Ahad, 3 Februari 2013

SEJARAH TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU

Alfred Adler merupakan penyumbang utama dalam pembangunan pendekatan Psikodinamik dalam terapi selain daripada Freud dan Jung. Selepas 10 tahun, Adler mula tidak sependapat dengan teori dan pendekatan Freud. Adler melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Persatuan Psikoanalisis Vienna pada tahun 1911 dan mengasaskan Persatuan Psikologi Individu pada tahun 1912. Freud tidak menyokong konsep Alderian dan tetap berpegang teguh sebagai Psikoanalisis.



Tidak lama kemudian, ramai di kalangan pengikut Freud mula berpaling arah daripada pendekatan psikoanalisis Freud. Antara revisionis Freud ini termasuklah Karen Horney, Erich Fromm, dan Harry Stack Sullivan yang percaya elemen sosial dan budaya merupakan faktor penting dalam pembentukan personaliti. Walaupun tokoh-tokoh ini menggelarkan diri sebagai neo-Freudians, tetapi Heinz Ansbacher (1979, dalam Corey, 2005) memandang tokoh-tokoh ini sebagai neo-Alderians atas sebab tokoh-tokoh ini telah keluar daripada fahaman Biologikal Freud dan idea mereka lebih menjurus kepada fahaman Adler yang berkiblatkan kepada sosio-psikologikal dan teleologikal (goal oriented) dalam pandangan fitrah manusia.



Teori Adler menekankan kepada keharmonian dan kesepaduan personaliti yang mana manusia dilihat sebagai integrasi dan kejadian yang lengkap. Pandangan ini menekankan kepada matlamat hidup (life’s goal) sebagai agenda penting yang mana manusia akan membentuk personaliti serta gaya yang unik mengikut acuan matlamat hidup masing-masing. Secara amnya, zaman kanak-kanak seseorang itu bukanlah faktor utama kepada pembentukan personaliti individu, tetapi ia didorong oleh orientasi matlamat hidup (goal oriented).



Selepas kematian Adler pada tahun 1937, Teori Psikologi Individu Adler telah diperluaskan ke Amerika Syarikat oleh Rudolf Dreikurs. Rudolf Dreikurs telah mengaplikasikan teori Adler di dalam bidang pendidikan, terapi individu dan kelompok serta kaunseling keluarga. Dreikurs diberi penghargaan atas jasa beliau dalam idea pembinaan Pusat Bimbingan Kanak-Kanak dan untuk melatih profesional dalam memberi perkhidmatan psikologi kepada pelbagai kategori klien.