Rabu, 16 November 2011

PENDAYUNG SAMPAN DAN PROFESOR

Suatu hari seorang profesor menyewa sebuah sampan untuk membuat kajian di  tengah  lautan. Pendayung  itu  merupakan  lelaki  tua  yang sangat pendiam.  Profesor  sengaja  mengupah  lelaki tua itu kerana dia tidak mahu  orang  yang  menemaninya  banyak  menyoal  tentang  apa yang dia lakukan.

Dengan  tekun  Profesor  itu  melakukan  tugasnya  tanpa  menghiraukan pendayung sampan. Dia mengambil air laut dan diisi kedalam tabung uji, digoncang-goncang,  kemudian  mencatat  sesuatu di dalam buku catatan dibawanya.  Berjam-jam  lamanya  Profesor  itu melakukan kajian dengan tekun  sekali.  Pendayung  sampan  mendongak ke langit, memandang pada awan  yang  mula berarak kelabu. Dalam hati dia berkata "Hmm...tak lama hujan lebat akan turun.."

"OK   semua   sudah  siap  mari  kita  balik."  Lantas  pendayung  itu memusingkan  sampannya  dan  mula  mendayung  ke  arah  pantai.  Dalam perjalanan  itu  baru  Profesor  itu  membuka  mulut menegur pendayung sampan.

"Dah  lama  kamu  mendayung  sampan?"  Tanya Profesor kepada pendayung sampan. "Hmm..hampir seumur hidupku," jawab si pendayung ringkas.

"Seumur  hidup  kamu?  Jadi  kamu  tidak tahu apa-apa selain mendayung sampan?" tanya Profesor itu lagi.

"Ya.."jawab pendayung sampan dengan ringkas.

Profesor  belum  berpuas  hati dengan jawapan pendayung tua itu. "Kamu tahu Geografi?" Si pendayung menggeleng..

"Kalau begitu kamu hilang 25% dari usia hidup kamu."

"Kamu  tahu  Biologi?"tanya  Profesor  itu  lagi. Pendayung sampan itu menggeleng lagi.

"Kasihan kamu telah kehilangan 50% dari usia kamu."

"Kamu tahu Fizik?" Profesor itu masih bertanya. Seperti tadi pendayung sampan itu hanya menggeleng.

"Sungguh   kasihan   kalau  begitu  kamu  telah  kehilangan  75%  usia kamu. Malang sungguh nasib kamu semuanya tidak tahu. Seluruh hidup kamu hanya  dihabiskan  dengan  sampan, tak  ada gunanya lagi," Profesor itu mengejek  dan  berkata  dengan  angkuh setelah merasakan dirinya yang terhebat. Pendayung sampan hanya mendiamkan diri.

Selang  beberapa  minit  kemudian  hujan turun dengan lebat, tiba-tiba ombak  besar  datang  melanda.  Sampan  yang  mereka  naiki  terbalik. Profesor  dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung itu bertanya, "Kamu tahu berenang?" Profesor hanya menggeleng.

"Sayang  sekali kamu telah kehilangan 100% nyawa kamu." Kata pendayung itu sambil berenang ke pantai meninggalkan Profesor yang angkuh tadi.

Tiada ulasan: