Ahad, 14 Julai 2013

KONSEP UTAMA TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU

Antara Konsep utama dalam Teori Psikologi Individu ialah;


 
1. Persepsi Subjektif Realiti
Adlerians cuba melihat dunia melalui rangka rujukan subjektif klien sebagai satu orientasi yang dikenali sebagai phenomenologikal. Ia memberi perhatian kepada bagaimana manusia melihat dunia mereka secara individual. Subjektif realiti meliputi persepsi individu, fikiran, perasaan, nilai, kepercayaan, keyakinan dan konkulasi. Perlakuan dilihat dan difahami melalui pandangan jelas perspektif subjektif ini. Melalui perspektif Adlerians, objektif realiti kurang penting berbanding bagaimana manusia menterjemah realiti dan makna bagi setiap pengalaman yang dilalui.



2. Keharmonian Dan Bentuk Personaliti Manusia
Asas dalam pandangan teori Psikologi Individu ini adalah personaliti dapat difahami secara holistik dan sistematik di mana individu itu tidak dapat dibahagikan secara keseluruhan, dilahirkan, dan hidup dalam konteks kekeluargaan, masyarakat dan budaya. Manusia adalah bersifat bermasyarakat, kreatif, pembuat keputusan yang bertindak dengan bertujuan atau bermatlamat (Sherman & Dinkmeyer, 1987 dalam Corey, 2005).



Personaliti manusia akan menjadi kuat melalui perkembangan matlamat hidup (life’s goal). Fikiran, perasaan, kepercayaan, keyakinan, sikap, karekter dan keunikannya adalah reflek daripada rancangan hidup yang menjadi pemangkin kepada matlamat kehidupan seseorang itu. Implikasi daripada pandangan holistik ke atas personaliti ialah klien dilihat sebagai pelengkap kepada sistem sosial. Hubugan interpersonal lebih difokuskan berbanding dengan psikodinamik dalaman individu.



2.1. Perlakuan Bertujuan Dan Berorientasikan Matlamat
Teori Psikologi Individu Adler memandang semua manusia mempunyai tujuan dalam hidup masing-masing. Manusia meletakkan matlamat yang perlu mereka capai dan perlakuan mereka dibentuk dalam konteks matlamat yang ingin direalisasikan itu.



Asas pandangan ini adalah manusia hanya berfikir, berperasaan, dan bertindak dalam hubungan persepsi matlamat masing-masing. Oleh itu, manusia hanya dapat difahami melalui matlamat serta tujuan hidup serta cara manusia berusaha dalam merealisasikannya. Teori Adler menyentuh soal masa hadapan dan meminimakan pengaruh masa lepas.



Teori Adler dipengaruhi oleh ahli falsafah Hans Vaihinger’s (1965). Kebanyakan Adlerians mengunakan tema fictional finalism untuk merujuk kepada pusat matlamat hidup sebagai pembimbing kepada perlakuan manusia. Walau bagaimanapun, Adler sebenarnya tidak begitu selesa menggunakan tema tersebut dan menggantikannya dengan “guiding self-ideal” dan “goal of perfection” dalam menilai usaha-usaha manusia ke aras superioriti atau kesempurnaan (Watts & Holden, 1994 dalam Corey, 2005). Pada awal kehidupan lagi, manusia telah mengetahui bahawa mereka akan disukai dan dihormati sekiranya mereka berjaya, lengkap, atau sempurna serba serbi. Pandangan “guiding self-ideal” ini sekiranya diaplikasikan dalam motivasi insaniah akan dilihat dengan cara : “Hanya apabila aku berjaya maka hidup aku akan sejahtera” atau “hanya apabila aku mempunyai kejayaan barulah aku diterima”.



“Guiding self-ideal” mewakili kesempurnaan matlamat imej individu itu yang mana individu ini sanggup berusaha walau dalam apa jua keadaan. Atas faktor matlamat akhir manusia bersifat subjektif, manusia akan lebih kreatif dalam membuat pilihan kepada apakah yang akan diterima sebagai kebenaran, bagaimanakah kita berperilaku dan bagaimanakah kita menterjemahkan tindakan.



2.2. Usaha Ke Arah Superioriti
Adler menekankan usaha ke arah kesempurnaan dan mengatasi perasaan inferioriti melalui pencarian penguasaan adalah sesuatu yang semulajadi (Ansbacher & Ansbacher, 1979 dalam Corey, 2005). Untuk memahami perlakuan manusia dalah penting kita meninjau asas perasaan inferioriti. Sejak di awal kehidupan, kita mengakui bahawa kita tidak berupaya dalam pelbagai keadaan di mana ia dilihat sebagai inferioriti. Perasaan inferioriti ini bukanlah faktor yang negatif dalam hidup. Menurut Adler, kesan daripada perasaan inferioriti ini akan menjadi pemangkin kepada motivasi untuk kita berusaha ke arah superioriti. Adler melihat matlamat kejayaan dalam hidup sebagai penanda aras telah memandu manusia untuk berusaha dan menentang segala halangan dalam mencapai matlamat.



Matlamat superioriti menyumbang kepada pembangunan komuniti. Walau bagaimanapun, perlu kita ingat bahawa terma superioriti yang diguna pakai oleh Adler tidak semestinya individu itu perlu menguasai atau bersifat superior ke atas individu lain. Hakikatnya, ia lebih menjurus kepada bagaimana individu itu meletakkan kedudukannya daripada peringkat bawahan kepada peringkat atasan; dan daripada perasaan negatif kepada perasaan positif. Kejayaan dan pengalaman zaman kanak-kanak dan remaja Adler telah menjadikan beliau sebagai contoh dalam aspek teori psikologi individu ini.



2.3. Gaya Hidup
Gaya hidup pada asalnya dinamakan sebagai perancangan hidup yang merujuk kepada manusia yang unik dalam mencapai matlamat. Gaya hidup kita yang unik ini telah dibentuk semasa lima tahun yang pertama. Pengalaman kemudiannya diterjemah berpandukan pengalaman awal. Cara ini timbul sebagai reaksi kepada inferioriti manusia sama ada ia nyata atau hanya khayalan. Apabila perasaan ini telah dibentuk, ia sukar diubah.



3. Kepentingan Bermasyarakat Dan Berkomuniti
Kepentingan masyarakat (sosial) dan perasaan berkomuniti (Gemeinschaftsgefuhl) merupakan konsep penting dalam teori Adler (Ansbacher, 1992). Terma ini merujuk kepada kesedaran individu tentang keterlibatan individu sebagai sebahagian daripada komuniti manusia dan sikap individu dalam mendepani dunia sosial.



Kepentingan masyarakat (sosial) adalah meliputi usaha dalam memberikan masa depan yang lebih baik in term of humanity. Proses sosialisasi yang bermula seawall zaman kanak-kanak, meliputi mendapatkan tempat dalam masyarakat, rasa kekitaan (sense of belonging) dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat (Kefir, 1981 dalam Corey, 2005).



Kepentingan masyarakat (sosial) adalah satu perkara yang diajar, dipelajari dan diapalikasikan. Adler menyatakan kepentingan sosial adalah nilai dimana rasa identifikasi dan berempati kepada orang lain : “to see with the eyes of another, to hear with the eras of another, to feel with the heart of another” (seperti yang disebut di dalam Ansbacher & Ansbacher, 1972, dalam Corey, 2005). Kepentingan masyarakat (sosial) adalah merupakan pusat indikator kesihatan mental. Individu yang mempunyai nilai kepentingan sosial mengarahkan kehidupan yang lebih sihat dan hidup lebih bererti. Daripada perspektif teori Adler, sekiranya nilai kepentingan masyarakat (sosial) tinggi, maka, tidak akan wujud rasa rendah diri (inferiority) dan ketidaksamaan (alienation) di dalam diri individu tersebut.



Teori Psikologi Individu percaya bahawa kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan dikaitkan dengan perhubungan sosial ini. Individu yang kurang perasaan berkomuniti akan menjadi tidak berdaya saing dan akan hidup dalam keadaan yang tidak berfungsi. Adler menekankan bahawa manusia tidak dapat difahami secara isolasi daripada konteks masyarakat. Kita mencari tempat dalam keluarga dan masyarakat untuk memenuhi keperluan untuk keselamatan, penerimaan dan harga diri. Kebanyakkan masalah yang dialami oleh kita adalah rasa ketakutan sekiranya tidak diterima oleh masyarakat. Sekiranya rasa kekitaan (sense of belonging) tidak dipenuhi, maka kita akan menghadapi anxiety. Hanya apabila kita bersatu bersama individu lain barulah kita mampu untuk berdaya saing dalam mendepani masalah-masalah yang kita hadapi (Adler, 1964).



Adler menekankan bahawa, kita perlu memenuhi tiga tugas utama kehidupan :
a. Membina persahabatan (tugas sosial)
b. Memperkukuhkan hubungan (tugas kasih-perkahwinan)
c. Menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat (tugas pekerjaan)



Semua individu perlu memenuhi ketiga-tiga tugas utama ini tanpa mengira usia, gender, masa, budaya dan warna kulit. Dreikurs dan Mosak (1967), dan Mosak dan Dreikurs (1967) menambah 2 lagi tugas kehidupan ini iaitu :
a. Penerimaan kendiri (self-acceptance)
b. Membangunkan dimensi spiritual (nilai, matlamat hidup dan hubungan dengan alam semesta)



Tugas-tugas kehidupan ini adalah merupakan asas kepada kehidupan manusia dan ketidak fungsian pada mana-mana tugas tersebut dilihat sebagai indikator kepada masalah-masalah psychological disorder (American Psychiatric Association, 2000).



4. Hubungan Dan Aturan Kelahiran Anak
Pendekataan Adlerian agak unik dalam memberi perhatian kepada hubungan antara adik beradik dan aturan psikologikal kelahiran dalam satu keluarga. Adler mengenalpasti lima aturan psikogikal ini : anak sulung, anak kedua, anak yang ditengah-tengah, anak bongsu dan anak tunggal. Hal ini kerana, Adlerians melihat kebanyakkan masalah manusia seperti masalah sosial adalah bermula daripada masalah dalam keluarga.



4.1. Anak Sulung
Anak sulung secara amnya mendapat perhatian yang sempurna ketika pada awal kelahirannya. Anak ini akan bergantung dan berusaha untuk terus menjadi perhatian. Apabila adiknya dilahirkan, anak ini akan merasakan dirinya tidak lagi diberikan perhatian. Anak ini tidak lagi unik dan istimewa. Anak ini akan melihat adiknya sebagai perampas kepada kasih sayang ibubapa yang seharusnya adalah milik anak ini.



4.2. Anak Kedua
Secara tipikal, anak kedua berlumba-lumba untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Persaingan ini akan memberi kesan kepada hubungan seterusnya dalam hidup anak ini. Anak kedua kebiasaanya tidak mahu mengalah dan berusaha untuk mencari kelemahan abang atau kakaknya agar anak ini kelihatan hebat dan mendapat pujian daripada ibubapa serta guru-gurunya melalui mencapai kejayaan yang gagal diperoleh oleh kakak atau abangnya. Anak kedua biasanya akan sentiasa tidak sefahaman dengan anak sulung.



4.3. Anak Tengah
Anak tengah merasakan diri mereka tidak dilayan secara adil. Anak tengah biasanya menjadi “switchborad” dan pendamai. Contohnya, dalam empat adik beradik, anak kedua dilihat sebagai anak yang tengah dan anak yang ketiga lebih easygoing, sosial dan rapat dengan anak yang pertama.



4.4. Anak Bongsu
Anak bongsu adalah intan permata dalam keluarga. Kebiasaanya dimanjakan. Anak bongsu kebanyakkannya lebih selesa bertindak mengikut cara mereka sendiri. Anak bongsu kebiasaannya akan membuat sesuatu cara atau keputusan yang tidak pernah difikirkan oleh keluarganya sebelum ini.



4.5. Anak Tunggal
Anak tunggal tidak akan dapat mempelajari berkongsi atau berkerjasama dengan anak-anak yang lain. Anak tunggal biasanya mempunyai sikap kebergantungan kepada ibubapa atau salah seorang daripadanya. Anak ini biasanya menjadi perhatian kasih sayang ibubapa dan sekiranya perhatian ini digugat, maka anak ini akan merasakan dirinya diperlakukan secara tidak adil.



Aturan kelahiran dan interpretasi ke atas kedudukan seseorang dalam keluarga merupakan acuan utama dalam bagaimana kita berhadapan dengan dunia luar. Dalam terapi Adlerian, berhadapan dengan masalah keluarga, hubungan adik beradik merupakan kunci utama dalam penyelesaian masalah ini. Walaupun kita perla mengelak daripada bersifat stereotaip, pendekatan ini membantu dalam melihat bagaimana personaliti individu itu bermula seawal zaman kanak-kanak dan pengaruh persaingan adik beradik ke atas kehidupan masa depan individu itu.



5. Punca Perasaan Rendah Diri
Inferioriti Kompleks (Inferiority complex) adalah dikaitkan dengan ketidaksempurnaan organ seperti cacat fizikal dan sebagainya. Mereka yang cacat ini akan alami inferiority kompleks. Untuk mengatasi perasaan ini, motivasi dialihkan kepada aspek diri yang lebih berkebolehan. Terdapat empat punca yang menyebabkan seseorang mengalami perasaan rendah diri;



1. Kecacatan fizikal. Ianya adalah berkaitan dengan bahagian tubuh badan yang cacat. Untuk menggantirugi (compensate) yang cacat itu, seseorang individu akan tumpukan padanya (untuk melakukan yang terbaik (iaitu akan berusaha bersungguh-sungguh) untuk menggelakkan kegagalan yang boleh menyebabkan inferiority kompleks.

 
 
2. Anak yang terlalu dimanjakan. Anak yang terlalu dilindungi, didominasi dan dimanjakan apabila dewasa nanti akan menjadi seorang yang terlalu bergantung, tidak yakin dan kurang minat bersosial dan akan mendahulukan kepentingan diri sendiri.

 
 
3. Anak yang terbiar dan disisih serta tidak dipedulikan. Pengabaian dan penolakan daripada ibu bapa akan menjadikan anak kurang percaya dan sisihkan diri daripada interaksi sosial. Apabila dewasa nanti akan menjadi seorang yang tidak berganung pada orang lain, menyisih diri, kurang minat sosial, dan berisiko untuk menjadi penjenayah.

 
 
4. Kecacatan mental (mental illness).

PANDANGAN TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU TENTANG SIFAT SEMULAJADI MANUSIA


Adler keluar daripada fahaman teori Psikoanalisis Freud kerana beliau percaya teori Freud terlalu sempit kerana terlalu menekankan konsep penentuan biologikal dan naluri. Adler percaya manusia mula membentuk personaliti seawal usia 6 tahun.



Teori ini memberi fokus kepada persepsi seseorang itu kepada interpretasi kehidupan awalnya mempunyai pengaruh kepada kehidupan yang seterusnya. Berdasarkan teori ini, manusia dimotivasikan oleh “hubungan sosial”. Perlakuan manusia mempunyai tujuan dan berorientasikan matlamat. Terapi dibawah teori ini lebih berfokuskan kepada keadaan sedar (consciousness) berbanding keadaan tidak sedar (unconsciousness). Berlainan daripada Freud, Adler menekankan tentang pilihan dan tanggungjawab, maksud kehidupan, usaha-usaha kepada kejayaan, kelengkapan dan kesempurnaan. Adler dan Freud mempunyai pandangan serta teori yang sangat berbeza, meskipun kedua-duanya membesar di bandar yang sama dan mendapat pendidikan dalam bidang perubatan dari universiti yang sama. Hakikatnya, perbezaan pengalaman individu dan zaman kanak-kanak serta cara asuhan keluarga kedua-dua tokoh ini adalah kunci kepada perbezaan padangan mereka terhadap fitrah semulajadi manusia (Schultz & Schultz, 2005).



Teori Adler ini lebih fokus kepada perasaan inferioriti (rendah diri) di mana Adler melihat perasaan ini sebagai kondisi normal bagi semua manusia dan sebagai sumber (motivasi). Perasaan inferioriti ini tidak dilihat oleh Adler sebagai kelemahan atau tidak normal, sebaliknya ia dilihat sebagai pemangkin kreativiti. Perasaan inferioriti inilah yang memotivasikan manusia untuk menguasai, bersifat superior dan menuju ke arah kesempurnaan. Manusia dipandu untuk berhadapan dengan perasaan inferioriti dan berusaha meningkatkan perkembangan kejayaan pada tahap yang lebih tinggi (Schultz & Schultz, 2005). Matlamat hidup merupakan faktor kepada pembentukan personaliti dan ia menjadi sumber kepada motivasi manusia; setiap daya dan usaha dalam menghadapi perasaan inferioriti adalah seiringan dengan matlamat hidup seseorang itu.



Perspektif Alderian menyifatkan perlakuan manusia tidak diwarisi oleh faktor keturunan dan persekitaran. Sebaliknya, manusia mempunyai kapasiti untuk menterjemah, mempengaruhi dan mencipta rangka usaha ke arah pencapaian matlamat hidup. Perspektif Adlerians ini menekankan kepada pilihan yang manusia buat dengan kemampuan serta kengkangan yang ada pada manusia. Walaupun Adlerians tidak sehaluan dengan pandangan biologikal Freud, tetapi Adlerians mengakui kondisi biologikal dan persekitaran mengehadkan kapasiti manusia untuk membuat pilihan.



Adlerians memberi fokus kepada pendidikan semula kepada individu dan membentuk semula masyarakat. Teori ini merupakan perintis kepada pendekatan psikologi bersifat subjektif yang menekankan kepentingan perlakuan seperti nilai, kepercayaan, sikap, matlamat, minat dan persepsi individu ke atas realiti. Adler adalah pengasas kepada pendekatan psikologi yang bersifat holistik, sosial, berorientasikan matlamat, sistematik dan humanistik.

Ahad, 3 Februari 2013

SEJARAH TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU

Alfred Adler merupakan penyumbang utama dalam pembangunan pendekatan Psikodinamik dalam terapi selain daripada Freud dan Jung. Selepas 10 tahun, Adler mula tidak sependapat dengan teori dan pendekatan Freud. Adler melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Persatuan Psikoanalisis Vienna pada tahun 1911 dan mengasaskan Persatuan Psikologi Individu pada tahun 1912. Freud tidak menyokong konsep Alderian dan tetap berpegang teguh sebagai Psikoanalisis.



Tidak lama kemudian, ramai di kalangan pengikut Freud mula berpaling arah daripada pendekatan psikoanalisis Freud. Antara revisionis Freud ini termasuklah Karen Horney, Erich Fromm, dan Harry Stack Sullivan yang percaya elemen sosial dan budaya merupakan faktor penting dalam pembentukan personaliti. Walaupun tokoh-tokoh ini menggelarkan diri sebagai neo-Freudians, tetapi Heinz Ansbacher (1979, dalam Corey, 2005) memandang tokoh-tokoh ini sebagai neo-Alderians atas sebab tokoh-tokoh ini telah keluar daripada fahaman Biologikal Freud dan idea mereka lebih menjurus kepada fahaman Adler yang berkiblatkan kepada sosio-psikologikal dan teleologikal (goal oriented) dalam pandangan fitrah manusia.



Teori Adler menekankan kepada keharmonian dan kesepaduan personaliti yang mana manusia dilihat sebagai integrasi dan kejadian yang lengkap. Pandangan ini menekankan kepada matlamat hidup (life’s goal) sebagai agenda penting yang mana manusia akan membentuk personaliti serta gaya yang unik mengikut acuan matlamat hidup masing-masing. Secara amnya, zaman kanak-kanak seseorang itu bukanlah faktor utama kepada pembentukan personaliti individu, tetapi ia didorong oleh orientasi matlamat hidup (goal oriented).



Selepas kematian Adler pada tahun 1937, Teori Psikologi Individu Adler telah diperluaskan ke Amerika Syarikat oleh Rudolf Dreikurs. Rudolf Dreikurs telah mengaplikasikan teori Adler di dalam bidang pendidikan, terapi individu dan kelompok serta kaunseling keluarga. Dreikurs diberi penghargaan atas jasa beliau dalam idea pembinaan Pusat Bimbingan Kanak-Kanak dan untuk melatih profesional dalam memberi perkhidmatan psikologi kepada pelbagai kategori klien.

Khamis, 24 Januari 2013

ALFRED ADLER (1870 - 1937)

Teori Psikologi Individu dipelopori oleh Alfred Adler (1870-1937). Alfred Adler berbangsa Yahudi dan dibesarkan di Vienna. Beliau merupakan anak kedua daripada enam adik beradik. Beliau sentiasa dibayangi oleh kejayaan abangnya. Ketika zaman kanak-kanak, Adler mempunyai masalah kesihatan yang agak kronik. Ketika berusia 4 tahun, beliau hampir maut akibat penyakit Pneumonia.


Adler menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang Doktor Perubatan tatkala mendengar seorang doktor berkata “Alfred is lost” kepada ayahnya. Akibat daripada kesihatannya yang terjejas, ibunya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Adler. Tumpuan ibunya semakin berkurangan selepas ibunya melahirkan adiknya. Adler mula rapat dengan bapanya dan menjauhkan diri daripada ibunya. Keadaan ini menyebabkan beliau cemburu akan adiknya itu.


Ketika di awal kehidupan, Adler berusaha dalam melawan penyakit yang dihidapi dan perasaan rendah diri (feelings of inferiority). Secara jelas, pengalaman pahit ketika zaman kanak-kanak Adler telah mempengaruhi pendekatan teori psikologi Individu ini. Adler merupakan contoh individu yang berjaya dengan berusaha melawan perasaan rendah diri. Sebagai contoh, Adler merupakan seorang pelajar yang lemah sehingga menyebabkan gurunya menasihati bapa beliau memberi latihan sebagai pembuat kasut kepada Adler kerana beranggapan Adler tidak mempunyai masa depan yang cerah.


Adler mengambil pandangan gurunya sebagai pendorong kepada beliau untuk berusaha. Usaha yang tidak kenal erti putus asa dan jemu itu telah membawa Adler ke mercu kejayaan sebagai graduan Perubatan dari University of Vienna. Seterusnya, Adler mempraktis ilmu perubatannya di Hospital persendirian dalam bidang Oftamologi dan seterusnya ke bidang Perubatan Umum. Adler sebenarnya mengkhusus dalam bidang Neurologi dan Psikatri, selain beliau berminat dalam kajian penyakit Paedratik yang sukar diubati.


Adler menulis dan memberi pandangan dalam retorik bahasa yang mudah dan tidak begitu bersifat teknikal supaya orang awam mampu untuk memahami prinsip teori psikologi individu yang diperkenalkan oleh beliau. Bukunya yang bertajuk “Understanding Human Nature” merupakan buku psikologi yang pertama dijual dan dicetak beratus ribu naskah di Amerika Syarikat.


Selepas berkhidmat sebagai Doktor Perubatan semasa Perang Dunia Pertama, Adler telah menubuhkan 32 buah Klinik Bimbingan Kanak-Kanak di Sekolah Awam Vienna dan mula memberi latihan profesional kepada Guru, Pekerja Sosial, Doktor Perubatan, dan profesional yang lain. Beliau merupakan pengasas kepada praktis pengajaran profesional melalui demonstrasi secara langsung bersama ibubapa dan kanak-kanak secara umum. Klinik yang diasaskan oleh beliau begitu popular dan berkembang pesat.


Adler tidak pernah mengenal erti jemu dan penat dalam memberi syarahan, kuliah serta hasil kerja beliau kepada masyarakat. Walaupun rutin harian Adler sangat padat, beliau tetap mencuri sedikit masa untuk menyanyi, mendengar muzik, dan keluar bersama rakan-rakannya. Pada pertengahan tahun 1920-an, Adler mula mengajar di Amerika Syarikat. Beliau tidak mengendahkan nasihat rakan-rakannya agar mengurangkan jadual kerja beliau yang padat atas faktor tahap kesihatan beliau yang semakin merosot. Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bersiar-siar sebelum jadual kuliah beliau bermula di Aberdeen, Scottland pada 28 Mei 1937 ketika berusia 67 tahun.

Sabtu, 12 Januari 2013

TEKNIK KAUNSELING DAN TERAPI ALDERIAN

Terapi dan Kaunseling Adlerian menekankan kepada 4 objektif utama yang melibatkan 4 fasa proses terapi (Dreikurs, 1967). Fasa-fasa ini adalah seperti berikut :

1. Mengukuhkan hubungan terapi yang lebih baik (mewujudkan perhubungan melalui empati di antara kaunselor dengan klien)

2. Meneroka (menjelajah) kepada dinamik psikologikal klien (penilaian)

3. Menggalakkan pembinaan pemahaman kendiri, self-understanding (melihat kepada tujuan)

4. Membantu klien membuat pilihan (reorientation and reeductaion)
 
 
 
Fasa Pertama : Mengukuhkan Hubungan
Adlerian membuat kaedah pendekatan bersama klien dan hubungan ini melibatkan kasih sayang, keterlibatan dan persahabatan. Proses terapi akan berhasil sekiranya hubungan Kaunselor dan Klien rapat serta dapat memahami matlamat antara Kaunselor dan Klien. Proses Kaunseling yang efektif hendaklah mendepani isu peribadi yang dilihat oleh klien sebagai penting dan bersedia untuk menjelajah dan berubah.

       
Terapis Adlerian melihat kepada hubungan “person to person” bersama klien dan tidak menekankan kepada “masalah”. Fokus utama pada awalnya hendaklah menjurus kepada klien dan bukanlah masalah yang dihadapi. Satu kaedah untuk membina hubungan yang efektif bagi Kaunselor adalah membantu klien sedar akan kekuatan dan aset kendiri dan tidak akan terus-terusan berhadapan dengan défisit dan liabititi klien. Semasa fasa initial ini, hubungan yang positif dibentuk melalui kemahiran mendengar, memberi tindak balas, menunjukkan rasa hormat kepada kapasiti klien dalam memahami tujuan serta mencari perubahan. Selain daripada pengharapan dan sikap ambil berat.


Adlerians memberi penekanan kepada pengalaman yang subjektif klien berbanding teknik yang akan digunakan. Kaunselor akan menggunakan kaedah dan teknik bersesuaian dengan kehendak serta keperluan klien. Semasa Kaunseling fasa initial ini, teknik utama adalah melayan dan mendengar dengan empati, diikuti dengan pengalaman subjektif klien secara dekat yang boleh, kenalpasti matlamat dan memberikan cadangan berkenaan dengan simpton, tindakan dan interaksi klien. Adlerians memberi penekanan kepada verbal dan nonverbal yang ditunjukkan oleh klien; Kaunselor bertujuan memasuki corak utama dalam kehidupan klien. Sekiranya klien merasakan diri mereka difahami dan diterima, ia memberi jalan yang mudah kepada klien untuk memberi fokus akan apakah yang ingin klien perolehi melalui proses terapi dan membina matlamat yang kukuh. Pada fasa ini, peranan kaunselor adalah memberi satu sudut perspektif yang luas kepada klien dalam membantu klien melihat dirinya dalam dunia yang berlainan.

 

Fasa Kedua : Meneroka Dinamika Individu
Fasa kedua dalam teknik Kaunseling Adler berorientasikan kepada dua bentuk temuduga (interview) : Temuduga subjektif dan Temuduga Objektif (Dreikurs, 1997).

         
Dalam temuduga subjektif, Kaunselor membantu klien untuk menceritakan masalah atau konflik yang dihadapi selengkap-lengkapnya. Proses ini dibantu dengan penggunaan meluas teknik pendengaran berempati (empathic listening) dan memberi maklum balas. Walau bagaimanapun, mendengar dengan aktif (active listening) tidak mencukupi. Temuduga subjekif ini perlulah disusuli dengan rasa ingin tahu, minat dan teruja. Secara amnya, temuduga subjektif yang baik adalah Kaunselor melayan klien seolah-olah klien amat expert dalam hidupnya sendiri, dengan membenarkan klien merasakan masalah atau konflik yang dihadapi didengar sepenuhnya oleh Kaunselor.

 
Temuduga subjektif perlulah mengekstrak kehidupan klien itu, membina hipotesis tentang apakah yang akan memberi kesan kepada klien, dan menentukan apakah perkara-perkara yang senantiasa difikirkan oleh klien dalam hidup mereka (Bitter et al. 1998, p.98). Pada akhiran temuduga ini, Kaunselor Adlerians akan bertanyakan soalah seperti ini kepada klien : “Adakah ada perkara yang lain, yang anda rasa saya perlu tahu agar saya lebih memahami anda dan masalah anda?”


Di akhiran temuduga subjektif juga, Kaunselor Adlerians kerap menanyakan soalan seperti ini : “Bagaimana kehidupan anda berubah, dan apakah perubahan anda sekiranya anda tidak menghadapi masalah ini?”. Adlerians menggunakan soalan ini untuk membantu dalam differential diagnosis. Sekiranya tiada perubahan terutamanya simptom fizikal, Adlerians menjangkakan klien menghadapi masalah organik yang memerlukan rujukan intervensi perubatan.

         
Temuduga Objektif bertujuan untuk mendapatkan informasi seperti berikut :

a. Bagaimanakan masalah ini bermula dalam hidup klien

b. Perkara-pekara lain yang bersangkut paut

c. Salasilah perubatan, termasuklah keadaan kesihatan semasa dan yang lepas

d. Salasilah sosial

e. Sebab mengapa klien memilih untuk berjumpa klien pada masa ini

f. Daya mendepani masalah atau tanggungjawab hidup

g. Penilaian gaya hidup


Mozdzierz dan rakan-rakan (1984 dalam Corey, 2005) menyifatkan Kaunselor adalah sebagai “lifestyle investigator” (penyiasat gaya hidup) pada fasa ini dalam proses intervensi. Menurut Adler dan Dreikurs, penilaian gaya hidup bermula dengan penyiasatan konstelasi keluarga klien dan salasilah zaman kanak-kanak klien (Powers & Griffith,1987; Shulman & Mosak, 1988 dalam Corey, 2005).


Kaunselor juga menginterpretasi memori awal klien dalam memahami klien dengan lebih mendalam lagi dengan mengambil kira keadaan sosial dan masyarakat di mana klien membesar.


Penilaian gaya hidup klien membantu dalam pembinaan naratif kehidupan klien secara holistik dan ia membantu dalam melihat bagaiman klien mendepani masalah atau krisis kehidupan. Sebagai contoh, Siti Mardiana hidup dalam persekitaran yang sangat kritikal, dan sekarang beliau percaya beliau perlu menjadi sempurna dalam serba serbi bagi mengelak kegagalan, proses penilaian akan memperlihatkan kehidupan yang agak ketat dan rigid kesan daripada kepercayaan yang beliau tanamkan dalam perspektif ini.


Konstelasi Keluarga
Adler melihat keluarga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan personaliti individu. Adler mencadangkan melalui konstelasi keluarga, kita dapat melihat keunikan pandangan individu tersebut ke atas diri sendiri, orang lain dan kehidupan. Faktor-faktor seperti nilai dan budaya keluarga, pandangan peranan gender, dan hubungan interpersonal merupakan faktor yang memainkan peranan dalam perkembangan individu. Penilaian Adlerian amat memberatkan penerokaan konstelasi keluarga klien, termasuklah penilaian ke atas kondisi klien ketika kecil (amosfera keluarga), susun atur kelahiran, hubungan ibubapa dan nilai keluarga, dan budaya serta “extended family” klien.


Soalan-soalan seperti ini adalah biasa ditanya dalam meneroka klien :

Siapakah anak kesayangan dalam keluarga anda?
Apakah bentuk hubungan ibubapa anda dengan adik beradik anda?
Anak yang manakah yang paling suka akan ayah anda? Ibu anda?
Siapakah di antara adik beradik anda yang berlainan daripada anda? Dalam keadaan yang bagaimana?
Bagaimankah hubungan ibubapa anda? Apakah perkara yang sama-sama mereka suka?
Bagaimanakah ibubapa anda mendepani pertelingkahan? Apakah cara atau kaedah yang digunapakai dalam mendisiplinkan anak-anak?


Soalan-soalan ini memberi satu idea tentang jenis maklumat yang ingin dicari oleh Kaunselor. Soalan-soalan biasanya disesuaikan ke atas klien dengan matlamat mencungkil persepsi klien terhadap perkembangan diri dan orang lain, dan pengalaman lalu yang memberi kesan ke atas perkembangan klien.


Ingatan Kembali (Early Recollections)
Prosedur penilaian lain yang dipraktiskan oleh Adlerian adalah menyoal klien berhubung memori lama, termasuklah usia ketika itu, perkara yang difikirkan, dan emosi serta perasaan yang timbul kesan daripada ingatan terhadap memori itu.


Ingatan kembali memori akan memberi ruang kepada “cerita kehidupan kita”, kerana ia mewakilkan metafora pandangan semasa kita. Daripada siri ingatan kembali memori, ia akan memberi satu gambaran yang jelas tentang kesilapan yang pernah kita lakukan, perlakuan semasa, minat sosial, dan perlakuan masa depan. Penerokaan ingatan awal memori meliputi penemuan seperti bagaimana matlamat yang salah menjadi satu kesilapan dalam kehidupan kita dan nilai yang berterusan mengwujudkan permasalahan dalam kehidupan individu itu.


Dalam mendapatkan ingatan kembali memori klien, Kaunselor biasanya akan mengemukakan soalan-soalan seperti :
“ Saya ingin sekali mendengar kenangan lama anda. Cuba ingat kembali ketika anda kecil dan beritahu saya apakah yang telah berlaku ketika itu?”.  
Selepas mendapatkan setiap memori itu, Kaunselor akan bertanyakan soalan ini :
“Apakah perkara yang kerap kali difikirkan oleh anda? Sekiranya anda mengingati semula semua kenangan yang lalu dan dapat menghentikan sesuatu perkara, apakah yang akan berlaku?”


Kebiasaannya, 3 jenis memori dilihat sebagai tahap yang minimum dalam menilai bentuk perkembangan klien dan ia boleh menjangkau seribu memori.


Kaedah ini digunakan bagi tujuan-tujuan berikut :
- Penilaian terhadap keyakinan diri klien tehadap diri sendiri, orang lain, kehidupan dan etika
- Penilaian terhadap kedudukan hubungan klien terhadap sesi kaunseling dan hubungan kaunseling
- Keesahan bentuk penyelesaian krisis
- Penilaian ke atas kekuatan individu, aset dan idea

 
Prioriti Personaliti
Penilaian ke atas prioriti personaliti menjadi begitu penting sejak 2 dekad yang lalu dalam usaha memahami “interactional coping”. Psikologis dari Israel, Nira Kefir (1981), telah membentuk empat (4) jenis prioriti : Superioriti, control, comfort dan pleasing. Prioriti Personaliti adalah sama dengan apa yang dikatakan oleh Adler sebagai “safeguard tendencies”. Kefir memberikan 4 jenis bentuk perlakuan refleksi daripada prioriti-prioriti ini :
 
  • Individu menggunakan superioriti (signifikasi) : berusaha untuk tampak penting melalui kepimpinan atau pencapaian atau melalui apa jua keadaan yang boleh menunjukkan individu itu berpengaruh atau superior. Individu ini akan berusaha untuk mengelakkan kegagalan atau ketidaksempurnaan dalam hidup tetapi individu ini akan kerap mengadu mempunyai bebanan kerja yang lebih atau mempunyai tanggungjawab yang besar.
  •  
  • Individu yang mengawal (control) melihat kepada jaminan melawan kritikan atau cemuhan. Individu ini merasakan penting bagi mereka mengawal situasi agar mereka tidak dipandang rendah. Individu ini sanggup mengorbankan “social distance” (jarak sosial) dalam menggapai keadaan yang selamat (safety).
  •  
  • Individu yang mencari comfort (keselesaan) akan mengelak stress atau kesulitan dalam apa jua keadaan. Individu ini akan kerap kali menangguh dalam membuat keputusan atau penyelesaian masalah. Individu ini akan melakukan apa jua usaha dalam mengelak perkara yang boleh menyebabkan mereka merasa stress atau kesulitan. Kesan daripada sikap individu ini adalah produktiviti mereka rendah.
  •  
  • Individu yang melihat kepada “please” ingin mengelakkan diri daripada penolakkan dengan mencari pengesahan dan penerimaan. Atas kerana takut tidak diterima atau tidak disukai, individu ini berusaha keras dalam usaha untuk diterima oleh orang lain.
  •  
  • Menukar prioriti utama klien bukanlah tugas seorang Klien. Sebenarnya, ia bertujuan membolehkan klien mengenalpasti perasaan mereka kepada orang lain dan harga yang perlu mereka korbankan sekiranya mereka terus-terusan berpegang kepada prioriti mereka. Kefir (1981) menegaskan bahawa untuk meningkatkan self-awareness, kita mestilah mengetahui apakah prioriti dan kondisi kita untuk dilihat sebagai berpengaruh. Kita juga perlu melihat alternatif lain dalam memperolehi pengaruh dengan menggunakan perlakuan yang pelbagai.
 
Ringkasan Dan Intergrasi
Selepas maklumat kita perolehi daripada klien melalui temuduga subjektif dan objektif, maka ringkasan intergrasi akan dapat dibentuk. Ringkasan ini adalah pentunjuk kepada diri klien dan apakah yang dibincangkan dalam sesi kaunseling bersama klien dan kaunselor akan memperhalusi isi-isi permasalahan klien. Ringkasan Intergrasi ini memberi ruang kepada klien untuk membincangkan topik-topik yang lebih spesifik dalam penyelesaian ke atas konflik yang dihadapi.
 
  
Menurut Mosak (2000), analisa kesilapan asas biasa klien adalah satu perkara yang penting. Beliau percaya, gaya hidup bolehlah dilihat sebagai mitologi individu itu. Individu berkelakukan berasaskan kepada kepercayaan yang dipegang oleh mereka dan mereka sentiasa fikirkan kepercayaan itu adalah benar. Mosak menyenaraikan 5 kesilapan asas individu :
  • Overgeneralizations : “Tiada yang adil di dunia” ; “Jangan rapat sangat dengan orang, terutamanya perempuan, mereka akan kawal engkau kelak!”
  •  
  • False or impossible goals : “Aku mesti menggembirkan semua orang dan aku haruslah disayangi oleh semua orang” ; “Aku akan berusaha dalam apa jua harapan orang lain dan ia penting dalam hidup agar semua orang suka akan aku”
  •  
  • Misperceptions of life and life’s demad : “Hidup ini terlalu sukar bagi aku”
  •  
  • Minimization or denial of one’s basic worth : “Aku ini memang bodoh, jadi apa orang nak buat apa dengan aku?”; “aku tidak diperlukan oleh ibubapaku, jadi cara yang baik ialah aku berdiam diri aje”
  •  
  • Faulty values : “Aku mesti menjadi orang yang paling terbaik, tak kira siapa yang aku akan korbankan”
 
 
 
Fasa Ketiga : Penggalakkan Kefahaman Kendiri Dan Celik Akal
Adlerians percaya setiap perkara yang dilakukan oleh manusia mempunyai tujuan. Pemahaman kendiri wujud sekiranya tujuan yang tersembunyi dan matlamat perlakuan individu dalam keadaan sedar. Apabila Adlerians bercakap tentnag celik akal, ia dirujuk sebagai pemahaman tentang motivasi yang akan menjana kehidupan klien. Ia adalah sebagai satu kesedaran yang membantu pemahaman hubungan teraputik dan bertindak sebagai asas untuk perubahan.
  
 
Interpretasi pendedahan dan well-timed adalah teknik yang membantu proses memperoleh celik akal. Ia berfokuskan kepada perlakuan “here and now” dan meningkatnya ekspetasi dan jangkaan daripada ingatan atau niat klien itu. Interpretasi dan pendedahan Adlerian mengambil kira membina kesedaran klien tentang arah tujuan hidup, matlamat serta tujuan, logik peribadi dan bagaimana ia berfungsi dan perlakuan semasa klien.
 
  
Cadangan dan interpretasi Adlerian dilihat secara tentatif dalam bentuk perkongsian “open-ended” yang dapat diteroka dalam sesi Kaunseling. Kebanyakkan klien dalam keadaan yang berteka-teki atau cuba meneka dan klien kebiasaannya memulakan perbualan dengan : “Ia seolah-oleh seperti……”, “Bolehkah ia begitu….” ..atau “Macam inilah ia wujud dalam hidup saya…” Atas sebab interpretasi dilihat dalam manner yang seperti ini, klien adalah dilihat tidak mempertahankan diri mereka sendiri, dan klien adalah bebas untuk berbincang hatta berdebat dengan andaian dan pandangan klien. Melalui proses ini, klien akhirnya akan memahami motivasi diri sendiri, jalan yang manakah mereka akan usahakan dalam menyelesaikan masalah, dan apakah cara yang mereka boleh buat untuk memperbetulkan situasi berkenaan.
 
 
 
 
Fasa Keempat : Membantu Dengan “Reorientation”
Fasa yang terakhir dalam proses teraputik atau kaunseling dikenali sebagai fasa orientasi-tindakan (action-oriented) di mana menukar celik akal ke bentuk amalan. Fasa ini memfokuskan dalam membantu individu mencari alternatif yang baru dan lebih bersifat functional. Klien digalakkan dan dicabar untuk membina keberanian klien mendepani risiko dan membuat perubahan dalam kehidupan mereka.
 
  
Dalam sesetangah kes, perubahan sangat diperlukan dalam mendepani ketidakberanian atau ketakutan klien dan mendapatkan tempat bagi diri klien dalam hidup ini. Walaubagaimanapun, manusia hanya perlu di reoriented ke arah kehidupan yang lebih berguna dan bermakna. Kehidupan yang berguna adalah seperti mempunyai rasa kekitaan, dihargai, mempunyai minat untuk berinteraksi dengan orang lain dan kebajikan mereka, keberanian, penerimaan ketidaksempurnaan, keyakinan, rasa humor, sedia untuk memberi sumbangan, serta membina persahabatan.
 
 
Manakala kehidupan yang dipandang sebagai tidak berguna adalah seperti tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab, self-protection, atau bertindak menentang fitrah manusia. Individu yang seperti ini akan menjadi kurang berfungsi. Terapi Adlerian menentang kendiri pengurangan nilai, isolasi, dan meyerah kalah. Sebaliknya ia membantu klien memperoleh keyakinan, keberanian dan memangkin kekuatan dalam diri klien itu sendiri, kepada orang lain dan kehidupan. Dalam fasa ini galakan dan semangat merupakan elemen yang sangat penting.
 
  
Proses Memberi Galakkan
Memberi galakkan merupakan prosedur Adlerian yang tersendiri, dan ia adalah pusat kepada semua fasa dalam terapi dan kaunseling. Ia sangat penting terutama kepada klien yang telah mengubah kehidupannya. Galakkan bermaksud “membina keberanian atau kekuatan’’ (to build courage) (Bitter et al.1998). Keberanian atau kekuatan akan wujud sekiranya manusia sedar akan kemampuan mereka, di mana mereka merasakan diri mereka dipunyai dan tidak bersendirian. Selain itu, ia wujud apabila manusia merasakan mereka mempunyai harapan dan dapat melihat kemungkinan-kemungkinan yang baru untuk diri mereka dan kehidupan harian yang dilalui.
 
  
Adlerians percaya, ketiadaan galakkan adalah asas keadaan yang menghalang individu untuk berfungsi dan mereka melihat galakkan sebagai antidote. Adlerians mengaplikasikan pelbagai teknik perlakuan, kognitif dan eksperimen di dalam proses memberi galakkan dalam usaha membantu klien mengenalpasti dan melawan sikap rendah diri, memangkin pelbagai alternatif, dan menggunakan aset, kekuatan dan sumber (Ansbacher & Ansbacher, 1964; Dinkmeyer & Sperry,2002; Watts & Pietrzak, 2000; Watts & Shulman, 2003)
 
  
Memberi galakkan mempunyai pelbagai bentuk, bergantung kepada fasa proses kaunseling. Dalam fasa hubungan, galakkan adalah hasil daripada rasa hormat antara satu sama lain (Kaunseling-klien). Dalam fasa penilaian, klien diberi galakkan untuk mengenalpasti mereka adalah penghulu kepada kehidupan mereka sendiri, dan dapat membuat pelbagai pilihan berdasarkan kepada kefahaman yang baru. Manakala semasa fasa reorientation, galakkan wujud apabila kemungkinan-kemungkinan baru dimangkinkan dan apabila klien tahu dan pasti untuk mengambil langkah yang positif dan mengubah kehidupan mereka kepada keadaan yang lebih baik lagi.
 
 
Perubahan Dan Pencarian Kemungkinan Baru
Semasa fasa reorientation, klien membuat keputusan dan mengatur semula matlamat mereka. Klien diberi galakkan untuk bertindak sekiranya mereka mahu menjadi apa yang mereka fikirkan, di mana ia mencabar pandangan sikap kendiri yang terbatas. Komitmen merupakan kompenen penting dalam reorientation. Jika klien mengharapkan perubahan, mereka mestilah bersedia untuk membuat pelbagai tugas untuk diri mereka sendiri, dan membuat sesuatu yang spesifik tentang masalah yang dihadapi. Dalam fasa ini, klien menterjemah celik akal mereka yang baru kepada tindakan yang konkrit.
 
 
Fasa action-oriented adalah masa untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kaunselor dan klien akan memikirkan alternatif dan apakah akibat daripadanya, menilai bagaimana alternatif ini akan menepati matlamat klien dan menentukan tindakan spesifik. Kemungkinan baru dan alternatif yang terbaik yang dimangkin oleh klien, dan kaunselor hendaklah memberi galakkan dan sokongan kepada klien dalam proses fasa ini.
 
  
Membuat Perbezaan
Kaunselor Adlerians membuat perbezaan dalam kehidupan klien mereka. Perbezaan itu dimanifestasikan oleh perubahan dalam perlakuan dan sikap ataupun persepsi. Adlerians menggunakan pelbagai teknik dalam menggalakkan perubahan, sebahagian daripada teknik ini merupakan intervensi yang biasa dalam model teraputik yang lain. Teknik-teknik yang digunakan oleh Kaunselor adalah imediasi, humor, silence, paradoxical intention, bertindak seolah-olah, spitting in the client’s soup, catching oneself, teknik tekan butang, externalization, re-authoring, avoiding the traps, konfrantasi, use of stories and fables, analisa early recollection, komitmet dan task setting, memberi homework, dan terminating and summarizing (Carlson & Slavik, 1997; Dinkmeyer & Sperry,2000; Disque & Bitter, 1998; Mosak, 2000). Sebenarnya, Adlerians telah mencuba untuk mengaitkan teknik yang spesifik dalam masalah yang dirujuk kepada mereka. Dalam isu aplikasi teknik ini, Adlerians lebih bersifar praktis di mana mereka akan menggunakan teknik yang sesuai kepada klien sahaja.
 
  
Secara amnya, pengamal teori Adler memfokuskan kepada modifikasi motivasi yang menekankan kepada perubahan perlakuan dan menggalakkan klien untuk membuat perubahan holistik agar kehidupan klien lebih berguna. Semua intervensi Kaunseling merupakan usaha yang koperatif, dan membuat perubahan adalah bergantung kepada kemampuan kaunselor dalam mendapatkan kerjasama klien.