Sabtu, 16 April 2011

Adab-Adab Tidur


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Saidatina A’isyah bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : “Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri”.

Islam mementingkan tidur dan rehat agar ibadat dan aktiviti seharian dapat dilakukan dengan baik dan seimbang. Malah tidur dapat menentukan kesihatan dan menghasilkan kecergasan dalam diri seseorang. Bukan itu sahaja, tidur bagi seorang muslim juga dikira sebagai satu ibadat sekiranya ia memenuhi adab-adab dalam Islam antaranya : -

1. Berwuduk
Sebaik-baik gosok gigi anda sebelum masuk tidur. Malah biasakan diri untuk mengambil wuduk sebelum tidur kerana menjadi amalan yang sangat dirahmati. Insya Allah tidur anda akan sentiasa dilindungi daripada gangguan syaitan dan iblis.

2. Perut Tidak Terlalu Kenyang
Pastikan perut anda tidak terlalu kenyang ketika mengambil makan malam. Bukan sahaja tidak elok untuk kesihatan malah boleh menyebabkan perut anda cepat rasa sebu. Perut yang kenyang juga boleh menyebabkan anda cepat berasa mengantuk mahupun menghadapi masalah sukar untuk bangun.

3. Mengingati Kesilapan
Sebaik sahaja anda meletakkan kepala ke bantal, cuba anda ingat semula perkara yang telah anda lakukan sepanjang harian. Sekiranya anda melakukan perkara-perkara yang baik, tingkatkan keazaman untuk terus mengekalkan perbuatan yang baik. Tetapi sekiranya anda banyak melakukan kesilapan dan perbuatan mungkar, berazamlah untuk berubah dan beristighfar memohon keampunan daripada Allah S.W.T

4. Membaca Doa dan Surah Tertentu
Ketika ingin melelapkan mata, amalkan membaca doa atau surah-surah tertentu terlebih dahulu. Pastikan kedudukan tidur anda mengiring ke kanan dan seeloknya menghadap ke kiblat. Rasulullah S.A.W sering mengamal membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas dan kemudiannya dihembuskan bacaan itu di kedua-dua belah tangannya lalu digosok ke seluruh badannya di mana tangannya dapat sampai. Bacaan dan perbuatan baginda ini diulang sebanyak tiga kali berturut-turut.

5. Berazam Untuk Bangun Awal
Anda juga digalakkan untuk membaca surah Al-Kausar sebanyak tiga kali sambil berniat di dalam hati mahu bangun awal. Berazam untuk bangun awal bagi membersihkan diri dan menunaikan solat subuh.

6. Bangun Pagi
Setelah terjaga dari tidur pada waktu paginya, ucapkanlah rasa syukur kepada Allah kerana telah memanjangkan usia lalu berdoa : “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami. KepadaNya kami akan dibangkitkan” Kemudian lakukan sedikit regangan untuk melonggarkan otot-otot badan.

10 Wasiat Imam As-Syafie

Sebelum Imam As-Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

1. Hak Kepada Diri .
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak Kepada Malaikat Maut
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3. Hak Kepada Kubur
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak Kepada Munkar Dan Nakir
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

5. Hak Kepada Mizan (Neraca Timbangan Amal Pada Hari Kiamat)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

6. Hak Kepada Sirat (Titian Yang Merentangi Neraka Pada Hari Akhirat)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7. Hak Kepada Malik (Penjaga Neraka)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

8. Hak Kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9. Hak Kepada Nabi S.A.W
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10. Hak Kepada Allah Swt
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

8 Cara Untuk Bertenang-Tenang Selalu

Berikut adalah 5 cara untuk bertenang. Dalam ayat lain, saya paparkan 8 tips bagaimana melatih diri untuk bertenang selalu.

1. Mulakan dengan niat.
Untuk bertenang selalu dan untuk membina ketenangan dalam diri, mulakan dengan niat. Kenapa anda mahu bertenang? Mesti ada sebabnya kan. Sebagai contoh, anda mahu bertenang mungkin sebab anda mahu mengelak dari stress, mungkin sebab anda mahu melatih diri supaya bertenang selalu atau anda mahu merasai ketenangan dalam apa jua perkara yang anda lakukan.

2. Longgarkan otot, longgarkan sendi, longgarkan urat kening.
Elak dari mengerut kening ketika anda sedang merenung, sedang berfikir atau ketika sedang melihat pada sesuatu misalnya skrin komputer atau skrin projektor. Jangan biaskaan diri mengerut kening sebab pergerakan otot kening ketika dikerutkan akan membuat anda tertekan. Hal ini akan menyebabkan minda anda terlalu fokus. Bila sudah terlalu fokus, tak ada ketenangan sebab minda anda dipengaruhi oleh kerisauan dan kekelamkabutan. Sebaiknya, saat membaca sesuatu, merenung atau memikirkan sesuatu, cuba relaks. Bawak diri bertenang.

3. Kawal emosi.
Cara untuk bertenang adalah dengan bersabar. Bukan kawal marah, tapi bersabar. Ketika bersabar, anda menahan diri supaya bertenang. Ketika menahan marah, anda masih nampak marah cuma dalam amaun yang ditapis-tapis. anda masih menampakkan marah diwajah anda. Ketika bersabar, anda memujuk diri anda supaya bertenang tanpa ada keinginan mahu menampakkan yang anda sedang marah tapi ditahan-tahan. Bina ketenangan dengan melatih diri untuk sentiasa bersabar. Kawal emosi dengan mengamalkan sikap bersabar.

4. Pernafasan.
Pernafasan terarah membuat anda merasa tenang. Untuk melatih diri bertenang ketika jiwa anda kacau bilau, tarik nafas melalui hidung, tahan sehingga 3 saat kemudian hembus perlahan-lahan melalui hidung juga. Ketika menarik nafas, penuhkan rongga dada dengan udara sehingga tak termampu, tahan 3 saat lepas tu hembus perlahan-lahan sehingga tak ada lagi yang tinggal. Ulang sebanyak 7 kali untuk impak maksima. Anda boleh lakukan teknik ni ketika membaca, memasak, memotong sayur, memandu, menaiki bas, ketika dalam lif, ketika dalam mesyuarat atau ketika sedang berbincang dengan seseorang.

5. Sembahyang.
Sembahyang dapat membina ketenangan. Ketika sembahyang, hati anda, jiwa, fikiran dan minda dapat di tenangkan kerana anda perlu khusyuk. Anda tak akan dapat merasai kekhusyukan sembahyang jika anda tidak tenang. Cara paling baik untuk membina ketenangan dalam diri adalah melalui sembahyang.

6. Elak berpeluk tubuh.
Ketika sedang berpeluk tubuh, anda sedang berada dalam posisi DEFENSIF. Mungkin anda sudah terbiasa berpeluk tubuh ketika sedang menunggu, ketika menonton wayang, ketika berjalan, ketika duduk atau ketika sedang bercakap. Tahukah anda berpeluk tubuh tak akan membuat anda merasa tenang langsung? Solusi kepada hal ni adalah dengan menekup kedua-dua tangan di bahagian tapak lalu meletaknya di bahagian hadapan seperti mahu menyalam seseorang dengan kedua-dua tangan. Sebagai contoh, lihat kepada posisi tangan Dr. Irfan Khairi setiap kali dia ditemubual. Tangan kiri dan tangan kanannya diletak di bahagian hadapan kemudian ditemukan di bahagian tapak tangan seolah-olah mahu bersalaman. Cara ini membuat anda merasa tenang, mengawal gugup, membuat fikiran jadi lebih rasional.

7. Dekat dengan orang yang tenang selalu.
Dekatkan diri selalu dengan orang yang tenang. Orang camni biasanya tak suka marah, tak suka bersuara tinggi dan sentiasa hormat pada orang lain tanpa mengira darjat, pangkat atau status. Bila anda dekat dengan orang yang tenang, anda juga akan merasa tenang. Terlihat wajahnya terasa ada getara di dalam jiwa kesan dari pancaran ketenangan yang terpamer di mukanya.

8. LET GO.
Ini adalah langkah terpenting. Let go semua masalah-masalah di fikiran. Lepaskan pergi semua kerisauan. Tinggalkan semua kegusaran. Lupakan hal-hal yang membuat anda tertekan. Lupakan. Lepaskan pergi untuk seketika. Tarik nafas. LET Go untuk 3-5 jam seterusnya. Anda akan merasa tenang. Setelah itu fikirlah balik segala perkara yang anda mahu fikir. Anda akan mendapat idea bagaimana untuk menyelesaikan masalah, anda akan dapat ilham bagaimana mengatasi kegusaran, anda akan mendapat suntikan inspirasi untuk mengatasi perkara-perkara yang membuat anda tertekan.

Ketenangan membuat minda anda bertindak cemerlang. Ketenangan juga baik untuk mengekalkan motivasi serta mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

Dalam perhubungan sesama manusia, ketenangan membuat anda disenangi orang.
Dalam perhubungan antara anda dengan Tuhan, pasti anda dirahmati olehNYA.
Jiwa yang tenang adalah jiwa yang dengan dengan alam kemudian akan jadi dekat dengan pencipta alam, iaitu Tuhan.

Jumaat, 15 April 2011

Mensyukuri Nikmat

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan . Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.

Huraian Hadith: 
i) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.

ii) Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.

iii) Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang tidak disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.