merasai kejatuhan, hati hancur, ataupun dihina. Hinggakan suatu ketika kita akan merasa diri kita tidak berguna langsung.

"Tetapi walau apapun yang telah terjadi, ataupun yang akan terjadi, anda tidak akan hilang harga diri. Bersih atau kotor, renyuk atau licin, anda tetap berharga terutama pada mereka yang disayangi”. "Harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarya kita?" jelas Prof. Dr. Kamal.

Semua peserta ternganga mendengar penerangan profesor itu dan mereka lantas mengiyakan kebenaran kata-kata profesor itu. Moralnya di sini, harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarya diri kita. Kita sendiri yang menilai diri kita dan itulah nilainya.