Selasa, 14 Jun 2011

NILAI DAN HARGA DIRI : BERGANTUNG BAGAIMANA KITA MENILAINYA

Sebelum memulakan ceramah, Prof. Dr. Kamal mengeluarkan sehelai wang kertas bernilai RM 50.00 dari dompetnya. Kemudian wang itu ditayangkan kepada 50 orang pesertanya.

"Siapa nak duit ni?" tanya Prof. Dr. Kamal. Semua peserta mengangkat tangan."Saya akan berikan duit ini kepada salah seorang daripada kamu, tapi izinkan saya membuat sesuatu dahulu". Prof. Dr. Kamal meramas-ramas duit itu hingga renyuk.

Kemudian dia menunjukkan duit yang sudah renyuk itu dan bertanya: "Ada sesiapa yang nak duit ini lagi?" Hampir semua pesertanya mengangkat tangan. Prof. Dr. Kamal mengangguk dan mencebikkan bibir.

"Okey apa kata kalau saya buat macam ni?" Duit RM 50.00 itu dicampakkan dan di tenyeh-tenyeh dengan kasutnya. Prof. Dr. Kamal memungutnya semula lalu diletakkan di atas meja. Wang kertas itu bukan sahaja renyuk tetapi juga kotor. "Sekarang siapa nak duit ni?" tanya Prof. Dr. Kamal. Selesai dia bertanya, lebih separuh daripada jumlah pesertanya masih mengangkat tangan.

"Okay, apa yang boleh kita kutip daripada peristiwa itu tadi?" tanya Prof. Dr. Kamal lagi. Pesertanya hanya diam, dan sesetengahnya hanya menggelengkan kepala. Mereka masih tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Prof. Dr. Kamal.

"Walau apapun yang saya lakukan pada duit ini, kamu tetap akan mahukannya. Betul tak? Kamu tahu kenapa? Kerana nilainya tidak berubah walaupun dipijak dan ditenyeh dengan kasut. "RM 50.00 tetap RM 50.00 walaupun 10 kali dipijak." kata Prof. Dr. Kamal. Semua peserta yang mendengar kata-katanya hanya tersenyum.

Prof. Dr. Kamal mengaitkan peristiwa itu dengan kehidupan seharian. Sering kali di dalam hidup, setiap orang akan merasai kejatuhan, hati hancur, ataupun dihina. Hinggakan suatu ketika kita akan merasa diri kita tidak berguna langsung.

"Tetapi walau apapun yang telah terjadi, ataupun yang akan terjadi, anda tidak akan hilang harga diri. Bersih atau kotor, renyuk atau licin, anda tetap berharga terutama pada mereka yang disayangi”. "Harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarya kita?" jelas Prof. Dr. Kamal.

Semua peserta ternganga mendengar penerangan profesor itu dan mereka lantas mengiyakan kebenaran kata-kata profesor itu. Moralnya di sini, harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarya diri kita. Kita sendiri yang menilai diri kita dan itulah nilainya.

Tiada ulasan: