Jumaat, 1 Jun 2012

KUALITI KEHIDUPAN BERKERJA ( KKB ) SECARA RINGKAS

Konsep kerja dan pekerja merupakan satu perkara yang seiringan membaiki dan meningkatkan sistem kualiti kehidupan yang dialami di dalam pekerjaan. KKB yang merupakan sebahagian daripada teknik pembangunan organisasi yang direkabentuk untuk meningkatkan kefungsiaan organisasi dari segi memberi perhatian kepada aspek kemanusiaan di tempat kerja, menjadikan ianya lebih demokratik dan melibatkan pekerja dalam membuat keputusan.



Seperti yang dijelaskan bahawa KKB telah menjadi isu penting, yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan dalam organisasi. Dengan ini dalam pengurusan organisasi, perhatian mula difokuskan kepada kualiti kemanusiaan yang berlaku di tempat kerja. Pada masa yang sama kebanyakkan syarikat membuat persoalan adakah mereka (pengurusan) secara sendirian dapat bersaing dalam dunia pasaran tanpa sokongan dan kerjasama daripada pekerja-pekerja mereka. Oleh itu banyak organisasi telah melakukan pelbagai kajian untuk meningkat dan memperbaiki produktiviti organisasi dan kualiti kehidupan bekerja untuk pekerja mereka. Ini dilakukan dengan kerjasama kedua-dua belah pihak (pengurusan dan pekerja) (French, Bell dan Zawacki 1989).



Hasil daripada itu kebanyakkan syarikat telah mula menjalankan program-program KKB dengan menggunakan pendekatan yang sesuai di organisasi mereka. Walau apapun program yang digunakan untuk melaksanakan KKB semuanya mempunyai matlamat yang sama. Ini dinyatakan oleh Greenberg dan Baron (1997) iaitu “walaupun terdapat banyak pendekatan yang digunakan untuk memperbaiki kualiti kehidupan bekerja, namun semuanya berkongsi menghala kepada matlamat yang sama iaitu tempat bekerja yang lebih menekankan aspek kemanusiaan”.



Seperti yang telah dijelaskan KKB berhubungkait dengan aspek psikologikal. Dengan meningkatnya program KKB maka dengan sendirinya akan meningkat perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti peningkatan produktiviti. Ini telah pun di kaji di Amerika Syarikat dan program-program meningkatkan KKB telah dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah ia juga membawa faedah-faedah lain seperti kepuasan kerja, komunikasi organisasi yang lebih baik, kualiti barangan yang tinggi, kadar ponteng yang rendah dan perkara-perkara lain. Selain itu peningkatan KKB boleh membawa bukan sahaja organisasi kerja yang lebih baik, bahkan ia juga membawa satu masyarakat yang lebih baik.



Secara ringkasnya dalam konteks Malaysia, sekiranya dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, England, dan sebagainya yang telah melaksanakan rancangan-rancangan meningkat KKB, di negara kita masih sedikit yang melaksanakan program KKB sama ada di organisasi awam atau swasta. Dengan itu perlulah usaha kerjasama daripada pihak pengurusan dan pekerja untuk melaksanakan program KKB. Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam memastikan program KKB dilaksana dan diberi perhatian oleh pihak organisasi.



Selepas itu perlu dilakukan kajian atau penilaian ke atas program KKB yang telah dilaksanakan untuk mengetahui kedudukan sebenar KKB sama ada berjaya atau tidak. Sekiranya terdapat kelemahan maka perlu diperbaiki untuk memantapkan program tersebut. Dengan itu program KKB ini akan berkembang luas di Malaysia.

KUALITI KEHIDUPAN BERKERJA : KAJIAN LEPAS

Kajian Lepas Dalam Negeri

Selain daripada kajian-kajian yang dilakukan di barat, terdapat juga kajian tempatan yang berkait dengan kualiti kehidupan bekerja. Antaranya kajian yang dilakukan oleh Sebastian (1983) ke atas pekerja-pekerja kilang di sebuah Syarikat Kayu di Jengka, Pahang. Kajian ini bertujuan untuk melihat kedudukan KKB pekerja-pekerja kilang di syarikat tersebut. Di samping itu beliau juga ingin melihat perbezaan kualiti di antara pekerja lelaki dengan pekerja perempuan. Kaedah temubual dan soal selidik telah digunakan untuk mendapatkan data maklumat. Keputusan kajian menunjukkan KKB di kalangan pekerja-pekerja adalah sederhana iaitu bagi pekerja lelaki adalah sederhana rendah dan bagi pekerja perempuan adalah sederhana tinggi. Keputusan juga menunjukkan wujudnya perbezaan signifikan di antara jantina bagi jumlah KKB.



Kajian oleh Ee Keng Hean (1988) adalah untuk melihat perbandingan KKB di antara pekerja kolar putih dan pekerja kolar biru di sebuah kilang eletronik. Keputusan kajian menunjukkan pekerja kolar putih didapati mempunyai tahap KKB yang lebih tinggi daripada pekerja kolar biru secara keseluruhan dan dimensi-dimensi perkembangan keupayaan, tanggungjawab sosial, upah, keselamatan dan ruang kehidupan. Sementara itu pekerja kolar putih dan pekerja kolar biru berada pada tahap yang sama bagi dimensi pertumbuhan berterusan, jaminan dan integrasi sosial. Keputusan ini telah menyokong kajian yang telah dibentuk berdasarkan penemuan Herzberg et al (1957) dan McCormick dan Tiffin (1965) serta teori Maslow (1943). Umur dan tempoh lama bekerja pula didapati tidak mempengaruhi KKB pekerja secara signifikan.



Teng Hock Meng (1989) pula melakukan kajian untuk melihat keberkesanan kumpulan kawalan mutu (KKM) kerja ke atas KKB, morale dan ketidakhadiran kerja. Keputusan kajian menunjukkan tiada perbezaan di antara ahli KKM dan bukan KKM dari segi KKB, morale dan ketidakhadiran kerja. Ini kerana tidak terdapat korelasi yang signifikan di antara KKB, morale dan KKM dengan ketidakhadiran kerja.



Kajian KKB oleh Cheah Sau Wan (1995) adalah untuk melihat hubungan di antara KKM dengan kepuasan hidup dan kepuasan hidup mengikut kategori pekerjaan. Subjek terdiri daripada 40 orang pekerja kolar putih dan 40 orang pekerja kolar biru. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa tidak wujud hubungan di antara KKB dengan kepuasan hidup dan juga tidak memberi kesan kategori pekerjaan ke atas hubungan tersebut. Begitu juga tidak wujud perbezaan KKB mengikut kategori pekerjaan tetapi wujudnya perbezaan kepuasan hidup mengikut kategori pekerjaan. Secara keseluruhannya didapati pekerja kolar putih mempunyai KKB yang sama dengan pekerja kolar biru tetapi mempunyai kepuasan hidup yang lebih tinggi daripada pekerja kolar biru.



Kajian yang dilakukkan oleh Fatimah Wati Halim dan Iran Herman (1997) adalah untuk melihat hubungan nilai kerja, prestasi kerja dan KKB di kalangan pekerja sektor awam dan swasta. Secara khususnya kajian ini ingin melihat adakah terdapat perbezaan nilai kerja, KKB dan prestasi kerja di kalangan pekerja-pekerja di sektor awam dan swasta. Keputusan kajian menunjukkan nilai kerja yang diukur dengan alat ukuran Survey of Work Values (SWV) dan KKB pekerja-pekerja di sektor awam dan swasta tidak berbeza secara signifikan. Sebaliknya nilai kerja yang diukur dengan alat ukuran Nilai Kerja Malaysia (NKM) dan prestasi kerja berbeza secra signifikan. Secara perbandingan nilai kerja (NKM) dan prestasi pekerja sektor awam adalah lebih tinggi berbanding dengan para pekerja sektor swasta.



Secara keseluruhannya kajian ini memperlihatkan bahawa min nilai kerja di sektor awam dan swasta yang diukur dengan alat ukuran SWV adalah sederhana. Sebaliknya min nilai kerja yang diukur dengan alat ukuran NKM adalah tinggi. Pekerja disektor awam mempunyai min nilai kerja yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja-pekerja di sektor swasta. KKB pekerja-pekerja dikedua-dua sektor secara umunnya berada pada tahap sederhana. Namun begitu terdapat kehidupan bekerja pekerja di sektor swasta lebih tinggi daripada para pekerja disektor awam.