Memaparkan catatan dengan label Artikel; Ujian Psikologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel; Ujian Psikologi. Papar semua catatan

Rabu, 12 Disember 2012

KESUKARAN DALAM PENILAIAN PERKAHWINAN DAN KELUARGA


Agak sukar dalam membuat penilaian ke atas keluarga memandangkan setiap ahli keluarga adalah bersifat unik dan tidak dapat dikuantitatifkan. Dengan membuat andaian, terapis dapat mengenalpasti dinamik atau karekteristik sesebuah keluarga, bagaimana kita menentukan permasalahan sekiranya sesebuah keluarga yang berfungsi secara lengkap mempunyai seorang ahli keluarga yang tidak berfungsi (dysfunctional). Sebagai contoh, kohesi keluarga dan penentuan jumlah kohesi dilihat sebagai sesuai. Tetapi tidak semua ahli teori keluarga dapat membuktikan tahap rendah kohesi keluarga adalah tidak baik manakala tahap tinggi kohesi keluarga sebagai nilai positif dalam sesebuah keluarga. 



Model Circumplex Olson (Olson dan DeFrain, 2002) mencadangkan kohesi perlu dilihat dari perspektif curvilinear di mana kedua-dua yang mempunyai sedikit kohesi dan banyak kohesi adalah bermasalah (problematic). Kesukaran dalam menentukan kefungsian keluarga semakin sukar sekiranya elemen budaya diambil kira. Perbezaan budaya setiap masyarakat membentuk nilai sesebuah keluarga. Sebagai contoh, tidak semua budaya dapat menerima secara positif amalan berpoligami dalam keluarga. 



Penilaian keluarga merupakan terma yang sangat luas bagi kaunselor yang inginkan kepelbagaian maklumat bergantung kepada masalah dan isu keluarga. Sebagai contoh, alat untuk tapisan (screening) untuk menentukan sekiranya kaunseling keluarga memerlukan kesesuaian modaliti mungkin berbeza daripada alat ujian dalam mengenalpasti masalah yang berkaitan dalam pasangan suami isteri. Oleh itu, ia tidak memberikan satu fokus sahaja dalam penilaian keluarga, sebaliknya fokus itu mungkin kepada kepuasan pasangan, kenal pasti bentuk komunikasi, persepsi persekitaran keluarga, perlakuan laporan kendiri (self-report), analisa hubungan, mengenalpasti masalah, atau kepelbagaian aspek permasalahan keluarga. Penilaian keluarga adalah berbeza untuk setiap keluarga yang berlainan.



Masalah yang lain berhubung dengan penilaian keluarga ialah pembolehubah yang dinilai adalah tidak stabil dibandingkan dengan tret atau karekteristik individu, Sebagai contoh, bagaimana kita dapat mengenalpasti dinamika keluarga dengan melihat kepada pembolehubah dalam tahap kepuasan pasangan mungkin dilihat apabila mereka menikmati makan malam di restauran eksklusif ataupun baru sahaja selesai melunaskan semua pinjaman pelajaran.



Carter dan McGoldrick (1998) menyatakan bahawa, keluarga melalui tahap perkembangan dalam kitaran hidup. Setiap pasangan berhadapan dengan isu yang berlainan untuk 4 bulan pertama perkahwinan dan isu ini akan berbeza bagi usia perkahwinan 21 tahun dan mempunyai 2 orang anak remaja. Selain itu, secara tekniknya, individu dalam kumpulan yang sama mungkin berada di tahap perkembangan yang berbeza. Sebagai contoh, pasangan pengantin baru ada yang berusia 17 tahun dan ada juga pasangan yang berusia menjangkau lewat 30-an. Oleh itu, proses penilaian perlu mengambil kira tahap perkembangan atau tahap kedua-dua keluarga dan ahli dalam keluarga berkenaan.



Isu lain yang berkaitan dengan permasalah penilaian keluarga ialah penskoran (pemarkatan). Menginterprestasi keputusan daripada kepelbagaian perspektif keluarga lebih sukar berbanding dengan menginterprestasi keputusan klien individu. Masalah yang lain ialah berhubung dengan isu kerahsiaan keputusan penilaian keluarga dalam mengumpul maklumat. Kadang-kadang masalah wujud apabila ahli keluarga ingin mengakses keputusan setiap ahli. Sebagai contoh, anak mungkin akan enggan untuk menyampaikan sesetengah maklumat sekiranya ibubapanya hendak melihat keputusan penilaian. Oleh itu, kaunselor perlulah bijak dalam menggunakan maklumat penilaian dan menentukan siapakah yang berhak untuk mengakses keputusan penilaian.



Masalah lain dalam penilaian keluarga ialah penormaan sampel memakan masa yang agak panjang. Perekabentuk alat ujian perlulah mengakses keseluruhan ahli keluarga walaupun mendapatkan maklumat daripada setiap ahli keluarga adalah kompleks dan sukar. Selain itu, nilai budaya setiap keluarga perlulah diambil kira sebelum alat penilaian atau pengujian dibangunkan. Nilai budaya memberi kesan yang besar dalam menentukan corak kefungsian sesebuah keluarga. Oleh itu, agak sukar bagi kita untuk menilai sebuah keluarga yang berhijrah dari Amerika Syarikat ke Malaysia, di mana nilai dan etika budaya masyarakat setempat berbeza dengan nilai budaya masyarakat orang kulit putih di Amerika.

Sabtu, 26 November 2011

INVENTORI PSIKOLOGI BOLEH MENERANGKAN TENTANG PRESTASI DAN TINGKAH LAKU INDIVIDU

Ujian psikologi secara amnya boleh didefinisikan sebagai aplikasi prosedur yang sistematik dalam usaha meninjau dan menerangkan tingkah laku dengan menggunakan skala numerik atau kategori-kategori tertentu (Cronbach, 1990). Kaplan dan Sacuzzo (1989) pula mendefinisikan ujian psikologi sebagai “satu set item yang direkabentuk untuk mengukur ciri-ciri manusia yang berhubung dengan tingkah laku”. Guion , 1965 dlm. Hamidah Hj. Abd. Ghani (1982) mensifatkan ujian sebagai pembolehubah peramal kerana ianya mengukur sifat yang ada hubungan dengan prestasi pekerjaan. Menurut Hull (1928) ujian psikologi adalah pengukuran beberapa peringkat tingkah laku individu yang dipilih dengan teliti.


Menurut Murphy dan Davidshofer (1998) sehingga kini terdapat lebih 1,000 ujian psikologi yang direkabentuk dan diterbitkan di negara barat bagi menilai pelbagai aspek psikologi, daripada inventori personaliti hinggalah kepada ujian kepintaran skor kendiri, daripada ujian pengamatan hinggalah kepada ujian bagi menilai pelbagai kemahiran kognitif. Tujuan utama ujian psikologi ini diadakan untuk membandingkan tingkah laku dua atau lebih pemohon. Lawshe dan Balma (1966) telah mengutarakan tiga tujuan utama ujian psikologi dijalankan untuk menilai kecekapan, iaitu ujian yang berhubung dengan pengetahuan serta kemahiran individu, untuk menilai prestasi pekerjaan yang cekap mengandungi soalan yang ada hubungan dengan keupayaan yang dikehendaki bagi prestasi kerja yang baik.


Lender (1965) menyatakan bahawa ujian psikologi ialah salah satu daripada teknik pemilihan kakitangan yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai diri pemohon. French (1961) berpendapat bahawa penggunaan ujian psikologi mempunyai tiga fungsi, iaitu memilih pekerja baru, menilai pekerja untuk tujuan kenaikan pangkat dan memberi khidmat nasihat kepada pekerja. Ujian yang diberikan ini dapat memberi maklumat mengenai seseorang calon dan maklumat tersebut adalah perlu untuk tujuan penilaian selain daripada mendapat gambaran menyeluruh mengenai tingkah laku individu tersebut. Penggunaan ujian-ujian psikologi sebagai satu teknik pemilihan personel dipersetujui oleh kebanyakkan pengkaji seperti French (1961), Guion (1965), Bender (1965), Lawshe dan Balma (1966) dan Meyer dan Donaho (1979).


Pada masa kini, kebanyakkan ujian begitu meluas digunakan dalam bidang pemilihan personnel. Alat ujian psikologi telah digunakan secara meluas untuk melihat sifat personal yang penting untuk menghurai dan memahami tingkah laku seseorang individu. Misalnya kecerdasan, kebimbangan, konsep kendiri dan motivasi (Murphy dan Davidshofer 1998). Kita dapat mengetahui tingkah laku seseorang melalui penghuraian atau hasil (gambaran) skor daripada ujian yang diperolehi. Keputusan alat ujian turut boleh digunakan untuk meramal tingkah laku atau pencapaian seseorang dalam pemilihan personel.


Di Malaysia, ujian peperiksaan menjadi salah satu cara ukuran persekitaran tahap pencapaian akademik individu sama ada di sekolah atau di pusat pengajian tinggi. Keputusan yang diperolehi ini akan menghuraikan tahap pencapaian seseorang individu. Skor yang diperolehi daripada ujian itu amat penting untuk digunakan di dalam bidang sains tingkah laku (Aiken (1988), Allen dan Yen (1979). Anastasi (1982) melihat ujian mempunyai peranan untuk memastikan perbezaan antara individu atau respon individu yang sama dalam keadaan yang berbeza. Ini bermakna ujian boleh digunakan untuk membuat keputusan tentang diri seseorang.


Ketepatan dalam meramal prestasi individu adalah titik tolak bagi kebanyakkan pengurusan personel yang berjaya. Penentuan kenaikan pangkat, kenaikan gaji, pemberian bonus dan penganugerahan serta ganjaran adalah bergantung kepada penilaian prestasi masa lalu.


Ujian psikologi menyediakan maklumat tentang kemahiran, kebolehan, pengalaman dan ciri-ciri yang boleh digunakan bagi menerangkan prestasi kerja masa akan datang. Bergantung kepada jenis pekerjaan, prestasinya adalah fungsi kebolehan kognitif dan bukan kognitif, pengalaman lalu, kemahiran sosial, kemahiran dalam melaksanakan tugas khusus, tahap motivasi atau gabungan daripada kesemua faktor tersebut.


Secara ringkasnya terdapat beberapa ujian yang sering digunakan dalam industri dan organisasi bagi tujuan pemilihan personel seperti Ujian Personnel Wonderlic (PW), Ujian Minnesota Clerical Test (MCT) dan Ujian Organizational Commitment Questionnaire (OCQ). Ujian Pesonnel Wonderlic adalah suatu ujian pelbagai pilihan mengandungi 50 item, terdiri darripada item lisan, matematik, gambar dan analitik adalah satu daripada contoh ujian kecerdasan. Ujian Personnel Wonderlic mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi dan menunjukkan korelasi yang signifikan dengan pengukuran dalam pelbagai prestasi kerja. Ujian ini dapat menerangkan prestasi kecerdasan individu berkaitan lisan, matematik dan pengamatan. Bagi calon yang mempunyai skor yang tinggi dalam ujian ini akan menunjukkan kemampuan prestasi mereka dalam setting pekerjaan.


Ujian Minnesota Clerical Test (MCT) digunakan untuk mengukur fungsi khusus pengkeranian. MCT mengandungi dua sub ujian, iaitu perbandingan angka dan perbandingan nama. Ujian mestilah dijawab dalam masa yang ditetapkan. MCT dianggap sebagai ujian kepantasan pengamatan dan ketepatan yang boleh dipercayai dengan kebolehpercayaan uji dan uji semula melebihi .70. Ini menerangkan bahawa individu yang memperolehi skor yang tinggi menunjukkan mereka mempunyai kepantasan dan pengamatan yang baik. Oleh itu ia mampu memberi input dalam proses pemilihan.


Ujian Organizational Commitment Questionnaire (OCQ) digunakan untuk mengukur tahap komitmen calon tehadap organisasi. Skor yang diperolehi daripada item-item yang terdapat dalam ujian ini dapat menerangkan persepsi atau tanggapan calon terhadap kesetiaan kepada organisasi, kesudian menyumbang lebih tenaga untuk bersama-sama mencapai matlamat organisasi dan penerimaan nilai organisasi.


Berdasarkan huraian di atas dapat disimpulkan bahawa inventori psikologi sememangnya sebagai peramal dalam menerangkan prestasi tingkah laku individu. Keputusan yang diperolehi daripada sesuatu ujian yang dijalani oleh seseorang individu akan menghuraikan perkara yang diukur.